Singapura Kenakan Sekatan Ke atas Rusia, ASEAN Elak Guna 'Pencerobohan' Dalam Kenyataan

AS dalam kenyataan berasingan berkata akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat khas ASEAN di Washington, Mac depan.
Shailaja Neelakantan
2022.02.28
Washington
Singapura Kenakan Sekatan Ke atas Rusia, ASEAN Elak Guna 'Pencerobohan' Dalam Kenyataan rang awam mengalihkan sisa runtuhan sebuah pengkalan tentera di pekan Okhtyrka di wilayah Sumy, Ukraine, 28 Feb 2022. Menurut pasukan keselamatan Ukraine, pengkalan terbabit musnah dalam serangan udara.
[Photo dibekalkan oleh pasukan keselamatan Ukraine melalui Reuters]

Singapura pada Isnin berkata bahawa negara itu akan mengenakan sekatan terhadap Rusia berikutan pencerobohan terhadap Ukraine, satu kenyataan berbeza dengan pendirian ASEAN ketika blok negara-negara Asia Tenggara itu enggan mengkritik Moscow atau merujuk kepada serangan di Ukraine itu sebagai satu pencerobohan dalam kenyataan mereka.

Singapura berkata ia akan menghentikan eksport barangan yang mungkin digunakan sebagai senjata menyerang Ukraine, dan berkemungkinan menghalang transaksi perbankan dan kewangan yang berkait dengan Rusia. Para penganalisis menggelar tindakan negara tersebut sebagai sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Kita sedang melihat satu pencerobohan ke atas sebuah negara berdaulat yang dilakukan tanpa sebarang provokasi... Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine adalah jelas dan merupakan pelanggaran ke atas norma-norma antarabangsa dan adalah sesuatu dahuluan yang tidak dapat diterima sama sekali," kata Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan di Parlimen pada Isnin.

"Kita akan mengenakan kawalan eksport ke atas barangan yang mungkin digunakan secara terus sebagai senjata di Ukraine bagi mencederakan atau menjajah rakyat Ukraine. Kita juga akan menghalang transaksi kewangan dan perbankan oleh bank tentu Rusia atau yang berkait dengan Rusia. Butiran penuh langkah ini sedang dibuat dan akan diumumkan dalam masa terdekat," tambah beliau.

Hanya Singapura dan Indonesia negara dalam kalangan Asia Tenggara yang menghentam Rusia kerana pencerobohan ke atas Ukraine pada 24 Februari lepas, sementara Filipina pula telah mengeluarkan kenyataan sendiri yang berbunyi keras pada Isnin.

Manila "menyuarakan secara jelas kritikan ke atas pencerobohan Ukraine," kata Setiausaha Luar Teodoro Locsin Jr. dalam satu kenyataan, dan menambah bahawa negara itu telah mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menghentam pencerobohan tersebut.

Sementara itu, para penganalisis pula menyifatkan satu kenyataan bersama dikeluarkan oleh menteri-menteri luar pertubuhan ASEAN sebagai lemah.

Pertama, ASEAN dalam kenyataan itu langsung tidak menyebut nama Rusia. Kedua, kenyataan itu juga tidak menyifatkan apa yang berlaku di Ukraine sebagai pencerobohan. Manakala yang ketiga, ASEAN juga meminta "semua pihak" supaya mengamalkan sifat terkawal, ketika sebuah negara sedang mempertahankan diri terhadap serangan oleh negara jiran yang mempunyai kekuatan ketenteraan yang lebih besar.

Dalam kenyataan mereka, menteri-menteri luar ASEAN juga meletakkan beban tanggungjawab untuk "menegakkan prinsip-prinsip saling menghormati kedaulatan, integriti wilayah dan hak sama rata semua negara" kepada "semua pihak" dan bukan hanya kepada negara yang menceroboh.

Kenyataan lemah dibuat ASEAN itu bagaimanapun tidak mengejutkan Derek J Grossman, seorang penganalisis isu Asia Tenggara.

"Seperti dijangkakan, ASEAN tidak mampu untuk mengeluarkan kritikan terhadap Rusia kerana menceroboh Ukraine," kata Grossman, yang merupakan penganalisis kanan mengenai ketenteraan di badan pemikir AS Rand Corp, di Twitter.

"Terima kasih banyak, ASEAN."

