UMNO Mungkin Tarik Diri Dari Kerajaan Sebelum Pilihan Raya Umum

Parti terbesar itu sebelum ini menyatakan sokongan kepada kerajaan sehingga pilihan raya bakal diadakan tetapi kini mahu menarik diri pada Ogos.
S. Adie Zul & Hadi Azmi
2021.03.29
Kuala Lumpur
UMNO Mungkin Tarik Diri Dari Kerajaan Sebelum Pilihan Raya Umum Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Ahmad Zahid Hamidi semasa memberi ucapannya pada Persidangan Agung UMNO di Kuala Lumpur, 28 Mac, 2021.
[Ihsan media UMNO]

KEMASKINI pada 11.30 pagi waktu tempatan ETS - 2021-03-30

Parti dominan dalam gabungan kerajaan Malaysia mungkin memutuskan hubungan dengan pemerintah bahkan sebelum diadakan pilihan raya umum berikutnya, kata pemimpin tertinggi, walaupun parti itu telah berjanji sebelumnya akan menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sehingga Pilihan Raya Umum diadakan.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah bersetuju untuk menyokong kerajaan Muhyiddin sehingga Ogos, kata Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan semasa sesi perhimpunan agung parti itu pada hujung minggu, merujuk pada 1 Ogos, ketika darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agung dijadualkan berakhir.

Jadi, jika kita sudah setuju hendak tarik diri pada Ogos, jadi tarik diri bulan Ogos,” kata Mohamad semasa menggulung perbahasan semasa persidangan agung UMNO pada Ahad.

"[Sekarang] kita telah umumkan apa yang mahu kita lakukan, jaga baik-baik. Kalau bulan Ogos tak ada apa-apa, bulan lapan [Ogos], kita ramai-ramai keluar kerajaan," katanya yang merujuk kepada janji Muhyiddin untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar mengadakan Pilihan Raya Umum apabila pandemik koronavirus reda.

Muhyiddin, seorang Perdana Menteri yang tidak dipilih, bagaimanapun, tidak pernah memberi sebarang tarikh bila pilihan raya umum akan diadakan. Dan UMNO juga tidak pernah menentukan tarikh yang akan kekal bersama perikatan pemerintah, walaupun pada 4 Mac lepas parti itu berkata ia tidak akan bertanding pada pilihan raya akan datang bersama-sama dengan Perikatan Nasional pimpinan perdana menteri.

Pada Sabtu, Mohamad berkata tidak akan ada kerajaan tanpa UMNO sebagai pemimpinnya.

Tanpa sokongan parti Melayu terbesar, tidak akan ada kestabilan dalam pemerintahan, katanya.

“Tidak ada parti Melayu yang mempunyai pengaruh yang besar dan kesederhanaan seperti UMNO,” ujar Mohamad.

Sementara itu, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berkata pelbagai peringkat dalam parti itu telah meluluskan pengunduran diri dari gabungan Perikatan Nasional apabila pemimpin tertinggi parti telah memutuskan sudah waktunya untuk berundur.

"Adalah difahamkan para anggota delegasi sudah memberi mandat kepada presiden dan majlis tertinggi untuk menentukan bahawa kami boleh menarik diri daripada kerajaan PN bila-bila masa," kata Zahid.

Anggota parti mahu berpisah dengan Perikatan pada Ogos, tambahnya.

Reaksi Muhyiddin

Dalam reaksinya pada Sabtu, Muhyiddin berkata terpulang kepada UMNO untuk bekerjasama dengan mana-mana parti untuk pilihan raya umum akan datang.

“Itu pandangan UMNO… kalau buat keputusan begitu, itu hak mereka. Kalau mereka cakap tidak mahu bekerjasama dengan kita pun, pilihan mereka. Kalau nak bekerjasama dengan kita pun, itu hak mereka,” katanya selepas menghadiri majlis di Pagoh, kawasan Parlimen di negeri Johor, yang diwakilinya.

Muhyiddin menjelaskan yang dia telah menahan diri daripada membuat komen berlebihan mengenai isu politik buat masa ini kerana lebih menumpukan kepada permasalahan rakyat dan memastikan masalah ekonomi dapat ditangani.

