Pemimpin Pelajar Ditahan Bantu Siasatan Akta Hasutan, Ganggu Tugas Polis

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-11-09
Share
201109-MY-UMANY990.jpg Presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY), Yap Wen Qing bercakap kepada media sebelum masuk ke Ibupejabat Polis Daerah Kajang berhubung dakwaan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong, di Kajang, Selangor, 9 November 2020.
[BeritaBenar/S. Mahfuz]

Pihak berkuasa Malaysia menahan dan kemudiannya membebaskan seorang pemimpin siswa sebuah universiti bagi membantu siasatan dibawah Akta Hasutan berhubung kenyataan berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dengan pertubuhan bukan kerajaan dan hak asasi manusia menyifatkan tindakan itu mencabul hak kebebasan bersuara siswa.

Penahanan pada hujung minggu itu melibatkan presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (UMANY) Yap Wen Qing berhubung kenyataan badan siswa pimpinannya yang disiarkan di laman media sosial Facebook pada 31 Oktober yang berkata Agong "tidak boleh campur tangan dalam urusan negara; tetapi harus mengekalkan sikap berkecuali dan memainkan peranannya dalam kerangka yang dibenarkan oleh perlembagaan”.

Selain Yap, bekas pemimpin siswa UMANY, Wong Yan Kee juga ditahan atas dakwaan menghalang tugas polis kerana merakam serbuan keatas rumah Yap, yang didakwa mereka polis tidak mempunyai waran untuk masuk dan geledah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Fadzil Ahmat pada Ahad mengesahkan mengenai sebab penahanan Wong yang didakwa mengganggu tugas polis tetapi tidak mengulas lanjut kenapa pihaknya melakukan serbuan keatas rumah Yap di Petaling Jaya.

"Ketika kami melakukan serbuan berkaitan siasatan membabitkan kes UMANY di bawah Akta Hasutan, lelaki berusia 24 tahun itu telah mengganggu tugas polis dengan membuat rakaman video dan menyiarkan di Facebook Live.

"Setelah amaran diberi dan tidak diendahkan, pihak polis telah menahannya dan rampas telefon bimbit daripada lelaki tersebut kerana kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

“Lelaki terbabit telah dibawa ke Ibupejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk tindakan lanjut dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," kata Fadzil dalam satu kenyataan media pada Ahad tanpa mengulas lanjut mengenai sebab serbuan dibuat.

Pada Isnin, enam lagi aktivis pelajar termasuk Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) Haziq Azfar Ishak yang menerajui organisasi tertinggi yang menaungi keseluruhan persatuan di kampus itu telah dipanggil untuk memberi keterangan di Ibupejabat Polis Daerah Kajang bagi membantu siasatan berhubung isu yang sama.

Peguam Wang Guan Hui mengesahkan kepada BeritaBenar yang beliau telah mengiringi enam pelajar yang merupakan anggota UMANY ke IPD untuk diambil keterangan lebih 2 jam.

“Mereka dipanggil sebagai saksi untuk membantu siasatan polis terhadap kes tersebut,” sambil memberitahu yang beliau telah dimaklumkan oleh pihak polis berhubung 70 laporan telah dibuat mengenai kes tersebut.

Sementara itu, Wong apabila dibebaskan selepas 15 jam ditahan pada Ahad menafikan yang beliau menggangu tugas pihak polis dengan mendakwa rakaman dibuat dari tepi dan tidak menghalang baik dari secara fizikal atau lisan.

"Individu yang mengaku sebagai polis menjerit kepada kami, ketika itulah saya memutuskan untuk memulakan rakaman langsung Facebook, kerana saya bimbang nyawa kami terancam," kataya pada satu sidang media.

Wong menambah kebimbangan itu mempunyai berhubung dengan pelbagai ancaman yang diterima oleh beberapa pemimpin UMANY di dalam talian selepas respons badan siswa berkenaan terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan perdana menteri untuk mengistiharkan darurat.

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah pada awal November selepas menolak pemohonan perdana menteri itu telah menasihati semua Ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tenguk Zafrul Aziz di Dewan Rakyat pada 6 November.

Kata kumpulan siswa itu, dibawah Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Agong harus bertindak sesuai dengan nasihat kabinet kecuali dalam tiga perkara yang melibatkan pelantikan perdana menteri, menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu.

Dalam pada itu, peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Yap dan Wong mengesahkan penahanan keatas kedua-dua mereka dengan berkata mereka ditahan dilokasi berasingan pada hari yang sama, iaitu Sabtu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada Ahad.

Menurut Pillai, Yap ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan manakala Wong ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan telefon bimbitnya dirampas oleh pihak polis.

Berhubung ketiadaan waran semasa polis menggeledah rumah, Pillai menjelaskan memandangkan Yap disiasat di bawah Akta Hasutan, polis yang berpangkat Asisten Superintendan dan keatas diberi kuasa untuk menggeledah rumahnya tanpa sebarang waran.

Langgar hak asasi

Sementara itu, CIJ mendesak pihak berkuasa untuk menghentikan siasatan ke atas UMANY dan berhenti menyoal siasat dan menggeledah rumah ahlinya.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mendesak pihak berkuasa untuk menghentikan tindakan menyoal siasat dan menggeledah rumah pemimpin UMANY kerana melanggar hak kebebasan bersuara dan berucap.

“Kami kecewa bahawa kerajaan secara sewenang-wenang terus menggunakan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat pandangan tidak konvensional,” katanya dalam kenyataan.

Sebaliknya CIJ menggesa pihak berkuasa untuk melindungi anggota UMANY yang diganggu dengan ancaman dalam talian atas kenyataan mereka disamping kebebasan bersuara dapat ditegakkan menurut Artikel 10 Persekutuan Perlembagaan.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, Katrina Jorene Maliamauv pula berkata, kebebasan bersuara adalah hak yang diberi jaminan mengikut undang-undang antarabangsa hak asasi manusia dan juga Perlembagaan Persekutuan dan hanya boleh dibatasi sekiranya tindakan mereka adalah melampau.

"Keputusan untuk menyiasat pelajar ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ini adalah pelanggaran hak mereka untuk bebas bersuara, terutama jika perbuatan mereka memuat naik posting di Facebook sebenarnya adalah sebahagian daripada perbahasan akademik.

"Langkah pihak berkuasa ini nyata bertujuan untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan mereka," kata Katrian dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Presiden Badan Peguam Malaysia Salim Bashir semasa dihubungi BeritaBenar berkata merakam pihak polis melakukan serbuan bukanlah suatu perbuatan jenayah dan sekiranya pegawai polis menjalankan tugasnya sesuai dengan undang-undang, tidak ada alasan untuk mereka membantah rakaman tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh