Follow us

UMNO Peroleh Kemenangan Besar PRK di Perak, Perkukuh Kuasa

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-08-31
E-mel
Komen
Share
Bekas Perdana Menteri Najib Razak (kanan) dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamid (kiri) bersama Mohd Zaidi Aziz, calon parti itu selepas beliau diumumkan sebagai pemenang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim, sebuah kawasan di negeri Perak, 29 Ogos, 2020.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak (kanan) dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamid (kiri) bersama Mohd Zaidi Aziz, calon parti itu selepas beliau diumumkan sebagai pemenang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim, sebuah kawasan di negeri Perak, 29 Ogos, 2020.
[BeritaBenar]

Calon UMNO memenangi pilihan raya kecil di sebuah daerah luar bandar di Perak pada minggu lalu, ujian pilihan raya pertama sejak bekas Perdana Menteri Najib Razak disabitkan dengan kesalahan rasuah Julai lalu sekali gus menunjukkan daya tarikan parti itu masih utuh kepada pengundi walaupun kedudukan pemimpin atasannya terpalit dengan skandal.

Semasa Pilihan Raya Kecil bagi Dewan Undangan Negeri Slim pada Sabtu, Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) itu berjaya menumpaskan Pejuang, parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam pertandingan pertama calon parti berkenaan sejak ia dilancarkan pada awal Ogos.

Calon UMNO Mohd Zaidi Aziz memperoleh lebih lima kali ganda jumlah undi berbanding Pejuang Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, yang disenaraikan sebagai calon Bebas dalam kertas undi kerana parti itu belum lagi didaftarkan sekali gus mengekalkan kedudukan UMNO di kawasan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 dua tahun lepas, demikian menurut keputusan rasmi.

"Hasilnya menunjukkan bahawa dengan kekuatan, fokus dan keteguhan, bersama dengan ... toleransi, kita berjaya memperoleh kemenangan dan terus menang dengan majoriti besar malam ini," kata Mohd Zaidi semasa berucap selepas memenangi pilihan raya kecil itu.

Mohd Zaidi, yang memperoleh lebih 13,000 undi, memenangi 60 peratus atau lebih suara di sekurang-kurangnya dua daerah pengundian dengan majoriti pengundi berdaftar adalah etnik Cina atau India, demikian menurut hasil tinjauan. UMNO adalah sebuah parti berasaskan Melayu dan tunjang dalam gabungan Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama berdekad-dekad.

Kemenangan besar UMNO pada Sabtu adalah yang kelima berturut-turut dalam pilihan raya kecil bagi DUN dan yang ketujuh secara keseluruhannya sejak pilihan raya umum Mei 2018. Pakatan Harapan (PH), gabungan yang mengambil alih kuasa ketika pilihan raya bersejarah itu dan dipimpin oleh Mahathir, tumbang susulan pertikaian politik pada Februari lalu.

Sejak itu, kerajaan yang tidak dipilih rakyat mengambil alih kuasa selepas Yang Di-Pertuan Agong  melantik Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada awal Mac. UMNO, parti yang mendominasi politik Malaysia sejak akhir 1950-an, telah tersingkir pada tahun 2018 namun kembali sebagai parti konstituen utama dalam pemerintahan Muhyiddin.

"Barisan Nasional masih relevan dan sangat dirindui oleh rakyat," kata Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan 47 pertuduhan rasuah, sambil mengucapkan tahniah kepada Mohd Zaidi.

"Ini menghantar mesej kepada Tun Dr Mahathir bahawa parti yang dibentuknya tidak relevan," kata Ahmad Zahid.

Sejak Sabtu, Mahathir tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai kemenangan besar yang memihak kepada bekas partinya iaitu UMNO, selepas berkempen untuk calonnya di Slim sebelum itu.

“Kita telah mencapai kejayaan yang besar dalam menggunakan Pilihan Raya Kecil Slim sebagai pentas untuk mempromosi dan memperkenal Parti Pejuang kepada seluruh Malaysia. Justeru, perjuangan kita yang sebenar bermula dari hari ini. Jangan berputus asa!” menurut parti itu di laman media sosial Twitternya pada Ahad.