Pakar hal ehwal Asia Tenggara dan ahli akademik Zachary Abuza memuji Singapura atas pendirian negara itu.

"Sekali lagi Singapura berada jauh di hadapan ASEAN: dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa, mengenakan sekatan perbankan, sekatan terhadap eksport teknologi dwi kegunaan, sekatan perjalanan, walaupun ia berdepan kos jangka pendek terhadap ekonomi," kata Abuza, seorang profesor di National War College di Washington, dalam ciapan di Twitter.

"Ini sifat kepimpinan luar biasa dari Asia Tenggara."

Kenyataan dikeluarkan ASEAN juga bersifat amat berbeza dengan protes lantang terhadap pencerobohan Rusia yang diadakan di Manila, Kuala Lumpur, Bangkok dan beberapa lagi ibu negara negara ahli blok tersebut.

220228-SEA-Ukarine-Inside1.jpg

Seorang aktivis Filipina menyalakan lilin ketika satu perhimpunan di Quezon City berhampiran Manila bagi membantah pencerobohan Rusia di Ukraine, 28 Feb. 2022. [Basilio Sepe/BenarNews]

Mesyuarat ASEAN di Washington

Sementara itu, AS pada Isnin mengumumkan bahawa ia akan menjadi hos satu mesyuarat khas pemimpin-pemimpin ASEAN di Washington pada 28 hingga 29 Mac depan, lapor Associated Press.

"Ia menjadi keutamaan kepimpinan Biden-Harris untuk menjadi rakan yang kuat dan boleh diharapkan, serta mengukuh dan menyatukan ASEAN bagi menghadapi cabaran masa kini," AP memetik kenyataan dibuat setiausaha akhbar Rumah Putih, Jen Psaki.

Mesyuarat itu dibuat ketika Washington cuba menjadikan isu wilayah Indo-Pasifik sebagai perkara utama dalam polisi luar negara mereka, ketika Beijing terus berusaha meluaskan kuasanya di Laut Cina Selatan.

Enam kerajaan negara Asia - termasuk empat anggota ASEAN - mempunyai tuntutan wilayah atau sempadan perairan yang bertindih dengan kawasan luas yang dimahukan oleh China. Sementara Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai salah satu pihak yang terlibat dengan pertikaian di Laut Cina Selatan, Beijing mendakwa bahawa ia mempunyai hak kepada kawasan laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Sejak mutakhir ini, kestabilan di Asia Tenggara telah diancam oleh dakwaan pencerobohan yang dilakukan kapal-kapal China di zon ekonomi eksklusif Indonesia, Filipina dan Malaysia di Laut Cina Selatan.

Serangan ketenteraan oleh Rusia ke atas Ukraine juga telah meningkatkan kebimbangan bahawa tindakan serupa mungkin diambil Beijing di kawasan yang dianggap sebagai wilayahnya.

"Ini adalah sesuatu yang mewujudkan dahuluan perundangan yang membimbangkan, terutama dengan negara seperti China yang berulang kali memaksakan interpretasinya mengenai undang-undang antarabangsa, yang jelas sekali dilihat di Laut Cina Selatan," kata Abuza dalam penulisannya yang disiarkan BenarNews minggu lepas.

220228-SEA-Ukraine-Inside2.jpg

Lebih 30 individu yang kebanyakannya warga Ukraine, mengadakan protes terhadap pencerobohan Rusia di hadapan Kedutaan Rusia di Kuala Lumpur, 28 Feb 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Evakuasi

Sementara itu, negara-negara Asia Tenggara sedang bekerja keras untuk membawa keluar rakyat mereka dari Ukraine, samada ke negara-negara yang berhampiran atau terus pulang ke negara asal mereka.

Pada 26 Februari, dua hari selepas Moscow melancarkan pencerobohan mereka ke atas Ukraine, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh menandatangani satu arahan yang dihantar kepada semua agensi kerajaan dan ketua daerah, meminta mereka mengkoordinasikan bantuan kepada 7,000 warga Vietnam yang tinggal di Ukraine, dengan kebanyakan mereka berada di Kharkiv, Odessa dan Kyiv," menurut Radio Free Asia, yang merupakan sekutu BenarNews.

Selain itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Vietnam pada Isnin juga telah meminta syarikat penerbangan tempatan supaya membuat perancangan sebelum 2 Mac untuk membawa balik rakyat mereka dari Ukraine, lapor RFA.

