Follow us

Zahid: UMNO Sokong Muhyiddin Hingga PRU 15, Dengan Berasaskan Syarat

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-03-12
E-mel
Komen
Share
Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi bersama bekas Naib Presiden parti itu, Hishammuddin Hussein berbual selepas satu sidang media di Kuala Lumpur, 14 Mei, 2018.
Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi bersama bekas Naib Presiden parti itu, Hishammuddin Hussein berbual selepas satu sidang media di Kuala Lumpur, 14 Mei, 2018.
[AP]

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap pimpinan Muhyiddin Yassin sehingga Pilihan Raya Umum ke-15, kenyataan pertama selepas menyertai kerajaan Perikatan Nasional, dengan mendesak enam tuntutan yang perlu diambil tindakan segera.

Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis selepas mempengerusikan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut menegaskan yang parti itu akan proaktif dalam peranannya sebagai ejen semak dan imbang terhadap kerajaan baharu bagi memastikan suara dan aspirasi rakyat benar-benar terbela.

“Sokongan yang diberikan UMNO sehingga terbentuknya kerajaan baharu pada 1 Mac lalu, adalah semata-mata satu tanggungjawab moral untuk menyelamatkan negara dari krisis politik berterusan. UMNO akan terus memberi sokongan kepada kerajaan baharu pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga PRU ke-15 berasaskan beberapa panduan dan berdasarkan kepada aspirasi rakyat,” kata Presiden UMNO itu

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang tidak dinamakan dalam Kabinet Muhyiddin kerana beliau terpalit dengan perbicaraan mahkamah berhubung kes rasuah, dalam senarai enam tuntutan segera UMNO itu mendesak Muhyiddin menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat segala tuduhan salahlaku dan penyelewengan Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pengurusan Tabung Haji terdahulu.

“Menilai semula dengan segera semua keputusan penjualan secara lambak aset-aset strategik negara dan agensi berkepentingan rakyat termasuk Tabung Haji, Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Demi memenuhi prinsip ‘rule of law’ yang sebenar, UMNO mendesak kes-kes penyelewengan yang dihentikan perbicaraannya oleh kerajaan PH dibuka semula dan ini termasuk kes skandal rasuah terowong dasar laut dan tiga lebuh raya melibatkan pemimpin DAP bernilai RM6.3 bilion,” kata Ahmad Zahid lagi.

Selain itu, Presiden UMNO juga membuat tuntutan supaya pimpinan Muhyiddin membatalkan agenda kerajaan PH untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang sengaja mahu mengongkong dan mengekang tugas dan tanggungjawab pihak polis

Ahmad Zahid juga mendesak menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap mereka yang dikaitkan dengan kes pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim selain membekukan semua keputusan pemberhentian kakitangan awam berstatus kontrak, dan mengkaji semula dasar pengurangan kakitangan awam termasuk memastikan kebajikan penjawat awam terbela.

Katanya, kerajaan baru itu juga perlu melaksanakan tanggungjawab dengan memberikan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, kenegerian dan darjat serta tidak mengulangi kesilapan Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan isu-isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

"Kerajaan baharu juga harus segera berusaha menangani kelembapan ekonomi semasa termasuklah melakarkan pelan tindakan berkesan menghadapi cabaran ekonomi global dan kesan wabak COVID-19," katanya.

UMNO tidak senang

Sementara itu Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin dalam laman media sosial Instagramnya berkata MKT telah bersetuju bahawa kerajaan yang ada [hari ini] hanyalah perikatan antara Ahli Parlimen dan bukan kerjasama antara parti-parti.

“UMNO akan terus main peranan semak dan imbang dan menegur kerajaan ini selari dengan kedudukan UMNO sebagai suara hati orang Melayu khususnya,” kata beliau.

Muhyiddin, 72, telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lepas, apabila berlakunya perebutan kuasa ‘pintu belakang’ disebabkan oleh perletakan jawatan Mahathir Mohamad, apabila tercetusnya krisis politik sehingga berlakunya keruntuhan kerajaan reformis Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan.

Ahli Parlimen Pagoh mengumumkan Bersatu keluar daripada PH dan membawa bersamanya beberapa Ahli Parlimen termasuk kumpulan Azmin Ali, Timbalan Presiden parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berpaling tadah untuk bergabung dengan UMNO dan Barisan Nasional serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.

Muhyiddin pada Isnin telah memperkenalkan senarai 31 menteri Kabinet yang dikuasai oleh etnik Melayu, yang mempunyai majoriti 32 juta penduduk, perlantikan yang menyaksikan
sembilan jawatan Menteri diberikan kepada UMNO yang tercemar oleh rasuah, tiga mewakili parti Islam Se-Malaysia, masing-masing satu kerusi bagi parti Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA).

Beliau juga memilih seramai 38 timbalan menteri dengan mengambil tindakan tidak menamakan jawatan timbalan perdana menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan – Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa; Ismail Sabri Yaakob [Pertahanan]; Fadillah Yusof [Kerjaraya] dan Radzi Jidin [Pendidikan], yang turut membenarkan mereka mempengerusikan mesyuarat Kabinet apabila ketiadaan beliau.

Beberapa Ahli MKT UMNO termasuk Tajuddin Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak tidak berpuas hati dengan tindakan Muhyiddin dalam memilih portfolio wakil UMNO sebagai menteri yang dianggap tidak seimbang, selain tidak memberikan sebarang jawatan kepada presiden dan timbalan presiden parti itu dalam Kabinetnya.

“Ini isyarat untuk yang tidak bagus. UMNO tidak berapa selesa melihat perkara itu. Bagi saya itu sebagai penerusan agenda Bersatu dan mungkin lebih daripada itu,” katanya.

Arief Rahmat di Kuala Lumpur, turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh