Penganalisis: Desakan bebaskan Najib Razak boleh tumbangkan Kerajaan Perpaduan
2024.08.26
Kuala Lumpur
Kerajaan campuran Malaysia yang rapuh boleh menyaksikan pergeseran dalam masa terdekat, kata penganalisis pada Isnin selepas ribuan anggota perwakilan UMNO, salah satu parti dalam gabungan pemerintah itu - dengan penuh lantang dan menitiskan air mendesak bekas perdana menteri Najib Razak dibebaskan dari penjara.
Najib kini sedang menjalani separuh hukuman penjaranya yang dikurangkan kepada enam tahun atas sabitan salah guna kuasa melibatkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dengan kerajaan pakatan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa ia tidak akan campur tangan dalam proses pengampunan.
Sentimen untuk pembebasan Najib dapat dirasai semasa Perhimpunan Agung UMNO, parti berteraskan orang Melayu yang berlangsung selama empat hari parti itu di Kuala Lumpur minggu lepas.
Desakan pengampunan bagi Najib merupakan isu pertikaian yang membebankan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata para penganalisis.
"Sekiranya kes mahkamah Najib digugurkan, ia akan membawa kepada pergaduhan dalam kalangan komponen Pakatan Harapan, mungkin dengan peningkatan permusuhan terhadap UMNO.
"Mereka akan terpecah antara keperluan untuk mengekalkan gabungan dan mempertahankan kepercayaan mereka untuk bekerja dengan kleptokrat yang telah terbukti," Ahmad Mohsein Azman, penganalisis BowerGroupAsia, sebuah firma perunding politik kepada BenarNews.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh menyebabkan keretakan, terutamanya dalam gabungan Pakatan Harapan dipimpin Anwar yang telah lama menentang pentadbiran Najib.
Ahmad Mohsein juga berkata jika kes mahkamah membabitkan Najib diteruskan, ia boleh mendorong ahli UMNO berpengaruh khususnya yang tidak memegang jawatan penting dalam Kabinet untuk menggesa kepimpinan parti itu berundur daripada kerajaan.
“Ini akan menjadi keputusan paling tidak diingini, dengan Anwar dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi akan cuba elakkannya. Oleh itu, kemungkinan besar isu ini akan berlarutan apabila kerajaan terpaksa menguruskan kehendak semua pihak,” tambah beliau lagi.
Najib, yang menerajui UMNO dan negara dari 2009 hingga 2018 telah menjadi tokoh polarisasi dalam politik Malaysia sejak disabitkan kesalahan dalam skandal 1MDB, salah satu penipuan kewangan terbesar dunia.
Pendirian jelas
Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Syaza Shukri pula berpendapat isu Najib akan terus menjadi masalah terbesar yang dihadapi oleh kerajaan gabungan sekarang.
“Pakatan Harapan mempunyai pendirian jelas menolak pengampunan terhadap Najib. Kalau boleh saya katakan, rakyat Malaysia sangat jelas apabila keluar mengundi pada Pilihan Raya 2018. Ini pasti menjadi isu yang boleh memecahkan kerjasama ini.
“Saya fikir mereka (ahli UMNO) akan menyalahkan Pakatan Harapan dan Zahid akan dilanjutkan kedudukannya dalam kerajaan kerana bersetuju dengan gabungan pemerintah.
"Tetapi saya hairan bagaimana Zahid dapat terselamat selama dua tahun ini, jadi saya rasa beliau boleh mengharunginya jika akar umbi hilang kepercayaan kepadanya semula dengan hanya bertahan,” kata Syaza kepada BenarNews.
Dalam pada itu, Azeem Fazwan Ahmad Farouk, Pengarah Pusat Kajian Dasar, Universiti Sains Malaysia berkata pemimpin UMNO dan penyokong Najib telah menunjukkan solidariti kepada bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu dan akan terus memberi desakan untuk pengampunannya.
“Desakan untuk pengampunan bagi Najib boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan parti gabungan lain dan berpotensi berlakunya ketidakstabilan dalam Kerajaan Perpaduan.
“Sama ada ia akan menyebabkan kedua-dua pihak berpisah atau sebaliknya masih tidak jelas dan ini pastinya tidak akan berlaku serta-merta,” kata Azeem kepada BenarNews.
UMNO yang memerintah Malaysia sejak merdeka pada 1957 telah ditumbangkan pada pilihan raya umum 2018 berikutan kemarahan orang ramai terhadap skandal 1MDB.
Bagaimanapun, selepas prestasi hambar dalam pilihan umum 2022, UMNO bergabung tenaga dengan bekas musuh politiknya, Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan perpaduan, sebuah gabungan yang dilihat sebagai “perkahwinan sementara” atas nasihat Yang di-Pertuan Agong ketika itu.
Bukan keutamaan
Bridget Welsh, penyelidik kehormat bersekutu Institut Penyelidikan Asia Universiti Nottingham pula memberitahu BenarNews isu Najib bukan satu keutamaan dan sokong terhadap pemimpin yang dipenjarakan itu mempunyai dua tujuan.
“Isu Najib tidak menjadi keutamaan…Najib mempunyai sedikit sokongan tetapi tidak sekuat dahulu. Mempertahankan pemimpin parti adalah sesuatu yang dijangka dan berkemungkinan diteruskan.
“Sokongan bagi perdana menteri sebelum ini (Najib) mempunyai dua tujuan. Sebahagian pemimpin, ia adalah retorik untuk menunjukkan sokongan parti. Kebanyakan (walaupun tidak semua) pemimpin tidak mahu beliau kembali berkuasa kerana ia akan memberi kesan kepada kedudukan dan kebangkitan mereka.
“Kedua, sokongan pihak lain pula mencerminkan nostalgia masa lalu dan menafikan kesalahan Najib. Ia tidak realistik dalam persekitaran semasa. Perbicaraan Najib perlu sampai ke penghujungnya sebelum keputusan dibuat bagi masa depannya,” kata beliau.
Desakan untuk pengampunan Najib menghadapi tentangan ketara dari dalam kerajaan perpaduan, khususnya daripada Pakatan Harapan dan Parti Tindakan Demokratik (DAP), komponen gabungan yang secara sejarah berseteru dengan UMNO.
DAP, parti majoriti Cina telah lama mengkritik Najib dan rakan-rakannya berhubung skandal 1MDB.