Penganalisis: Sokongan UMNO terhadap Najib jadikan parti lebih kuat

Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Noah Lee
2022.08.24
Kuala Lumpur
Penganalisis: Sokongan UMNO terhadap Najib jadikan parti lebih kuat Selvathurai Sinnu memaparkan akhbar yang muka depannya mengenai bekas perdana menteri Najib Razak, di gerainya di Semenyih, Selangor, 24 Ogos, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan ETS - 2022-08-24

Presiden parti yang memerintah Malaysia, UMNO, pada Rabu berkata parti itu akan terus menyokong Najib Razak sehari selepas bekas Perdana Menteri itu dipenjarakan atas kesalahan jenayah rasuah, satu langkah yang menurut penganalisis bermungkinan mampu menjadikan parti tersebut lebih kuat menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menerusi kenyataan pertama selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata parti ulung orang Melayu itu kecewa kerana bekas Perdana Menteri tersebut tidak diberikan peluang yang adil untuk membela diri dengan bukti baharu.

“Perjalanan kes mahkamah Najib Razak telah memberi peluang kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menjadi lebih garang, kata felow kanan Akademik Nusantara untuk Penyelidikan Strategik, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Selangor.

“Kenapa saya berkata demikian? Kerana UMNO sekarang ini akan menggunakan naratif yang Najib tidak diberikan peluang seadil-adilnya untuk mempertahankan diri. Saya percaya itu akan menjadikan UMNO lebih kuat, bertentangan dengan pendapat ramai bahawa UMNO akan menjadi lemah tanpa Najib,” kata Azmi kepada BenarNews pada Rabu.

“Ini adalah naratif yang mereka cuba jual, cuba gunakan… untuk meraih simpati pengundi,” katanya sambil menambah beliau percaya ia boleh menjadi strategi yang sangat berkesan.

Tambahan pula, Najib mempunyai puluhan ribu penyokong dan UMNO, yang menyokongnya, akan membantu mengekalkan sokongan akar umbi kepada parti itu pada pilihan raya akan datang, kata penganalisis Oh Ei Sun kepada stesen TV serantau Channel News Asia.

Menyokong Najib "akan membantu sokongan kepada UMNO dalam kalangan penyokong tegar Najib yang kelihatan agak ramai bilangannya," kata Oh kepada CNA.

Bagaimanapun, beliau berkata jika UMNO menjauhkan diri daripada Najib pula, tindakan itu mungkin meraih sokongan golongan atas pagar serta memberikan ‘imej lebih segar kepada UMNO’ yang Presidennya iaitu Zahid, turut berdepan 47 pertuduhan rasuah dan sedang dibicarakan.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, anak syarikat 1MDB, menjadikan beliau bekas Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjalani hukuman penjara.

MEMORANDUM_BEBAS_NAJIB_BENARNEWS_03.jpg

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz bercakap kepada media di Kuala Lumpur, selepas menyerahkan petisyen kepada pegawai Istana Negara memohon pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri Najib Razak, 24 Ogos 2022. [S. Mahfuz/BenarNews]

Najib ‘bawa aib’ kepada Malaysia

Sementara itu, dua kumpulan pada Rabu telah menyerahkan petisyen berbeza kepada Istana Negara berhubung permohonan pengampunan diraja supaya Najib tidak perlu menjalani hukuman lebih sedekad atau membayar denda RM210 juta (AS$49.3 juta) seperti yang diperintahkan mahkamah.

Kira-kira 300 penyokong Najib berkumpul di luar Istana Negara di ibu kota untuk menyerahkan petisyen kepada pegawainya, memohon supaya Yang Di-Pertuan Agong memberi pengampunan kepada anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia Abdul Razak Hussein itu.

"Saya ingin memohon pengampunan penuh diberikan segera kepada orang yang telah berkhidmat dengan penuh hormat ini," kata Syed Mohammad Imran yang menganjurkan perhimpunan itu kepada media, lapor agensi berita Reuters.

“Jasa dan sumbangan beliau telah dirobek dengan cara yang memalukan,” katanya yang juga ahli UMNO.

Beliau juga berkata permohonan bagi pengampunan diraja itu sepatutnya dibuat oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, pemimpin kanan UMNO. Jika PM tidak mengemukakan permohonan itu, Syed Mohammad Imran menggesa Ahmad Zahid agar menarik balik sokongan UMNO kepada kerajaan, yang akan membawa kepada pilihan raya mengejut.

Puak UMNO yang disokong oleh Ahmad Zahid telah mendesak agar kerajaan mengadakan pilihan raya umum mengejut namun Perdana Menteri, yang memegang jawatan nombor tiga dalam parti, menentang gesaan itu. Kedudukan itu mungkin berubah susulan keputusan mahkamah pada Selasa, kata penganalisis.

Satu lagi petisyen oleh badan pemantau pilihan raya Bersih pada Rabu pula memohon supaya Najib tidak diampunkan. Petisyen itu meminta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak sebarang permohonan untuk mengampunkan Najib.

Lebih 35,000 orang telah menandatangani petisyen itu setakat petang Rabu.

“Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada mantan Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian,” menurut petisyen itu.

“Beliau telah disabitkan bersalah menyeleweng dana awam melalui SRC International dan telah diberikan proses pengadilan yang seadilnya. Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara.”

Najib dijadualkan kembali ke kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis bagi prosiding perbicaraan kes 1MDB di mana beliau berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan kehilangan dana negara sebanyak RM2.3 bilion (AS$551 juta).

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 semasa menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion telah diseleweng daripada 1MDB dan dialihkan melalui pemerolehan hartanah, karya seni dan harta mewah oleh Najib dan rakan sekutunya termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, demikian dakwa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang turut menyifatkan kes itu sebagai "skandal kleptokrasi paling buruk sejak sekian lama.”

Skandal 1MDB juga telah menyebabkan UMNO tersingkir daripada kuasa pada Pilihan Raya Umum 2018, yang pertama bagi sebuah parti lama yang tidak pernah kalah dalam sejarah Malaysia selama 60 tahun.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.