Follow us

UMNO Tidak Sertai Gabungan Kerajaan Malaysia Susulan Sabitan Kes Najib

Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur , Malaysia
2020-07-30
E-mel
Komen
Share
Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba di ibu pejabat badan pencegah rasuah Malaysia di Putrajaya, 18 Oktober 2018.
Presiden parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi ketika tiba di ibu pejabat badan pencegah rasuah Malaysia di Putrajaya, 18 Oktober 2018.
(AP)

UMNO, parti bekas pimpinan Najib Razak yang melalui episod mengaibkan, pada Khamis memutuskan untuk tidak menyertai gabungan parti yang mengembalikannya kepada tampuk kuasa beberapa bulan lalu, dalam langkah yang menjadikan sokongan majoriti tipis Ahli Parlimen kepada perdana menteri semasa kelihatan semakin tidak menentu.

Pengumuman itu dibuat dua hari selepas seorang hakim menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda AS$49 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dengan penyelewengan dana daripada anak syarikat dana pelaburan negara, 1MDB, semasa menyandang jawatan perdana menteri.

Skandal kewangan itu menyebabkan kekalahan parti-parti gabungannya pada pilihan raya umum Mei 2018, tetapi parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) kembali berkuasa pada Mac sebagai sebahagian daripada pakatan parti-parti baru, Perikatan Nasional (PN), setelah pertelingkahan dalaman  menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Mahathir Mohamad tumbang.

Tetapi, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berkata partinya kini akan memberi tumpuan kepada rakan-rakan lain.

“UMNO memutuskan untuk tidak menyertai PN. Sebaliknya, kita akan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN), ”katanya yang merujuk kepada pakatan yang dibentuknya dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun lalu.

Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merancang untuk tidak mendaftarkan PN sebagai satu gabungan politik, dan sebaliknya mahu membawa partinya, Bersatu, bergabung dengan Muafakat Nasional.

"Saya menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional untuk mempertimbangkan hasrat Bersatu sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi Muafakat Nasional demi kepentingan rakyat dan negara," kata Zahid.

"Sokongan kepada kerajaan PN adalah hanya berdasarkan sokongan Ahli Parlimen UMNO dan BN serta anggota dewan undangan negeri dalam membentuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tertentu," kata Zahid dalam satu kenyataan.

Zahid, yang berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri Najib,  telah didakwa dengan 45 pertuduhan jenayah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram pada Oktober 2018. Pertuduhan tersebut dikaitkan dengan dakwaan rasuah sebagai pertukaran untuk membantu syarikat-syarikat memperoleh kontrak bagi projek-projek kerajaan semasa beliau berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

Zahid, yang menjadi timbalan perdana menteri Najib,  telah didakwa dengan 45 pertuduhan jenayah termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram pada Oktober 2018. Pertuduhan tersebut dikaitkan dengan dakwaan rasuah sebagai pertukaran untuk membantu syarikat-syarikat memperoleh kontrak bagi projek-projek kerajaan semasa beliau berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

UMNO mempunyai 39 kerusi di Parlimen manakala PAS memegang 18  kerusi dan Bersatu pula mempunyai 31 kerusi. Perdana menteri mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen - satu kerusi lebih daripada separuh daripada 222 Ahli Parlimen - untuk mengekalkan kuasa.

Beberapa jam selepas Najib disabitkan kesalahannya, Zahid yang duduk di sebelah bekas perdana menteri itu sepanjang penyampaian penghakiman pada Selasa, memberitahu wartawan - tetapi tanpa mengulas lanjut - "sudah pasti, kami akan membuat keputusan politik susulan hasil keputusan mahkamah hari ini."

'Abang yang menentukan'

Pada Mac, Muhyiddin menubuhkan Perikatan Nasional untuk mewujudkan pakatan parti-parti dalam usahanya menjadi perdana menteri setelah Pakatan Harapan pimpinan Mahathir tumbang.  Mahathir dan Muhyiddin adalah pemimpin Bersatu dalam Pakatan Harapan tetapi parti itu memecat Mahathir, anaknya Mukhriz dan empat Ahli Parlimen lain yang bergabung dengannya, setelah Muhyiddin menarik diri daripada Pakatan Harapan dan membentuk gabungan kerajaan yang baru.

Menurut Mukhriz Mahathir, perdana menteri semasa itu berada dalam keadaan tidak menentu sekarang – walau apa pun keputusan mahkamah bagi perbicaraan rasuah pertama Najib.

"Pada pendapat saya, Muhyiddin tidak akan mendapat sebarang manfaat walau apa pun hasil keputusan kes Najib," kata Mukhriz kepada Nikkei Asian Review dalam wawancara yang diterbitkan pada Khamis.

