Malaysia Uji Kemampuan Menembak Misil Dalam Latihan di Laut China Selatan

Penembakan aset persenjataan yang mengenai sasaran jelas membuktikan tahap kesiagaan dan kepakaran warga TUDM.
S. Adie Zul & Ken Chang
Kuala Lumpur & Kota Kinabalu
2021-09-15
Share
Malaysia Uji Kemampuan Menembak Misil Dalam Latihan di Laut China Selatan R-77 Adder jenis Air to Air Missile dari Su-30MKM buatan Rusia semasa Latihan Eksesais Ababil di Sabah antara 7 hingga 14 September 2021.
[Ihsan Tentera Udara DiRaja Malaysia]

Malaysia minggu ini menyelesaikan latihan kedua penembakan peluru berpandu dalam tempoh dua bulan, dengan penganalisis berpendapat ia memaparkan "tindak balas yang jelas dan tepat pada masanya" kepada negara-negara lain yang turut menuntut wilayah di Laut China Selatan, susulan pencerobohan lebih sedozen pesawat tentera China dalam ruang udara maritimnya pada Mei lepas.

Kejayaan latihan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu menunjukkan bahawa "kesiapsagaan anggota-anggota keselamatan adalah sentiasa pada tahap tertinggi demi kedaulatan negara," kata angkatan udara dalam satu kenyataan media pada Selasa, dengan turut memaklumkan bahawa eksesais itu bermula pada 7 September, merangkumi latihan tembakan misil udara ke udara, tembakan misil udara ke permukaan dan tembakan udara ke permukaan bumi yang diadakan di Pangkalan Udara Labuan, Lapang Sasar Udara Kota Belud dan kawasan perairan Laut China Selatan.

“Objektif utama eksesais ini antaranya adalah untuk menguji keupayaan persenjataan aset-aset tempur milik tentera udara negara di dalam pelaksanaan operasi udara, untuk menilai tahap kesiagaan aset-aset TUDM dan sistem persenjataan pesawat tempur dan untuk meningkatkan kompetensi aset sumber manusia TUDM, Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan elemen-elemen logistik tempur secara bersepadu.

“Demonstrasi penembakan udara ke permukaan bumi pada hari ini [Selasa] telah menyaksikan pesawat pejuang TUDM membuat penembakan ke sasaran yang dikenalpasti.

“Penembakan kesemua aset-aset persenjataan ini yang mengenai sasaran jelas membuktikan tahap profesionalisme, kepakaran, keupayaan dan kesiagaan warga dan aset-aset tempur TUDM dalam misi dan operasi pertahanan negara,” demikian menurut kenyataan TUDM itu.

Sejumlah 446 anak-anak kapal dan anggota-anggota TUDM termasuk PASKAU serta membabitkan pesawat-pesawat TUDM dari pelbagai kategori seperti pesawat tempur F/A-18D Hornet, Sukhoi SU-30MKM dan Hawk 208; pesawat angkut Hercules C130H; pesawat maritim Beechcraft B200T dan helikopter EC 725 AP telah terlibat dalam eksesais terbesar TUDM sejak penularan pandemik COVID-19 tahun lepas.

TUDM berkata kejayaan itu, disebalik cabaran situasi krisis kesihatan global membuktikan komitmen TUDM untuk mencapai visi menjadi kuasa udara yang dominan dan berspektrum penuh, di dalam menjaga kedaulatan negara serta mendukung Kertas Putih Pertahanan dengan visi “Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur”.

Bulan lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya melancarkan tiga misil anti-kapal dalam latihan ketenteraan laut yang terbesar di Laut China Selatan sejak penularan pandemik COVID-19.

Semasa eksesais “Taming Sari” itu diadakan, kapal selam TLDM iaitu KD TUN RAZAK berjaya melancarkan peluru berpandu anti kapal, Exocet SM39, manakala dua kapal lain KD LEKIU dan KD LEKIR, turut melancarkan peluru berpandu Exocet MM40, yang merupakan inventori Angkatan tentera laut itu sejak 2000.

Kedua-dua peluru berpandu anti kapal itu dihasilkan oleh pengeluar pertahanan Perancis, MBDA. MM40 Exocet dapat mencapai sasaran sejauh 35 batu manakala SM39 Exocet boleh mencapai sasaran sejauh 22 batu.

Awal bulan lalu, Malaysia juga telah menyertai eksesais tahunan ke-20 Kerjasama dan Latihan Asia Tenggara (SEACAT) bersama-sama dengan Amerika Syarikat (AS) dan 20 negara Pasifik lain.

Langkah pencegahan

Lai Yew Meng, yang merupakan penganalisis keselamatan serantau berkata latihan oleh angkatan pertahanan Malaysia itu dilihat sebagai langkah “pencegahan” terhadap ancaman keselamatan luaran.

“Latihan itu juga berfungsi sebagai sebahagaian daripada polisi “perlindungan nilai” Malaysia ke atas ketidak-seimbangan kuasa, risiko perbalahan di antara kuasa-kuasa besar dan ketidaktentuan dalam geopolitik serantau yang sentiasa berkembang, di mana Laut China Selatan dilihat terus berpotensi menjadi titik panas,” katanya kepada BenarNews.

Menurut Lai, disebabkan kekangan peruntukan pertahanan, Malaysia perlu terus meningkatkan kemampuan pertahanan unilateral, dan pada masa yang sama terus mengeratkan kerjasama dengan pelbagai rakan pertahanan seperti Amerika Syarikat, Australia, Japan dan ahli-ahli dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FDPA), sebagai langkah perlindungan nilai kepada ancaman keselamatan.

FPDA yang ditandatangani pada 1971, menggabungkan Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

Semasa pencerobohan pada 31 Mei lalu, sebanyak 16 pesawat tentera China telah terbang memasuki ruang udara maritime Malaysia di kawasan tuntutan bertindih Laut China Selatan – menghampiri 60 batu nautika dari Beting Patinggi Ali – yang ditadbir oleh Kuala Lumpur – juga dikenali sebagai Lucona Shoals – yang turut didakwa oleh Beijing, sebagai sebahagian daripada wilayah maritim miliknya.

Ancaman keselamatan maritime
Selain dari mempertingkatkan kemampuan pertahanan kedaulatan udaranya, Malaysia juga perlu memberi tumpuan kepada menaiktaraf kemampuan sokongan armada lautnya, kata seorang lagi penganalisis keselamatan serantau Ramli Dollah kepada BenarNews.

“Ini memandangkan kebanyakan ancaman keselamatan adalah secara semulajadinya adalah datang dari maritim. Dari Selat Melaka ke Laut China Selatan sehinggalah ke laut Sulu-Celebes, semua ancaman kepada kedaulatan Malaysia dan ancaman integeriti wilayahnya datang dari laut,” ujarnya.

Luconia Shoals, yang dikenali di Malaysia sebagai Beting Patinggi Ali, semakin sering dikunjungi kapal-kapal milik Pengawal Pantai China, menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) iaitu badan pemikir AS yang menjalankan penyelidikan mengenai data pengesanan kapal.

Pada Julai, AMTI berkata bahawa sejak Jun, kapal Pengawal Pantai China memberi tekanan dan mengganggu projek minyak dan gas baru Malaysia di Laut China Selatan, yang terletak di luar pesisir negeri Sarawak di Pulau Borneo.

Malaysia menuntut kedua-dua ciri maritim itu, yang terletak di dalam zon ekonomi eksklusif negara tersebut. Tetapi, China turut menuntut pemilikan beting berkenaan kerana mendakwa kedua-duanya terletak di dalam wilayah sembilan garis putus yang dinamakan China, yang digunakannya untuk menuntut sebahagian besar Laut China Selatan.

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang kaya dengan mineral dan menjadi laluan utama bagi beberapa perkapalan antarabangsa penting di dunia. Malaysia, Filipina, Brunei, Vietnam dan Taiwan juga mempunyai tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan.

Pada Selasa, China menambah kapal peronda perairan yang terbesar, Haixun 03, ke dalam armada peronda maritimnya di Laut China Selatan, di bawah Pentadbiran Keselamatan Maritim Hainan (MSA) bagi “membantu pihak berkuasa Hainan untuk menguatkuasakan bidang kuasa secara bebas”, lapor China News Service.

Menurut laporan itu, Haixun 03 akan menjalankan rondaan maritim dan menguatkuasakan undang-undang, mencari dan menyelamat, kawalan dan koordinasi kecemasan; pencegahan dan pengawalan pencemaran kapal “di Laut China Selatan dan perairan sekitar” – merangkumi 2 juta km persegi (772 batu persegi) kawasan maritim berdasarkan dokumen rasmi China – yang tidak diiktiraf oleh negara-negara jiran.

Menteri Luar Malaysia pada Selasa menegaskan sekali lagi pendirian negara itu bahawa semua pihak perlu memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serta kebebasan pelayaran dan penerbangan.

“Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif dan mengelakkan tindakan berkaitan ketenteraan,” Saifuddin Abdullah memaklumkan Dewan Rakyat, ketika memberi jawapan kepada soalan mengenai kehadiran kapal-kapal perang milik kuasa-kuasa besar di perairan Laut China Selatan.

Dizhwar Bukhari in Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh