Letupan Berlaku Di Lapangan Terbang Milik Malaysia Di Turki

Staf BeritaBenar
2015.12.23
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151223-MY-TURKI620 Sebuah kenderaan bomba dilihat di Lapangan Terbang Sabiha Gokcen di Istanbul, Turki. 7 Februari 2014.
AFP

Seorang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam kejadian letupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen (ISGIA) milik sepenuhnya Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di Turki pada Rabu.

Letupan itu dipercayai berlaku di kawasan landasan semasa beberapa pekerja sedang membersihkan  kapal terbang pada kira-kira 2.10 pagi waktu tempatan negara itu.

Pegasus Airlines dalam satu kenyataan medianya berkata, dua pekerja pembersihan sedang berada di dalam sebuah pesawat milik syarikat berkenaan semasa kejadian itu.

Menurut kenyataan itu, Zehra Yamac meninggal dunia dalam kejadian itu manakala Canan Burgulu dirawat di sebuah hospital kerana kecederaan yang dialaminya.

Dalam pada itu, MAHB dalam satu kenyataan berkata, polis berada di tempat kejadian untuk memeriksa dan mengawal kawasan lapangan terbang sementara Majlis Keselamatan Penerbangan telah dimaklumkan mengenai kejadian.

Polis sedang menyiasat insiden itu dan kerajaan Turki turut mengetatkan keselamatan di sekitar kawasan lapangan terbang termasuk menjalankan pemantauan menggunakan helikopter, kata MAHB.

"Kami sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Turki dan rakan sejawat kami untuk membantu siasatan, dan kami menunggu laporan rasmi daripada mereka mengenai insiden itu," kata kata Pengarah Eksekutif Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Azmi Murad.

Media tempatan Tukri pula melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat sama ada letupan di lapangan terbang itu disebabkan oleh bom.

Polis turut mengetatkan kawalan di kesemua pintu masuk lapangan terbang itu.

Turki kini berada dalam keadaan berwaspada selepas 103 orang terbunuh dalam kejadian 10 Okt lepas, apabila dua pengebom berani mati bertindak meletupkan diri semasa perhimpunan aktivis keamanan di Ankara. Ia merupakan serangan terburuk dalam sejarah Turki moden.

SGIA dinamakan sempena juruterbang pejuang wanita pertama Turki, dan merupakan lapangan terbang antarabangsa kedua terbesar di negara itu selepas  Lapangan Terbang Antarbangsa Ataturk.

Ia telah mengendalikan penerbangan bagi destinasi antarabangsa juga syarikat penerbangan tambang murah dan sepanjang 11 bulan tahun ini, lapangan terbang itu telah mengendali lebih 17 juta penumpang domestik dan hampir sembilan juta penumpang antarabangsa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.