Tali kemenangan

Dua tahun lepas, Mahathir, yang kini berusia 95 tahun, memimpin Pakatan Harapan dalam menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak dan UMNO melalui platform kempen membebaskan kerajaan daripada korupsi yang teruk.

Pada 28 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib setelah mensabitkan beliau dengan tujuh pertuduhan - termasuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram – yang menyaksikan berbilion dollar telah diseleweng daripada 1MDB, dana pelaburan negara yang ditubuhkannya pada awal pelantikan beliau sebagai perdana menteri.

Najib, yang diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan mahkamah, turun ke gelanggang bersama Mohd Zaidi dan Ahmad Zahid di Perak ketika mereka meraikan kemenangan itu pada hujung minggu.

Pilihan raya kecil Sabtu diadakan untuk mengisi kerusi kawasan Slim, yang kosong setelah kematian Ahli Dewan Undangan Negerinya, Mohd Khusairi Abdul Talib, seorang ahli politik UMNO,  pada 15 Julai lepas.

Sementara itu, Perdana Menteri Muhiddyin, yang mengetuai Parti Bersatu, tidak hadir di Perak pada Sabtu. Minggu lalu, partinya secara rasmi bergabung dengan Muafakat Nasional, sebuah pakatan antara UMNO dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah lagi parti komponen dalam blok pemerintahannya.

Pada hujung minggu itu, Muhyiddin berada di Sabah, sebuah negeri di Kepulauan Borneo yang akan berdepan pilihan raya negeri bulan depan. Pilihan raya itu diadakan selepas Ketua Menterinya Mohd Shafie Afdal membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai apabil tiga ADUN menarik balik sokongan mereka terhadap kepemimpinan beliau menyebabkan ahli politik negeri itu yang berpihak kepada blok Pakatan Harapan kehilangan majoriti.

Menurut Akhbar The Straits Times Singapura, perdana menteri dijangka merasmikan pelancaran gabungan Perikatan Nasional (PN) pada hujung minggu semasa di Sabah namun terpaksa menangguhkan rancangan tersebut kerana berdepan masalah yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, termasuk penarikan diri secara tiba-tiba oleh Parti Kongres India Malaysia (MIC) dan kegagalan meminta sokongan daripada beberapa parti yang berpusat di Sabah.

Memandangkan Muhyiddin mungkin mengadakan pilihan raya umum awal, parti baharu Mahathir berpotensi berada dalam posisi yang lemah kerana memerlukan masa untuk membangunkan kredibilitinya dalam kalangan pengundi, menurut James Chin, seorang penganalisis politik di Universiti Tasmania.

“Ketika Bersatu dibentuk, mereka memerlukan masa selama tiga tahun untuk membina parti itu sebelum pilihan raya [2018]. Sekiranya Muhyiddin mengadakan pilihan raya lebih awal, Pejuang mungkin belum bersedia,” kata Chin kepada BeritaBenar.

Menurut Mohammad Siddiq Mohd Azani, yang bergabung dengan Gerakan Revolusi Pemuda Malaysia (G3RAM), sebuah NGO tempatan, hasil tinjauan pada Sabtu di Slim River membuktikan bahawa terdapat tanda-tanda penolakan oleh pengundi terhadap Mahathir.

"Orang-Orang Melayu sudah bosan dengan kisah pencuri dan penyamun berulang kali ketika mereka yang dikatakan sebagai pencuri dan penyamun sudah pun dibawa ke mahkamah dan menunggu untuk dihumban ke penjara," katanya kepada BeritaBenar.

“Orang Melayu juga tidak malas dan benci dipanggil malas. Buka matamu… Lihatlah pemuda-pemuda Melayu yang berjuang siang dan malam demi kelangsungan hidup mereka,” kata beliau yang tersinggung dengan kritikan yang dilontarkan terhadap orang Melayu oleh Mahathir, yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia sebanyak dua kali itu.

Lihat Laman Penuh