Aktivis Mahasiswa Disiasat Polis Berhubung Protes Terhadap Naib Canselor UM

Ali Nufael
2019.10.15
Kuala Lumpur, Malaysia
191015-MY-Student-1000.jpg Aktivis pelajar memakai topeng dan berada di sebalik penjara palsu semasa bantahan berhubung skandal kewangan yang melibatkan dana negara, 1MDB, di Kuala Lumpur, 27 Ogos 2016.
[AFP]

Pihak berkuasa Malaysia mengesahkan telah menerima laporan polis yang dibuat oleh Universiti Malaya [UM], berhubung dakwaan protes ringkas seorang mahasiswa semasa berada di pentas pada majlis Istiadat Konvokesyen, ditujukan kepada Naib Canselornya kerana memberi ucapan berbaur perkauman di forum kontroversi mempromosikan hak Melayu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Kuala Lumpur Rusdi Mat Isa mengesahkan mengenai laporan polis serta siasatan berhubung perkara tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

"Kita siasat mengikut Kertas Enkuiri Polis," katanya kepada BeritaBenar pada Selasa. Kertas Enkuiri Polis adalah satu kertas yang dibuka sebelum polis membuka satu kertas siasatan spesifik terhadap sesuatu jenayah.

Aktivis Mahasiswa Wong Yan Ke, seorang graduan kejuruteraan awam di universiti berkenaan selepas menerima ijazah beliau di atas pentas pada sidang kelima istiadat berkenaan pada Sabtu lalu, telah mengeluarkan dan menayangkan plakad yang tertera diatasnya frasa ‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sambil melaungkan perkataan tersebut dan menjerit ‘ini tanah Malaysia’.

Sementara itu, UM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Selasa mengesahkan yang universiti berkenaan telah membuat laporan polis pada Isnin, berhubung insiden tersebut dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Universiti Malaya telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut. Universiti juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang jelas tidak menghormati istiadat dan mengganggu protokol serta kelancaraan majlis konvokesyen dengan mencemar nama baik Universiti Malaya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi,

"Universiti Malaya sentiasa mendukung prinsip kebebasan bersuara.. kami percaya apa juga tindakan perlulah dilakukan pada tempat dan dengan cara yang betul. Tindakan itu adalah biadap lebih lagi dihadapan canselor, ibu bapa serta pelajar lain,” kata pentadbiran UM dalam satu kenyataan media.

Wong yang dihubungi BeritaBenar dan ditanya kenapa berbuat demikian memberitahu, tindakannya itu ditujukan kepada Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim kerana memberi ucapan berbaur perkauman pada forum mempromosikan hak Melayu baru-baru ini

Di dalam ucapan pembukaan majlis itu Rahim berkata, kuasa orang Melayu telah hilang selepas kerajaan bertukar pada Mei tahun lepas dan hak istimewa orang Melayu sedang dipersoalkan.

"Saya protes kerana Naib Canselor perlu tahu kedudukannya di sebuah universiti yang dikenali dan tidak wajar baginya membuat kenyataan berbaur perkauman dan berkata sedemikian. Ramai menuduh saya bersifat biadap kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga merupakan canselor UM. Tuanku tiada diatas pentas waktu itu.

"Saya menerima ijazah daripada Pro Canselor Tan Sri Ramli Ngah Talib. Saya tidak menganggu majlis dan tidak kurang ajar, protes itu hanya mengambil masa kurang 30 saat dan saya terus turun kebawah," jelas Wong yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Protes kurang daripada 30 saat itu turut dirakamkan oleh mahasiswa yang hadir dan tersebar di media sosial.

Wong turut mengesahkan bahawa pihak polis telah menghubunginya untuk disoal di Ibupejabat Polis Daerah Brickfield pada Rabu.

Pelajar sokong NC

Tindakan Wong telah dikritik pelbagai pihak dan satu petisyen telah dimulakan oleh Penggerak Mahasiswa Universiti Malaya pada Isnin yang menggariskan beberapa tuntutan termasuk mahukan Wong meminta maaf secara terbuka terhadap perbuatannya dan mahu UM menarik ijazah yang diberikan kepada graduan tersebut.

Petisyen itu sudah mendapat lebih 75,000 tandatangan dengan puluhan pelajar Melayu UM melakukan protes aman menyokong Rahim pada Selasa.

Timbalan Pengerusi Neo Siswa UM Ahmad Azizi Aziz berkata mereka berhimpun untuk menyatakan rasa sokongan pada Rahim dan mengecam perbuatan Wong yang dianggap kurang ajar.

"Kita tidak diarahkan oleh mana mana pihak tetapi kita mahu memberikan rasa sokongan kita pada NC. Kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku. Kita perlu lebih beradab dan menjaga tatasusila apabila berhadapan dengan majlis rasmi yang membabitkan ibubapa dan orang kenamaan," kata Azizi.

Sementara itu, seorang lagi mahasiswa Edan Kon Hua En yang dikatakan rapat dengan Wong telah mendakwa beliau dilarang untuk menghadiri istiadat konvokesyennya oleh pihak tertinggi UM pada Selasa, demikian menurut laporan akhbar The Star Malaysia.

"Semasa bersedia untuk memasuki dewan pada majlis konvokesyen pagi ini, saya ditarik keluar oleh pengawal keselamatan, yang kemudiannya membawa saya masuk ke satu bilik.

"Mereka berkata seseorang dari pihak pengurusan akan berjumpa dengan saya, tetapi (sehingga sekarang) tidak ada siapa yang bertemu dengan saya," kata Kon, seperti dilaporkan akhbar tempatan itu.

Kon juga seorang aktivis mahasiswa UM, mendakwa tindakan menghalangnya dibuat pengurusan universiti kerana memuat naik sokongannya terhadap protes yang dibuat Wong di laman Facebooknya.

Badan Hak Asasi Manusia Suaram dalam satu kenyataan pula berkata sebagai satu institusi akademik, UM sepatutnya menerima protes atau "civil disobedience" selagi ianya tidak menjurus kepada keganasan.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata jika Rahim tidak boleh menerima kritikan, seharusnya beliau meletakkan jawatan.

"Jika tidak mampu menerima kritikan pelajar beliau harus letak jawatan. Beliau sepatutnya membenarkan pelajar memberi kritikan membina,” katanya.

Pada Mac lalu, Wong bersama beberapa mahasiswa lain melakukan protes di hadapan sebuah restoran berdekatan UM di mana bekas Perdana Menteri Najib Razak sedang memberi ucapan kepada pelajar dan tindakannya itu telah mengundang kepada seorang ahli UMNO bertindak ganas dan mencekiknya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.