Gabungan UMNO dengan parti Bersatu pimpinan Muhyiddin terus goyah sejak berbulan-bulan lalu. UMNO berpendapat bahawa ia belum memperoleh ganjaran yang sewajarnya sebagai pemilik kerusi terbanyak di Parlimen dalam gabungan kerajaan itu, kata pemerhati.

Selepas Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Muhyiddin, memperkenankan darurat di seluruh negara pada Januari, perdana menteri menggantung Parlimen dengan tindakan itu dikritik oleh parti pembangkang dan UMNO. Ini, kata mereka, kerana Muhyiddin hanya mahu terus berkuasa berikutan kerajaannya telah pun kehilangan sokongan majority pada masa itu.

Seperti mana sekarang, walaupun dengan UMNO menyokong gabungan itu, Perikatan Nasional hanya mempunyai majoriti tipis di Parlimen.

Dan, pada masa ini sukar untuk mengetahui dengan tepat berapa ramai Ahli Parlimen yang menyokong Muhyiddin. Sejak Januari, tiga Ahli Parlimen UMNO telah menarik balik sokongan mereka kepada kerajaannya manakala tiga Anggota Parlimen pembangkang pula memberikan sokongan kepada beliau setelah mereka keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim.

Pada Januari, Muhyiddin berkata bahawa nasihatnya kepada Yang di_Pertuan Agong supaya diisytiharkan darurat bukanlah kerana beliau mahu memegang tampuk kuasa tetapi kerana perlu menangani pandemik COVID-19 yang menular di Malaysia. Sejak itu, Muhyiddin berulang kali menyatakan bahawa beliau akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum selepas pandemik itu berakhir.

Tumbang kerajaan jika UMNO berkeras

Penganalisis politik, Tunku Mohar Mokhtar kerajaan persekutuan boleh tumbang jika UMNO berkeras dengan pendirian untuk menarik diri daripada Perikatan Nasional, kecuali jika PRU-15 dilangsungkan menjelang Ogos, seperti mana yang didesak oleh mereka.

Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu berkata sekiranya pemimpin-pemimpun Umno meninggalkan Kabinet and Umno menarik balik sokongan kepada Perikatan Nasional, kerajaan akan hilang keabsahan untuk kekal memerintah.

“Perisytiharan darurat mungkin bukan suatu justifikasi yang kuat untuk kerajaan kekal berkuasa dan Yang di-Pertuan Agong mungkin memilih sesiapa yang difikirkan memiliki sokongan majoriti di kalangan ahli Parlimen,” ujarnya kepada BeritaBenar semasa dihubungi.

Pengerusi Bahagian Perlembagaan Majlis Peguam Malaysia, Andrew Khoo berkata kerajaan akan tetap berfungsi seperti biasa walaupun jika tempoh Darurat dipanjangkan berbanding bulan Ogos.

“Mereka (UMNO) tidak berkata akan tarik diri sekarang. Ini kerana Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) Ordinan 2021 di bawah Seksyen 11 Negeri-Negeri menyatakan bahawa selagi mana Darurat masih berkuatkuasa, Kabinet sedia ada perlu meneruskan fungsi. Jadi sekiranya Darurat dilanjutkan, peraturan ini akan turut dilanjutkan,” katanya kepada BeritaBenar.

Khoo, yang juga peguam Perlembagaan berkata, ordinan itu tidak menyatakan dengan jelas sama ada Menteri Kabinet dibenarkan meletak jawatan dalam tempoh Darurat ini berlangsung. Beliau merujuk kepada beberapa anggota UMNO yang kini memegang jawatan Menteri dalam pentadbiran kerajaan Muhyiddin.

“Adalah ordinan ini menghalang mereka daripada meletak jawatan? Saya tidak tahu. Kita tidak pernah melalui proses ini. Nampaknya ia [ordinan darurat] telah dirangka untuk mencapai tujuan tertentu. Adakah ia mampu menghalang seseorang untuk meletak jawatan atau mati ketika bertugas?,” soalnya lagi. Pada umumnya akan mencadangkan ia tidak boleh, tetapi akal yang normal nampaknya kekurangan pada masa ini.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.