UMNO pecat, gantung pemimpin kanan parti termasuk bekas menteri

Khairy Jamaluddin, Noh Omar antara yang dipecat manakala Hishammuddin Hussein digantung keahlian.
Noah Lee & Iman Muttaqin Yusof
2023.01.27
Kuala Lumpur
UMNO pecat, gantung pemimpin kanan parti termasuk bekas menteri Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden (pada masa itu) Hishammuddin Hussein berbual selepas satu sidang media di Kuala Lumpur, 14 Mei, 2018.
[AP]

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang merupakan sebahagian daripada gabungan politik yang membentuk kerajaan Malaysia memecat dua bekas pemimpin kanan dan menggantung empat ahli berprofil tinggi, termasuk bekas tiga bekas menteri atas dakwaan melanggar disiplin parti, demikian menurut kenyataan rasmi parti yang dikeluarkan pada lewat Jumaat.

Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Noh Omar dipecat daripada parti terbesar orang Melayu itu manakala bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, yang juga anak kepada Perdana Menteri ketiga Malaysia digantung keahlian parti selama enam tahun.

Selain itu, 42 orang ahli parti di peringkat bahagian dari empat buah negeri turut dipecat atas pelbagai kesalahan ketika pilihan raya umum ke-15 baru-baru ini, termasuk melawan Barisan Nasional dan membantu parti lawan.

Keputusan tersebut dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam satu mesyuarat yang diadakan pada Jumaat, di mana antara agenda utama perbincangan adalah mengenai tindakan terhadap mereka yang dilihat telah mensabotaj parti berkenaan.

"Ahli UMNO yang dipecat daripada parti atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 ialah Noh Omar dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, manakala ahli UMNO yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun ialah Hishammuddin Tun Hussein, Maulizan Bujang, Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan," kata kenyataan dikeluarkan oleh setiausaha agung UMNO Ahmad Maslan.

Noh merupakan bekas pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Selangor, Khairy dan Hishammuddin adalah bekas Ketua Pemuda dan naib presiden UMNO manakala Shahril pula adalah bekas ketua penerangan parti tersebut.

Sementara itu, Maulizan dan Mohd Salim merupakan Ketua Bahagian UMNO Tebrau di Johor dan UMNO Jempol di Negeri Sembilan .

Menurut kenyataan Ahmad Maslan, mesyuarat badan kepimpinan tertinggi parti itu pada Jumaat juga memutuskan untuk memecat lima orang ahlinya dari bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli bahagian Putrajaya, dua ahli (Tanjung Karang), dan 26 lagi dari Pahang.

"Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15," kata beliau.

Ahmad Maslan bagaimanapun tidak memberikan maklumat terperinci mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan oleh setiap bekas pemimpin dan ahli tersebut.

Sumber dalaman UMNO yang bercakap kepada BenarNews mendakwa bahawa kesemua tindakan yang diputuskan pada Jumaat adalah berdasarkan syor dari Lembaga Disiplin parti itu.

Sumber tersebut, yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan kerana tidak mempunyai kebenaran untuk membuat kenyataan kepada media, turut mendakwa bahawa Khairy dipecat kerana kritikan dibuat beliau terhadap parti semasa PRU15, namun tidak mengulas lebih lanjut.

Pada Khamis, Zahid dilaporkan memberitahu media tempatan bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada Jumaat akan melaksanakan tindakan "pembersihan besar-besaran" dalam parti itu seperti yang telah diumumkan ketika Mesyuarat Agung pada 13 dan 14 Januari lepas, termasuk terhadap mereka "yang mensabotaj parti dan calon parti dalam pilihan raya umum".

Susulan pengumuman mengenai pemecatan beliau, Khairy telah memberikan respon segera melalui media sosial dengan satu kenyataan pendek.

"Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken (tidak tunduk, tidak bengkok, tidak terjejas)," kata bekas menteri itu melalui ciapan di Twitter.

