UMNO ‘Tukar’ Setiausaha Agung BN Sehari Sebelum Tentukan Hubungan dengan Bersatu

Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan menggantikan Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional dan Muafakat Nasional.
Hadi Azmi
2021.01.05
Kuala Lumpur
UMNO ‘Tukar’ Setiausaha Agung BN Sehari Sebelum Tentukan Hubungan dengan Bersatu Presiden Parti Pertubuhan Melayu Bersatu (UMNO), Ahmad Zahid Hamidi semasa menghadiri mesyuarat bersama ketua-ketua bahagian di Ibupejabat UMNO di Kuala Lumpur, 5 Januari, 2021.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Blok utama gabungan pemerintah Malaysia pada Selasa memecat setiausaha agung yang dilihat terlalu menyokong parti Perdana Menteri, sekaligus kata penganalisa politik tindakan itu memberi indikasi pilihan raya umum bakal diadakan tidak lama lagi, dengan UMNO pada Rabu akan memutuskan hala tuju kerjasamanya dengan parti Muhyiddin Yassin semasa pilihan raya akan datang.

Ahli Parlimen Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Annuar Musa dalam satu ciapan di laman Twitternya memberitahu yang beliau mendapat maklum mengenai pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), yang telah disandangnya sejak Mac 2020 menerusi media.

“DS (Datuk Seri) Presiden, saya diberitahu oleh media saya dipecat sebagai SUA (Setiausaha Agung) BN dan SU (Setiausaha Agung) MN (Muafakat Nasional). Saya ucapkan terima kasih atas kesempatan berkhidmat di kedua-dua jawatan tersebut. Selamat Maju Jaya DS Presiden. Salam Hormat. Annuar Musa,” demikian menurut paparan imej di skrin mesej yang dihantar kepada Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi, yang dikongsi Annuar di akaun Twitter peribadinya pada petang Selasa.

BN adalah gabungan parti utama terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC yang pernah memerintah Malaysia lebih 60 tahun lalu manakala Muafakat Nasional adalah platform kerjasama antara parti terbesar orang Melayu, UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang diwujudkan selepas kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum ke-14, hampir tiga tahun lepas.

Pemecatan Annuar itu, bagaimanapun disangkal oleh Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan yang berkata Ahli Parlimen Ketereh, dari Kelantan itu hanya ‘digantikan’.

"Beliau [Annuar] tidak dipecat…, beliau diganti… Kebiasaannya Setiausaha Agung [UMNO] akan turut berfungsi sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional. Pada saya, itulah sebab Annuar diganti.

“Saya turut diberikan tugas untuk menjadi Setiausaha Agung Muafakat Nasional,” kata Ahmad Maslan yang akan menggantikan Annuar memegang kedua-dua jawatan tersebut menjawab pertanyaan media selepas sesi perjumpaan Presiden UMNO dengan seramai 191 perwakilan UMNO bahagian di Ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur pada Selasa.

Tindakan diambil UMNO berhubung status Annuar itu adalah sehari sebelum pemimpin-pemimpin utama parti berkenaan bertemu pada Mesyuarat Majlis Tertinggi untuk membincangkan usul penolakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti diputuskan oleh akar umbi yang telah mengadakan mesyuarat peringkat bahagian sejak beberapa bulan lepas.

Keputusan menggantikan Annuar dengan Ahmad Maslan itu juga tidak diterima baik oleh parti gabungan dalam BN sendiri, apabila parti MCA - Malaysian Chinese Association melahirkan rasa kecewa berhubung tindakan tersebut yang dibuat tanpa mendapat konsultasi dari parti gabungan lain.

“MCA beranggapan bahawa perlantikan ke sebarang jawatan dalam Barisan Nasional perlulah dibuat berdasarkan perlembagaan gabungan dan berpandukan konvensyen seperti pencalonan perlu dibentangkan dan dipersetujui tanpa berbelah bahagi dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi BN,” kata parti itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut MCA sehingga kenyataan parti itu dikeluarkan, tiada sebarang notis mesyuarat majlis tertinggi BN bagi membincangkan tindakan dan keputusan dibuat UMNO diterima parti itu.

Annuar, yang dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan oleh Muhyiddin, sejak akhir-akhir ini, dilihat selalu mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan partinya UMNO, sebaliknya lebih menyebelahi Muhyiddin dan parti Bersatu.

Keputusan tegas

Pakar politik Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya memberitahu BeritaBenar bahawa ‘pemecatan’ Annuar membuktikan ianya adalah keputusan tegas parti supaya ahli lain yang turut mempunyai pemikiran tidak selari serta tidak patuh kepada UMNO akan berdepan dengan nasib yang sama. 

“Menarik keluar Annuar Musa daripada jawatan yang disandangnya dilihat sebagai satu keputusan tegas parti supaya mereka yang lain yang mempunyai pemikiran sama [dengan Annuar] dalam UMNO, untuk terus patuh kepada parti,” kata beliau.

Beliau berkata sejak akhir-akhir ini Annuar mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memperlihatkan Majlis Tertinggi UMNO tidak mempunyai kuasa dan mengelirukan semua ahli termasuk orang awam.

“Kenyataan-kenyataan oleh Annuar menampakkan seperti Majlis Tertinggi UMNO tidak mempunyai kuasa serta merisaukan bukan sahaja ahli UMNO tetapi juga awam kerana ianya mengelirukan. Orang awam pun keliru, Annuar ini orang UMNO atau Bersatu dan perkara ini boleh membawa kepada kekeliruan dan ketidaktentuan dan seterusnya ketidakstabilan,” tambah beliau.

Beliau berkata konflik antara UMNO dan Bersatu sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan bakal membawa kepada pilihan raya umum mengejut.

“Mereka sudah sampai penghujung dan tiada apa lagi yang boleh ditawarkan oleh Perdana Menteri untuk menyelesaikan perkara ini. Bersatu tidak akan berdiam diri dengan hanya menerima sahaja serangan dari UMNO. Mereka akan melawan,” katanya.

Keputusan 143 daripada 191 UMNO bahagian seluruh negara yang menolak sebarang kerjasama antara UMNO dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang dilihat oleh pakar politik itu sebagai desakan akar umbi yang menolak sebarang kerjasama dengan parti pimpinan Muhyiddin yang tidak dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya.

Awang berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi pada malam Rabu itu juga akan mendapat desakan kuat dari dalam parti supaya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat termasuk arahan kepada ahli yang juga anggota kabinet Muhyiddin untuk meletakkan jawatan.

Muhyiddin yang mula memegang tampuk kuasa pada Mac tahun lalu selepas krisis politik yang menyaksikan perletakkan jawatan Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan yang sempat memeritah selama 22 bulan, hanya memiliki 31 kerusi di Parlimen berbanding UMNO, 39 wakil.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.