Follow us

Sabah Gantung Semua Aktiviti Perdagangan Dengan Selatan Filipina

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2016-04-06
E-mel
Komen
Share
Bot-bot nelayan yang berlabuh di pelabuhan Semporna, Sabah, 20 Okt 2009.
Bot-bot nelayan yang berlabuh di pelabuhan Semporna, Sabah, 20 Okt 2009.
RHWI/AFP

Kerajaan negeri Sabah telah menggantungkan semua bentuk aktiviti perniagaan tukar barang berkuatkuasa serta merta di kesemua pelabuhan negeri itu dengan selatan Filipina selepas insiden penculikan terbaru yang melibatkan empat rakyat Malaysia, kata Ketua Menteri Musa Aman pada Rabu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat kabinet negeri yang turut mengambil tujuh langkah lain dalam usaha kerajaan mencegah aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negeri berkenaan.

Musa membuat pengumuman itu kepada media tempatan di Kota Kinabalu selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan sambil memaklumkan bahawa kerajaan negeri juga menggantungkan aktiviti perniagaan pindah barang ‘transhipment’ yang melibatkan perdagangan petroleum dan gas di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

“Pelaksanaan feri penumpang antara Kudat ke Palawan, Filipina yang dijangka beroperasi Mei depan, turut ditangguhkan,” kata Musa seperti dilaporkan media tempatan.

“Masa perintah berkurung laut di tujuh kawasan pantai timur dari Beluran ke Tawau akan diubah suai berkuatkuasa sepenuhnya oleh pasukan keselamatan. Perintah berkurung laut sebelum ini adalah antara jam tujuh malam hingga lima pagi,

“Ini bukan masalah Sabah, tetapi masalah yang mempunyai implikasi terhadap negara,” katanya.

Musa berkata, semua kapal, termasuk kapal luar, dan bot yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengancam keselamatan negara tidak akan dibenarkan masuk perairan Sabah manakala kapal dagang yang belayar di kawasan berisiko tinggi akan diberi perlindungan oleh pasukan keselamatan Malaysia.

Pada Jumaat lepas, empat anak kapal tunda warga Malaysia diculik sekumpulan lapan lelaki bersenjata ketika mereka dalam perjalanan pulang ke tanah air dari Manila.

Media tempatan melaporkan bahawa keempat warga Malaysia itu telah diculik oleh kumpulan Abu Sayyaf dan ditahan di kepulauan Jolo, selatan Filipina.

Laporan yang memetik sumber-sumber perisikan Filipina memberitahu bahawa kumpulan Abu Sayyaf itu yang diketuai oleh ‘Apo Mike’ dan mangsa telah melalui kawasan Idanan dan telah tiba Kepuluan Jolo pada lewat malam Ahad lepas.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar seperti dilaporkan media tempatan pada Mei tahun lepas telahpun mencadangkan kepada kerajaan negeri Sabah supaya menamatkan perdagangan tukar barang, kerana penjenayah rentas sempadan dipercayai berselindung di sebalik aktiviti itu untuk menyusup masuk ke Malaysia dan melakukan jenayah.

Beliau berkata demikian seminggu selepas dua rakyat Malaysia diculik oleh sekumpulan empat lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai hubungan dengan militan Abu Sayyaf yang menyerbu sebuah restoran makanan laut di Sandakan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa kes penculikan telah berlaku di perairan pantai timur Sabah terutamanya melibatkan pulau peranginan di kawasan perairan itu, yang sama ada melibatkan rakyat Malaysia atau pelancong luar negara.

Pada Julai 2014, sekumpulan lelaki bersenjata dipercayai dari Filipina telah membunuh anggota polis dan menculik seorang wanita dari pusat peranginan Mabul, dan tiga bulan sebelum itu, dua orang wanita termasuk seorang rakyat China diculik dari sebuah pusat peranginan di Semporna.

Seorang pelancong terbunuh manakala isterinya diculik di pulau Sipadan berhampiran Sandakan pada 2013 manakala lebih daripada 20 orang termasuk pelancong telah dijadikan tebusan oleh Abu Sayyaf juga di pulau yang sama pada tahun 2000.

Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai penculikan empat rakyat Malaysia semasa melakukan lawatan kerja ke Washington, Amerika Syarikat, mencadangkan supaya perdagangan sistem barter antara Sabah dan selatan Filipina sejak sekian lama dikaji semula dengan segera berikutan kes penculikan terbaru itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia berkata, laluan perdagangan itu mempunyai risiko yang amat tinggi kepada pedagang Malaysia dan penculik berusaha mendapatkan tebusan untuk mencari wang sebagai sumber untuk mereka bergerak sebagai pengganas dan keadaan ini amat membimbangkan.

Selain itu Ahmad Zahid berkata, sistem tukar barang itu juga dilihat hanya menguntungkan satu pihak sahaja dan tidak menguntungkan Malaysia dan turut melibatkan penyeludupan barang-barang subsidi dan menyebabkan ketirisan wang negara.

‘Ketegasan penguatkuasaan’

Sementara itu, Ahli Parlimen Semporna yang juga Naib Presiden UMNO Mohd. Shafie  Apdal berkata, penguatkuasaan dan pelaksanaan keselamatan Malaysia adalah penting bagi memastikan tiada lagi berlaku penculikan ataupun rakyat Sabah terkorban.

“Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas sangat diperlukan dalam melaksanakan keberkesanan pengawasan keselamatan di perairan ini, kes culik yang kerap berlaku di perairan pantai timur Sabah amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Beliau menambah dengan perintah berkurung yang dikuatkuasakan serta sistem perdagangan tukaran barang dihentikan maka penguatkuasaan tanpa kompromi patut diambil, bagi mengelak kejadian penculikan kembali berulang.

Seorang lagi anggota Parlimen dari Sabah, Bung Moktar Radin, yang mewakili rakyat kawasan Kinabatangan pula menegaskan perairan timur Sabah tidak selamat untuk rakyat Malaysia, dengan kegiatan penculikan yang kerap dilakukan oleh kumpulan perompak dari selatan Filipina, yang dilihat sangat terancang serta tersusun.

“Kerajaan telah memperuntukan wang yang besar bagi keselamatan, malangnya penculik lebih pintar dari pihak penguatkuasa oleh itu pihak Esscom perlu mencari jalan atau pendekatan terkini dan bersesuaian bagi memastikan kes penculikan tidak berulang,” katanya kepada BeritaBenar.

Interaksi sukar dikawal

Dalam pada itu, Profesor Madya Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani yang merupakan pensyarah hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia memberitahu BeritaBenar bahawa tindakan kerajaan negeri Sabah itu adalah inisiatif terkini yang terpaksa dilakukan untuk menjamin keselamatan sekitar kawasan timur Sabah.

“Ini mungkin langkah untuk mengelakkan interaksi langsung antara penduduk selatan Filipina dengan Sabah yang kini bebas dan sukar dikawal .

“Berkesan atau tidak bergantung selepas langkah penguatkuasaan dilakukan. Yang pasti kawalan keselamatan di situ agak sukar kerana kedudukan wilayah kepulauan yang menyukarkan kawalan keselamatan, dijalankan,” katanya.

Lihat Laman Penuh