Noh pula dilaporkan berkata bahawa parti itu memutuskan untuk menggantung keahliannya selama enam tahun, namun beliau telah meminta supaya dipecat dan perkara itu telah dipersetujui Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti itu.

"Buat apa gantung saya? Sebaliknya saya minta presiden pecat sahaja saya. Dan presiden bersetuju dengan permintaan saya dan kata saya telah dipecat dengan serta-merta,” katanya kepada media tempatan ketika ditemui di Ibupejabat UMNO di Kuala Lumpur.

KHAIRY_JAMALUDDIN_BENARNEWS_03.jpg

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada masa itu, bercakap pada sidang media berkaitan peraturan pemakaian topeng muka di Kuala Lumpur, 7 September 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Dorong ahli tinggalkan parti

Sementara itu, beberapa penganalisis politik berbeza pandangan mengenai kesan daripada tindakan diambil oleh pimpinan UMNO terhadap kumpulan yang didakwa telah mensabotaj parti tersebut.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham Malaysia memberitahu BenarNews bahawa pemecatan dan penggantungan tersebut akan membawa impak negatif terhadap UMNO dari segi imejnya di mata rakyat, dan percaya akan mendorong ahli parti yang tidak gembira dengan apa yang berlaku untuk meninggalkan pertubuhan berkenaan.

Ia juga menguatkan lagi persepsi bahawa Zahid berasa bahawa kedudukannya sebagai presiden masih tidak selamat dan berbuat demikian untuk mengeluarkan pemimpin lain yang berpotensi untuk menggugat kepimpinannya.

"Dalam parti itu sendiri, ia boleh memberikan rasa selamat yang palsu kerana pemimpin berada dalam kedudukan di mana mereka tidak ada pencabar yang kuat. Akan tetapi, ia akan memberikan tekanan lebih kuat untuk menyebabkan perpecahan dalaman, dan memaksa mereka yang tidak gembira dengan parti untuk keluar, dan ini akan melemahkan parti itu sendiri," kata Welsh kepada BenarNews.

Tambah beliau, tindakan terhadap penentang dalam UMNO juga tidak akan membantu parti itu untuk menghadapi pilihan raya negeri yang akan diadakan dalam masa beberapa bulan lagi, dan berkemungkinan besar sokongan terhadap parti itu akan lebih merosot.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Lau Zhe Wei turut berkongsi pandangan serupa dan percaya bahawa ramai ahli UMNO akan keluar dari parti itu susulan keputusan pada Jumaat.

"Ahli akar umbi UMNO terbahagi kepada dua jenis. Pertama ialah mereka yang amat setia. Bagi kumpulan ini, mereka akan tetap kekal bersama UMNO.

"Kumpulan kedua pula ialah mereka yang sayangkan UMNO tetapi tidak secara membuta tuli. Saya menjangkakan akan berlaku tindakan keluar UMNO secara beramai-ramai," kata beliau kepada BenarNews.

Tambah Lau, pemilihan UMNO yang akan diadakan tidak lama lagi dipercayai adalah sebab utama di sebalik keputusan pimpinan tertinggi UMNO membuang dan menggantung keahlian mereka yang tidak sehaluan.

"Dengan berbuat demikian, ia menjadikan pemilihan parti selamat kepada Zahid dan kumpulannya."

Manakala bagi penganalisis dari Institut Hal-Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun pula percaya tindakan pembersihan UMNO dari pemimpin yang melawan parti akan membantu usaha penyatuan antara kem-kem utama dalam parti berkenaan.

"Saya rasa dengan membuang pemimpin kanan yang suka melawan, parti UMNO akan dapat melihat penyatuan lebih rapat antara kumpulan-kumpulan utama dalam parti. Mereka (yang diambil tindakan) dilihat tidak mempunyai sokongan yang begitu kuat dalam parti," kata Oh kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.