Hotel-hotel Mungkin Tidak Akan Larang Bertudung Keatas Pekerja, Menteri Pelancongan
2017.11.16
Kuala Lumpur
Menteri Pelancongan Malaysia pada Khamis memberi amaran terhadap hotel-hotel yang didakwa mengharamkan pekerja wanita mereka daripada memakai tudung supaya segera memberhentikan dasar tersebut yang telah menggemparkan negara.
Perkara itu berlaku selepas Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) pada awal bulan ini mendedahkan yang badan itu telah menerima aduan daripada pekerja hotel wanita yang mengatakan mereka telah dilarang daripada memakai tudung semasa menguruskan kaunter hadapan.
Menurut UNI-MLC, pelajar dalam kursus perhotelan dan pelancongan juga telah diberitahu supaya tidak memakai tudung semasa latihan dan diberi amaran bahawa peluang pekerjaan amat tipis bagi mereka selepas tamat pengajian.
"Bagi mana-mana hotel yang membuat syarat sedemikian, lesen mereka perlu dibatalkan atau menghadapi tindakan dari kami," kata Menteri Pelancongan Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada wartawan.
Dasar itu, kata Nazri, menjejaskan pekerja daripada kepercayaan lain juga.
"Ini bukan hanya mengenai umat Islam. Kaum Punjabi dan Sikh juga memakai serban. Ini melanggar perlembagaan, "katanya.
Malaysia mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam, membentuk kira-kira 60 peratus daripada 32 juta penduduknya. Penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian menyumbang sebahagian besar daripada yang lain.
Pada Rabu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Noh Omar mengarahkan pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan terhadap pengendali hotel yang menghalang kakitangan wanita beragama Islam daripada memakai tudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan hotel.
"Saya telah mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada hotel berkenaan. Jika aduan yang diterima adalah benar, saya mengesyorkan mereka menarik balik lesen yang dikeluarkan," katanya sambil menambah lesen hotel berada di bawah bidang kuasa majlis tempatan.
‘Apa yang penting ialah perkhidmatan yang baik’
Beberapa hari sebelum itu, dalam tindak balas terhadap kenyataan UNI-MLC, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Samuel Cheah Swee Hee dipetik dalam media tempatan sebagai berkata, larangan tersebut telah lama ditangguhkan.
"Dasar itu diamalkan dalam rangkaian hotel antarabangsa yang menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama pada pakaian seragam di semua hotel di rangkaian mereka, secara global.
"Masalahnya ialah, semua orang mahu menyertai jenama hotel global lima bintang, tetapi mereka tidak mahu mengikuti dasar seragam yang merupakan piawaian dunia," katanya, menurut akhbar The Star.
Cheah menggesa pekerja Islam yang ingin memakai tudung supaya mempertimbangkan tidak bekerja di kaunter hadapan atau bekerja di hotel yang membenarkan tudung sebagai sebahagian daripada pakaian seragamnya
Seorang pekerja di sebuah hotel antarabangsa di Kuala Lumpur yang meminta namanya tidak disiarkan mengutuk kenyataan Cheah itu.
"Apa punya kenyataan daripada Cheah Swee Hee? Itu tidak benar. Sejauh yang kita tahu, larangan tudung bukanlah sebahagian daripada SOP antarabangsa yang perlu dipertimbangkan oleh pengurusan hotel, "katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.
Wan Salim Mohd Noor, mufti atau ketua cendekiawan Islam bagi negeri Pulau Pinang, berkata kebanyakan tetamu hotel tidak peduli jika seorang pekerja memakai tudung atau tidak.
“Apa yang penting kepada mereka adalah perkhidmatan yang baik dari mereka yang bertugas. Kami menggesa pengurusan hotel untuk menjadi lebih rasional dan tidak mendiskriminasikan pekerja berdasarkan pakaian mereka. Apa yang perlu diambil kira ialah keupayaan mereka untuk melakukan kerja mereka dengan baik, "katanya kepada BeritaBenar.
Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen berkata larangan itu merupakan satu diskriminasi kerana kod pakaian oleh rangkaian hotel tidak boleh terlalu ketat.
"Serban, tudung [hijab] dan lain-lain bentuk pakaian yang sesuai harus dibenarkan. Sudah tentu, pihak hotel masih mempunyai hak untuk mengekalkan dasar keseluruhan tentang bagaimana kakitangan mereka harus berpakaian, tetapi larangan harus berpatutan, "katanya.
Fairuz Mazlan di Pulau Pinang dan Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.