Jet Pejuang TUDM Terhempas, Juruterbang Maut

Jet Pejuang Hawk 108 terhempas semasa membuat latihan penerbangan malam di sekitar Pangkalan Udara TUDM Butterworth, di Pulau Pinang.
Noah Lee & Iskandar Zulkarnain
2021.11.16
Kuala Lumpur & Pulau Pinang
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Jet Pejuang TUDM Terhempas, Juruterbang Maut Pesawat Hawk 208 selesai menjalani penerbangan ketika latihan di Pangkalan Udara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Butterworth, Pulau Pinang, 6 Mac, 2019.
[Dizhwar Bukhari/BenarNews]

Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan selepas sebuah jet pejuang milik pasukan itu terhempas dalam satu kejadian di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, yang terletak di negeri Pulau Pinang di utara tanahair Malaysia pada jam 10 malam Selasa.

Menurut kenyataan dikeluarkan TUDM, kejadian membabitkan pesawat Hawk 108 itu berlaku kira-kira jam 10.07 malam ketika sedang menjalankan latihan penerbangan di waktu malam.

"Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlaku satu insiden kejadian kemalangan melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk milik TUDM pada 16 November 2021, lebih kurang jam 10.07 malam di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth," kata kenyataan awal tentera udara tersebut.

Dalam satu lagi kenyataan susulan mengenai perkembangan terkini itu, TUDM telah memaklumkan yang dua juruterbangnya terlibat dalam kemalangan yang berlaku di dalam kawasan Pangkalan Udaranya di Butterworth.

"Dua juruterbang yang terlibat dalam kemalangan ialah Mejar Mohd Fareez bin Omar TUDM. Beliau cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya dan berada dalam keadaan selamat dan stabil. Kapten Mohamad Affendi bin Bustamy TUDM. Beliau telah meninggal dunia dan jenazah sedang diuruskan untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga kedua-dua juruterbang ini telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan," kata TUDM dalam kenyataan susulan dengan maklumat mengenai dua juruterbang yang terlibat.

"Pihak TUDM juga akan menubuhkan Lembaga Sisatan terperinci mengenai insiden ini."

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein turut mengesahkan kejadian dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua juruterbang terbabit dalam ciapan di laman media sosial Twitternya sejam selepas kejadiam.

"Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yang terhempas di Butterworth tadi.

“Seorang anggota kehilangan nyawa manakala seorang lagi cedera. TUDM diarahkan segera memberikan laporan terperinci dan siasat punca kejadian," kata Hishammuddin dalam ciapnnya, merujuk kepada Panglima Tentera Udara Ackbal Abdul Samad.

"Saya difahamkan anggota yang cedera telah dibawa untuk rawatan segera. @MINDEFMalaysia telah diarahkan untuk salur apa jua keperluan kepada keluarga kedua-dua anggota terlibat,” katanya lagi dalam siri ciapan sejurus dimaklumkan berkaitan kejadian.

Pada 2017, sebuah jet pejuang jenis yang sama telah terhempas di Chukai, Terengganu meragut nyawa dua juruterbangnya.

Menurut laporan media tempatan, terdapat tujuh kejadian pesawat terhempas membabitkan pesawat jenis Hawk di antara tahun 1996 dan 2017, termasuk empat melibatkan kematian juruterbang.

Pesawat Hawk 108/208 buatan BAE System masih lagi digunapakai oleh TUDM, dengan kesemua pesawat perjuang itu diperolehi sejak 1994, di mana sebanyak 28 buah persawat berada dalam pemilikan Tentera Udara itu.

Pada Disember tahun lepas, Ackbal dilaporkan berkata bahawa Putrajaya telah meluluskan perolehan untuk mendapatkan pesawat tempur ringan dwi-fungsi yang baharu bagi mengantikan pesawat pejuang Hawk, yang dijangka akan ditamatkan perkhidmatannya.

Beliau ketika itu juga berkata, jangka hayat pesawat Hawk akan tamat tidak lama lagi dan menaiktarafnya bukan lagi satu opsyen kerana TUDM berdepan dengan isu ‘airframe’.

Menurut beliau, terdapat rancangan untuk mendapatkan sejumlah 36 pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (LIFT/LCA) yang akan diperolehi secara berfasa bagi tempoh tiga tahun. Bagaimanapun keputusan mengenai jumlah sebenar adalah bergantung kepada kerajaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh