Putrajaya Lulus Perolehan Beli Pesawat Tempur Ringan Dwi-Fungsi Ganti Hawk

Jangka hayat pesawat pejuang Hawk sudah menghampiri 25 tahun dan naiktaraf bukan lagi satu opsyen, kata Panglima TUDM.
Dizhwar Bukhari
2020.12.18
Kuala Lumpur
Putrajaya Lulus Perolehan Beli Pesawat Tempur Ringan Dwi-Fungsi Ganti Hawk Pesawat Hawk 208 selesai menjalani penerbangan ketika latihan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, 6 Mac, 2019.
[Dizhwar Bukhari/BeritaBenar]

Putrajaya telah meluluskan perolehan untuk mendapatkan pesawat tempur ringan dwi-fungsi yang baharu bagi mengantikan pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang berusia lebih 20 tahun, demikian kata Panglima Tentera Udara, Ackbal Abdul Samad.

Pesawat dwi-fungsi menurut beliau ialah Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (LIFT/LCA) yang akan diperolehi secara berfasa bagi tempoh tiga tahun yang melibatkan perancangan 36 buah pesawat, dengan keputusan mengenai jumlah sebenar adalah bergantung kepada kerajaan.

“Pesawat dua fungsi Light Combat Aircraft/Fighter Lead in Trainer (LCA/FLIT) ini mengikut jumlah keperluan sebenar adalah sebanyak 36 buah, tetapi untuk perancangan kita masih menunggu jumlah peruntukan." kata Ackbal pada sidang media di Pangkalan TUDM Subang pada Jumaat.

Tambahnya lagi, TUDM telah dimaklumkan bahawa bajet bagi sistem LCA/FLIT akan diperolehi tahun hadapan, tetapi tidak mendedahkan calon-calon yang telah disenarai pendekuntuk perolehan pesawat berkenaan.
Sejak Disember 2018, Dewan Rakyat telah dimaklumkan yang sebanyak lapan buah pesawat telah ditawarkan perolehannya oleh beberapa pengeluar daripada Korea, Itali, Pakistan, India, Amerika Syarikat dan China.

Ackbal menjelaskan kelulusan perolehan pesawat dwi fungsi oleh kerajaan itu adalah bertujuan untuk menggantikan pesawat jenis Hawk yang telah digunakan dalam latihan sejak lebih 23 tahun lalu.

Beliau berkata, jangka hayat pesawat Hawk akan tamat tidak lama lagi dan menaiktarafnya bukan lagi satu opsyen kerana TUDM berdepan dengan isu ‘airframe’.

Pesawat Hawk 108/208 buatan BAE System masih lagi digunapakai oleh TUDM, dengan kesemua pesawat perjuang itu diperolehi sejak 1994, di mana sebanyak 28 buah persawat berada dalam pemilikan Tentera Udara itu.

Panglima TUDM juga berkata, Hawk dijangka akan ditamatkan perkhidmatannya dalam masa lima tahun lagi sementara menunggu pesawat LCA/FLIT yang baharu.

Sementara itu, Rizal Effendy Mohd Nasir, Pensyarah Kanan Flight Technology and Test Centre dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA berkata daripada senarai yang ditawarkan, pesawat buatan Korea jenis FA-50 Golden Eagle adalah calon yang paling sesuai kerana memenuhi keperluan situasi peperangan semasa dengan kemampuan setanding pesawat pejuang utama.

“FA-50 Golden Eagle menawarkan spesifikasi dari segi keupayaan enjin, persenjataan, avionik dan penerbangan yang lebih baik kerana pesawat ini mendapat sokongan teknologi dari Amerika Syarikat.

“Pesawat buatan Korea ini menggunakan enjin dan persenjataan yang sama dengan pesawat F/A-18D Hornet yang mampu memecut kelajuan supersonik berbanding calon LCA/FLIT yang lain dengan kelajuan sub-sonik sahaja.

“Namun begitu, kos operasi dan perolehan pesawat ini dilihat sedikit mahal dan jika TUDM tidak memperolehi peruntukan yang besar, pilihan pesawat lain yang lebih murah seperti M-346 buatan Itali atau YAK-130 buatan Rusia antara yang bakal menjadi pilihan,” katanya kepada BeritaBenar.

Mengulas mengenai keputusan TUDM untuk tidak menaiktaraf Hawk 108/208, Rizal Effendy menambah kos naiktaraf pesawat juga tidak setimpal dengan keupayaan baharu pesawat berbanding dengan perolehan pesawat baharu.

“Kos baikpulih kerangka pesawat adalah penting dan ini melibatkan kos yang tinggi. Adalah lebih baik bagi TUDM memilih pesawat baharu kerana ia menjamin tahap releven pesawat itu di masa hadapan berbanding menaiktaraf pesawat yang sudah berusia hampir 26 tahun”.

Ditanya mengenai operasi pesawat LCA/LIFT di Laut China Selatan (LCS), Rizal Effendy menambah perolehan pesawat baharu bakal mengisi kekosongan akibat kekurangan pesawat barisan hadapan seperti Su-30MKM dan F/A-18D Hornet.

“Biarpun ia pesawat pejuang ringan, ia masih mampu melaksanakan tugas pemintasan di Laut China Selatan bagi mengusir mana-mana pesawat asing yang menceroboh. Atas sebab itulah Hawk 108/208 ditempatkan di Labuan, Sabah agar mampu dikejarkan ke mana-mana situasi pemintasan di Laut China Selatan mahupun serangan udara ke darat,” tambah beliau.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Tunku Ibrahim
Jan 18, 2021 11:52 AM

Aku harap TUDM perlu bertegas memilih pesawat FA-50 yang berkeupayaan setanding dengan F-18D yang sedia ada. Tidak ada kompromi lagi tentang pemilihan ini sebab injin pesawat ini adalah injin yang sama yang di gunakan oleh pesawat F-18D Hornet iaitu injin GE-404. Kalau boleh TUDM harus memiliki pesawat varian FA-50 Block 20 yang berkeupayaan tinggi dan boleh membawa missile AMRAAM. Kabinet juga tidak perlu teragak agak dalam hal ini. Ini adalah keselamatan masa depan negara Malaysia yang tak boleh di ambil mudah. Kebetulan pula laut kita sudah mula di ceroboh oleh pendatang haram tanpa rasa takut. Dunia semakin mendekati ancaman perang yang tidak boleh di pandang remeh. Alang2 membeli biarlah menang memakai.

Tunku Ibrahim
Feb 18, 2021 07:35 AM

Pesawat JAS 39 Gripen E/F juga mempunyai enjin GE414 yang di gunakan oleh F-18D TUDM sekarang. Pada pandangan saya, Gripen lebih sesuai untuk di jadikan LCA untuk TUDM. Cadangan saya adalah, 18 FA-50 Golden Eagle dan 18 lagi adalah JAS 39 Gripen E/F sebagai pesawat LCA TUDM yang berkeupayaan sangat tinggi.

Saya
Jun 11, 2021 10:06 PM

Ambil honet Kuwait lagi baik musuh gerun😂