Zahid: UMNO Tiada Kuasa Penuh Dalam PN, Tidak Banyak Boleh Dibanggakan

Lex Radz & Hadi Azmi
2020.05.11
Kuala Lumpur, Malaysia
200511-MY-UMNO1000.jpg Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaysia (UMNO) di Ibu pejabat UMNO di Menara Dato Onn di Kuala Lumpur, 24 Julai 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Parti politik berteraskan kaum Melayu, UMNO tidak mempunyai kuasa penuh walaupun berada dalam pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional [PN] kata presidennya, dengan penganalisis politik berpendapat parti itu kini sedang mengumpul kekuatan serta memberi tekanan kepada Perdana Menteri Muhiyiddin Yassin.

Ahmad Zahid Hamidi yang memimpin UMNO sejak Jun 2018 berkata lanskap politik negara itu telah berubah dengan pesatnya, walaupun sebelah kaki berada dalam pentadbiran kerajaan PN yang dimimpin oleh Muhyiddin, masih tidak banyak yang boleh dibanggakan oleh parti itu.

“Lanskap politik negara telah berubah dengan pesatnya…. Meskipun sebelah kaki kita berada di pentas Kerajaan Perikatan Nasional, tidak banyak boleh dibanggakan. UMNO belum ada kuasa penuh. UMNO juga tidak gila kuasa,” katanya dalam perutusan menyambut ulangtahun UMNO ke -74 pada Isnin.

Ahmad Zahid berkata sokongan UMNO terhadap PN adalah untuk menjatuhkan kerajaan ala politburo, menamatkan pemerintahan dinasti, mengekang rejim penipuan dan gila kuasa selama 22 bulan yang banyak menyusahkan rakyat termasuk maruah negara tercemar di pentas dunia.

Kerajaan PN terbentuk menerusi persefahaman antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas Malaysia berdepan dengan krisis politik yang membawa kepada kejatuhan Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang memimpin selama 22 bulan, Februari lepas.

“UMNO mesti diangkat sebagai pegangan ideologi politik rakyat yang dahagakan kelestarian hidup dan masa depan lebih terjamin…Dengan Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam dijadikan tiang serinya, segala keterlanjuran silam boleh dielakkan,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, beberapa sumber memberitahu media tempatan Majlis Tertinggi UMNO telah menolak cadangan agar parti itu menyertai gabungan PN secara rasmi semasa satu mesyuarat yang diadakan pada 4 Mei lalu.

Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan seperti dilaporkan media tempatan telah menegaskan bahawa PN bukanlah satu gabungan yang berdaftar secara rasmi dan UMNO tidak pernah menyertainya.

"Hubungan UMNO dengan PN hanya satu persefahaman untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh kelompok tertentu dalam PH," katanya yang menegaskan bentuk kerjasama itu berbeza dengan persefahaman dengan PAS dalam Muafakat Nasional yang diurus secara rasmi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid seperti dilaporkan oleh media rasmi parti itu, UMNO Online pada Isnin dipetik sebagai berkata UMNO tidak pernah menutup pintu untuk duduk di meja perundingan bagi menentukan kedudukan sebenar PN bagi masa hadapan.

“Kita tidak pernah menutup pintu untuk duduk di meja perundingan bagi menentukan tentang bagaimana kedudukan sebenarnya Perikatan Nasional,” katanya sambil menambah yang kerajaan PN pada masa ini didokong oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO, BN dan lain-lain parti.

Bagaimanapun Presiden UMNO itu juga dilaporkan berkata, kedudukan PN sama ada mahu didaftarkan sebagai sebuah parti gabungan pelbagai parti lain hanya akan ditentukan oleh MT UMNO kelak.

UMNO beri tekanan


Sejak beberapa hari kebelakangan ini terdapat laporan media mengenai permintaan beberapa pemimpin UMNO untuk jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan dengan penganalisis politik berpendapat UMNO kini sedang mengumpul kekuatan serta memberi tekanan kepada Muhyiddin.

James Chin, profesor daripada Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura berkata UMNO sebenarnya sedang dalam keadaan yang baik berdasarkan pemimpinnya yang banyak dilantik sebagai peneraju Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Tambahan pula, gabungan bersama PAS menjadikan mereka tunjang kepada kerajaan dengan kerusi terbanyak setakat ini.

“Pada saat ini mereka memberi banyak tekanan pada Muhyiddin untuk menyerahkan lebih banyak kekuatan kepada mereka.

“Memandangkan fakta bahawa UMNO dan PAS bekerjasama, mereka secara kolektif akan mempunyai kira-kira 60 kerusi, jadi mereka adalah blok terbesar dan terpenting dalam Perikatan Nasional dan mereka semakin kuat dari hari ke hari,” katanya kepada BeritaBenar.

Chin juga berkata tekanan kepada Muhyiddin semakin kuat kerana selain UMNO, beliau turut menghadapi tekanan daripada bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang secara terbuka mengkritik dasar kerajaan PN.

“Masalah terbesarnya ialah bukan UMNO dan PAS sebenarnya Mahathir dan kumpulannya,” kata Chin.

Sementara itu, Pensyarah Institut Kajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata UMNO perlu memastikan ahlinya bersatu dan kembali memulihkan imej parti bagi menarik kembali minat golongan muda dan professional kepada UMNO.

“Kelemahan UMNO banyak berpunca daripada perpecahan dalaman dan kurang daya tarikan di kalangan golongan muda dan profesional selain kurang menampilkan dan memberi peluang kepada pemimpin muda ke hadapan.

“Jadi usaha dan strategi yang baik mampu memulihkan imej UMNO dan kembali dominan sepertimana sebelumnya,” kata beliau ketika dihubungi BeritaBenar.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.