Komuniti Vietnam di Ukraine yang agak besar telah berada di sana sejak 1980an, ketika Moscow menandatangani perjanjian dengan Hanoi untuk membenarkan pelajar mereka yang berpotensi untuk belajar atau bekerja di sana.

Di Manila, jabatan hal ehwal luar Filipina berkata terdapat kira-kira 350 warga Filipina kini berada di Ukraine.

Pada Isnin, jabatan itu berkata bahawa 40 daripada mereka telah berjaya dibawa keluar dengan selamat ke Poland, Hungary dan Moldova. Enam daripada mereka telah berjaya dibawa pulang ke Filipina.

Sementara itu, beberapa laporan bebas yang disahkan oleh jabatan luar Filipina berkata bahawa "dua kapal yang membawa krew warga Filipina telah diserang menggunakan bom dan artileri di Laut Hitam."

Yasa Jupiter, sebuah kapal kargo milik Turki dan membawa bendera Marshall Islands, telah dibom ketika berada di perairan berhampiran pantai bandar pelabuhan Odessa di Ukraine pada 24 Februari, di mana antara krew kapal tersebut termasuk 11 warga Filipina.

Warga Filipina terbabit menyatakan bahawa mereka "tidak tercedera dalam kejadian itu" dan telah menghubungi keluarga mereka, kata jabatan berkenaan memetik maklumat yang telah dikumpul diplomat Filipina.

Sebuah lagi kapal dagang M/V Nomura Queen yang dimiliki Jepun dan membawa bendera Panama serta membawa 21 anak kapal Filipina juga "telah diserang menggunakan misil di Laut Hitam berhampiran Odessa dengan mengalami kerosakan di buritannya," kata jabatan berkenaan.

"Seorang krew warga Filipina terjatuh disebabkan impak serangan itu dan mengalami kecederan yang tidak membahayakan nyawa, sementara krew warga Filipina yang lain selamat," tambahnya.

Kapal berkenaan dijangka tiba di Istanbul untuk kerja-kerja pembaikan, dan jabatan luar itu berkata ia telah berhubung dengan pemilik kapal bagi memantau keadaan krew.

Di lokasi lain, sembilan warga Malaysia dan dua waris mereka telah selamat dibawa keluar dari Kyiv dan dijangka akan tiba di Malaysia pada Selasa, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

Indonesia pula telah mengeluarkan 31 orang rakyatnya dari Ukraine dan dibawa ke Poland serta Romania.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Indonesia, Teuku Faizasyah, mengesahkan berita yang dikeluarkan melalui kementerian melalui Twitter bahawa 25 warga Indonesia di Odessa, Ukraine telah dibawa ke Bucharest pada Ahad, manakal enam lagi yang tinggal di Lviv telah dibawa ke Poland pada Isnin.

Kementerian itu berkata terdapat 153 warga Indonesia di Ukraine, dengan kebanyakan daripada mereka berada di Kyiv dan bekerja dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Terdapat lebih 350 warga Thai bekerja di Ukraine, kata kedutaan Thai di Warsaw, yang turut bertanggungjawab ke atas hal ehwal negara berkenaan di negara bekas Soviet Union itu.

Kedutaan berkata 99 warga Thai telah tiba di Warsaw dan Bucharest pada Ahad, akan tetapi, para pegawai kerajaan masih bimbang mengenai 14 yang lain yang masih terkandas di bandar Kyiv yang bersempadan dengan Rusia.

"Kegusaran utama kami ialah rakyat Thai yang terkandas di Kharkiv, yang bersebelahan dengan sempadan Rusia. Disebabkan situati masa kini, kami tidak dapat membawa mereka keluar," kata Duta Thailand ke Poland, Chettaphan Maksamphan, melalui Facebook Kementerian Luar Thai pada Isnin.

"Situasi di Kharkiv sangat buruk. Kami telah meminta warga Thai supaya bertahan," tulis beliau.

Nontarat Phaicharoen di Bangkok, Ronna Nirmala di Jakarta, Suganya Lingan dan Noah Lee di Kuala Lumpur, Basilio Sepe dan Jojo Riñoza di Manila, dan Perkhidmatan Berita Vietnam Radio Free Asia telah menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.