Perwakilan UMNO akan tentukan pertandingan dua jawatan tertinggi parti
2023.01.13
Kuala Lumpur
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat berkata ahli-ahli parti terbesar Melayu itu perlu memutuskan sama ada jawatan presiden yang disandangnya perlu dipertandingkan pada pemilihan parti yang bakal berlangsung pada Mei, biarpun dua pencabar utamanya telah menyatakan hasrat untuk merebut jawatan tertinggi tersebut.
Sementara itu, 2,838 perwakilan dari seluruh negara yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dijangka akan mengundi usul sama ada dua jawatan tertinggi parti itu tidak perlu dipertandingkan, sebelum berakhirnya persidangan yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu.
“Saya tahu, perkara-perkara ini, menjadi modal yang terus dimainkan, tambahan pula pemilihan parti semakin hampir. Termasuklah, saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden.
“Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga mahu ia dipertandingkan. Sebagai seorang demokrat, saya serahkan kepada para perwakilan untuk menentukannya. Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang mana kaca yang mana permata,” demikian menurut Zahid dalam ucapan dasar Presiden pada perhimpunan itu.
Pendirian Zahid itu dibuat biarpun dua seteru yang dijangka akan mencabarnya bagi jawatan tertinggi parti itu tampil menyatakan kesediaan untuk bertanding dua jawatan berkenaan.
Gelombang desakan dari dalam parti supaya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melepaskan jawatan Presiden telah bermula sebaik sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 [PRU15] yang berlangsung November lalu, susulan prestasi terburuk UMNO dan Barisan Nasional [BN] apabila hanya menang 30 kerusi Parlimen daripada 222 yang ditandingi.
Namun begitu, Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim setelah membawa 30 Ahli Parlimen dari BN untuk membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Pakatan Harapan – di sebalik tindakan 10 Ahli Parlimen BN menyokong Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri berikutan tiada gabungan berjaya memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan selepas PRU15.
Tindakan Zahid itu mendapat reaksi bercampur di kalangan akar umbi UMNO yang rata-rata berpegang kepada resolusi PAU sebelum itu, yang menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) – dua musuh tradisi UMNO.
Cubaan elak pertandingan jawatan tertinggi
Pendirian Zahid itu sekaligus mengakhiri teka-teki sama ada beliau sedia dicabar dalam pemilihan susulan tindakan seramai 126 Ketua Bahagian UMNO menyatakan pendirian supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan bagi memperkukuhkan parti bagi berdepan enam pilihan raya negeri yang perlu dilangsungkan pada Julai depan.
Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan dalam nada sama menyatakan kebimbangan pertandingan jawatan tertinggi boleh menyebabkan perpecahan dalaman.
“Kalau boleh dalam keadaan kita jatuh terduduk ini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain itu eloklah menang tanpa bertanding, kerana kalau bertanding sedikit sebanyak ia akan menyebabkan perpecahan," katanya kepada media pada Khamis selepas perasmian serentak Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Begitupun, Mohamad berkata beliau bersedia mempertahankan jawatannya sekiranya ditandingi.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin pantas menempelak sebarang usaha untuk menghalang proses demokrasi dalam UMNO.
“Hentikan kegilaan ini, saya rasa presiden seorang fighter yang tidak gentar menghadapi pencabar. Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” ujar Khairy di ruang Instastory.
'Reform, Relevan atau Rest In Peace'.
Ketika berucap pada Regional Outlook Forum 2023 di Singapura pada Selasa, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan menegaskan pemilihan UMNO kali ini adalah 3R iaitu 'Reform, Relevan atau Rest In Peace' untuk kebaikan parti itu.
“Jadi kita pergi ke pemilihan ini, dengan harapan dapat menentukan hala tuju baharu untuk UMNO,” ujarnya pada forum tersebut, merujuk kepada video yang tersebar di media sosial.
Dalam ucapannya, Khairy turut menegaskan UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar sekiranya beliau atau sekutunya menang dalam pemilihan jawatan tertinggi UMNO.
Desakan oleh Khairy supaya jawatan tertinggi dipertandingkan turut disambut oleh para perwakilan sayap-sayap UMNO; Pemuda, Wanita dan Puteri.
Shahril Sufian Hamdan, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO susulan prestasi buruk parti itu pada PRU15 menegaskan kedua jawatan tertinggi perlu dipertandingkan.