"Sekiranya Najib dibebaskan, Muhyiddin akan dipersalahkan kerana membiarkannya bebas. Sekiranya disabitkan kesalahan seperti apa yang telah berlaku, ada sesetengah pihak di dalam UMNO mungkin menganggap ini sebagai pengkhianatan daripada pihak Muhyiddin,” katanya, yang merujuk kepada UMNO.

Apa pun, kerajaan Muhyiddin "berada dalam situasi yang tidak dapat dielakkan dan tidak menentu," kata Mukhriz.

Isham Jalil, pemimpin UMNO negeri Selangor yang bertugas sebagai pegawai khas Najib ketika beliau menjadi perdana menteri, pula mengeluarkan kenyataan yang memuji percaturan politik bijak Zahid  memandangkan apa yang bakal dihadapi Muhyiddin dan Bersatu.

"Pilihan yang paling optimum dan paling kurang mudarat untuk Bersatu kini adalah untuk mereka berbaik-baik dengan UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional," katanya pada Khamis.

Beliau berkata Bersatu tidak boleh kembali kepada Pakatan Harapan setelah Muhyiddin bertindak keluar daripada pakatan itu pada Februari. Di samping itu, parti itu tidak boleh berharap untuk mengekalkan kuasa sendirian setelah hilang keyakinan orang bukan Melayu yang telah memilihnya sebagai sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan, katanya.

"Tetapi, mereka boleh bertanding dalam pilihan raya di bawah Muafakat Nasional sekiranya akar umbi UMNO dan PAS menerima mereka," kata Isham.

Berdasarkan keputusan mahkamah pada Selasa dari sudut pandang UMNO, ahli-ahli parti itu kini mahu mengawal Muhyiddin dan menekannya supaya mengikut agenda mereka atau berisiko kehilangan kuasa, demikian menurut penganalisis politik Oh Ei Sun, yang merupakan felow kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.

"Oleh itu, daripada menjalinkan perkongsian sama rata dalam gabungan PN, UMNO mahu kembali ke gaya lama semasa di bawah pimpinan Barisan Nasional di mana 'abang yang menentukan’ semuanya dalam Muafakat Nasional," kata Oh kepada BeritaBenar.

UMNO menerajui pemerintahan Malaysia selama 61 tahun sehingga dikalahkan dalam pilihan raya umum dua tahun  lalu.

"Keputusan mahkamah pada Selasa merupakan satu faktor, tetapi faktor utama adalah kelangsungan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang," kata penganalisis politik Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia kepada BeritaBenar. "Muhyiddin adalah pembuat dasar dalam PN, tetapi melalui struktur Muafakat Nasional, UMNO mempunyai suara yang lebih besar."

Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

Sementara itu, di negeri Borneo Malaysia pada Khamis, dewan undangan negeri (DUN) Sabah dibubarkan dalam usaha menggagalkan cubaan kem Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk merampas kuasa daripada Ketua Menteri Shafie Apdal melalui peralihan sekutu dalam kalangan anggota dewan itu.

Di Kota Kinabalu, Shafie - yang kini menjadi ketua menteri sementara - menyatakan bahawa Yang Dipertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin bersetuju untuk membubarkan DUN itu setelah menerima dua kunjungan berasingan di istana negeri pada Rabu dan awal Khamis.

"Saya menulis surat semalam, dan saya bertemu dengan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri malam tadi. Pagi ini, saya bertemu dengannya lagi dan Tuan Yang Terutama telah membenarkan pembubaran dewan,” kata Shafie sambil memegang satu salinan surat itu.

Di dalam surat itu, Shafie menulis bahawa iklim politik di negeri itu tidak lagi stabil karena adanya ancaman oleh "individu tertentu" yang bermaksud mahu menyingkirkan kerajaan negeri secara paksa.

"Oleh itu, adalah lebih baik kita mengembalikan mandat kepada rakyat Sabah untuk memilih kerajaan baru," menurut surat itu.

Shafie berkata Sabah mesti mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh 60 hari dan memberitahu bahawa suruhanjaya pilihan raya akan menentukan dan mengumumkan tarikhnya.

Langkah itu menyusuli pengumuman mengejut pada Rabu oleh bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk sekali lagi menerajui kerajaan negeri.

Semasa bercakap di rumahnya di Kota Kinabalu, Musa menegaskan bahawa beliau boleh mengangkat sumpah untuk menggantikan Shafie.

"Saya layak dilantik sebagai ketua menteri Sabah oleh Yang Dipertua Negeri kerana saya mendapat sokongan majoriti (daripada wakil rakyat negeri)," kata Musa, sambil memberitahu bahawa anggota keselamatan telah menghalang beliau dan rombongannya memasuki istana untuk mengemukakan pernyataan sokongan daripada 33 ahli DUN Sabah.

Lihat Laman Penuh