“Yang penting bagaimana bukan hanya menyesuaikan diri dengan politik selepas PRU tetapi juga memahami bagaimana punca keputusan PRU dan apa yang perlu kita lakukan untuk pastikan perkara itu tidak berlaku lagi dan bukan terjurus lebih teruk lagi,” ujarnya kepada media.
Tiada sekatan untuk bertanding
Isham Jalil, Ketua Penerangan UMNO menyifatkan pendirian Zahid memberi isyarat jelas bahawa parti tidak boleh menyekat mana-mana pemimpin dari bertanding jawatan presiden dan timbalan presiden.
“Setakat ini kita tidak halang sesiapa untuk bertanding. Cuma sesiapa yang ingin bertanding silalah buat pengumuman secepat mungkin, kita tidak mahu sekelompok ini sorok-sorok di belakang dan membuat gerakan sembunyi.
“Jika mahukan demokrasi sebenar, tidak adil untuk mereka melakukan gerakan di belakang atau secara sembunyi,” katanya kepada pemberita dalam reaksinya kepada ucapan dasar presiden.
Dalam reaksi kepada ucapan Zahid, bekas naib presiden UMNO Hishammuddin Hussein menyatakan kesediaan untuk bertanding, biarpun tidak menyatakan dengan jelas jawatan yang sedang diintainya.
“Kita kena menunggu mesyuarat PAU kali ini dan sekiranya keputusan PAU ada pemilihan, saya sendiri tidak keberatan memikirkan untuk bertanding dalam pemilihan yang akan datang,” katanya kepada media selepas mengikuti ucapan dasar Presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, tempat berlangsungnya perhimpunan tersebut.
Kuasa perubahan di tangan perwakilan
Dalam pada itu, para penganalisis politik berpandangan kuasa untuk membuat perubahan kepada tampuk kepimpinan UMNO terletak di tangan para perwakilan parti itu.
Bridget Welsh, penganalisis dari University of Nottingham Malaysia bersetuju bahawa dua jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan.
“Setuju, dua jawatan tertinggi UMNO perlu dipertandingkan. Para perwakilan di PAU mempunyai banyak perkara untuk dibahaskan memandangkan ini adalah tempoh yang sukar dan penting kepada parti. Ia bukan mudah.
“Keputusan sukar mesti diambil, melibatkan sokongan kepada keputusan untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan sehinggalah kepada kepimpinan parti dan langkah memulihkan UMNO,” ujarnya kepada BenarNews.
Welsh menegaskan para perwakilan perlu diberikan kebebasan untuk membuat keputusan untuk memilih pemimpin parti di semua peringkat.
“Pemimpin perlu mengambil tanggungjawab terhadap prestasi mereka, bukan sahaja dalam PRU tetapi juga pemilihan parti.
“Proses reform yang bermakna dalam UMNO telah lama tertangguh. Stigma (dan realiti) amalan rasuah dalam UMNO masih menebal.
“Mempertahankan dan memperkasa para pemimpin yang terpalit dengan dakwaan rasuah dan yang menghadapi pertuduhan jenayah, tidak membantu parti itu. Pemimpin-pemimpin yang menggunakan parti untuk kepentingan diri sebenarnya yang mengancam parti UMNO,” tambah Welsh lagi.
Awang Azman Awang Pawi, penganalisis dari Universiti Malaya bersetuju bahawa keputusan terletak kepada para perwakilan UMNO.
“Pemilihan dua jawatan tertinggi perlu dipertandingkan jika ada calon yang lebih berkredibiliti dalam UMNO. Kalau setakat kurang popular dalam parti sendiri, pernah kalah dalam pemilihan, atau hanya disokong segelintir sahaja ia hanya buangkan masa dan tenaga ahli UMNO. Lebih baik fokus PRN dan pulih parti.
“Tetapi kesemua ini bergantung kepada perwakilan untuk menentukan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan atau sebaliknya,” ujarnya.
Awang Azman berkata Zahid kelihatan bersedia untuk berdepan dengan pemilihan kerana mempunyai kelebihan sebagai penyandang serta jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Begitupun, beliau tidak menolak kemungkinan kedudukan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya mungkin terjejas sekiranya Zahid tewas dalam pemilihan itu.
“Kuasa Presiden UMNO dan Pengerusi BN mampu ubah sokongan daripada Kerajaan Perpaduan kepada PN,” katanya lagi kepada BenarNews.