UMNO perlu terima perspektif baharu untuk kembali kuasai politik negara

Penganalisis memberi amaran parti berteras Melayu itu berdepan kesukaran meraih majoriti di Parlimen melainkan guna pendekatan sederhana.
Iman Muttaqin Yusof
2024.08.23
Kuala Lumpur
UMNO perlu terima perspektif baharu untuk kembali kuasai politik negara Sebahagian 6,433 perwakilan menyanyikan lagu UMNO pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, 23 Ogos 2024.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMASKINI pada 2 petang waktu tempatan ETS - 2024-08-23
Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi memberitahu ahli partinya bahawa menerima idea baharu merupakan satu-satunya cara untuk mendapatkan kembali dominasi politik, sehari selepas beliau mengumumkan parti itu dan komponennya yang merupakan anggota utama dalam kerajaan gabungan Persekutuan akan bertanding menggunakan logonya sendiri.

Penganalisis berkata, idea-idea baharu itu perlu termasuk dengan mengamalkan lebih banyak retorik sederhana atau parti itu mungkin menghadapi kesukaran untuk memenangi majoriti di Parlimen.

"Kita mesti berani berdepan dengan idea baharu dan perspektif yang beragam agar tetap kekal relevan dalam landskap politik yang semakin kompleks," kata Zahid pada perhimpunan tahunan parti itu.

“Kita tidak sepatutnya berfikir bahawa kita dominan seperti dahulu… jangan leka dengan kuasa kecil yang kita ada, sehingga kita lupa tugas mengukuhkan parti.

“Melayari tahun kedua, kita berkongsi kuasa membentuk kerajaan, kita perlu melihat realiti politik semasa dan kebarangkalian masa hadapan.

“Dengan latar kedinamikan politik serta hakikat tiadanya parti tunggal yang menguasai majoriti, menuntut kita bersedia melakar kanvas politik baharu untuk Malaysia. Ini termasuklah melihat daripada sudut perkongsian kuasa,” kata Zahid semasa berucap di hadapan lebih 6,400 pemimpin parti dan perwakilan dari akar umbi semasa merasmikan persidangan agong UMNO di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambah beliau, “sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan.”

Presiden parti itu turut menggariskan tiga rukun politik dalam usaha mendapatkan majoriti di Parlimen dengan mahu membentuk pakatan yang menegakkan Islam dan nilai-nilai Melayu serta mempromosikan politik sederhana untuk kestabilan negara.

Beliau berkata UMNO mesti berkembang, dan tidak berkompromi terhadap komitmennya berhubung isu Melayu dan Islam.

“Susunan perkongsian kuasa UMNO dalam kerajaan perpaduan telah dibuat dengan syarat semua pihak menerima keutamaan orang Melayu dan Islam.

“Orang Melayu perlu sedar bagaimana mereka [saingan UMNO] hanya tahu memainkan sentimen dan emosi,” kata Zahid sambil mengkritik pesaing partinya kerana apa yang disebutnya sebagai “sandiwara politik yang mengkhayalkan”.

PERHIMPUNAN_AGUNG_UMNO_2024_01.jpg

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi (depan, kiri) bersama timbalannya Mohamad Hasan (kanan) berjalan menuju ke Plaza Merdeka bagi menyertai acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Kuala Lumpur, 23 Ogos 2024. [S. Mahfuz/BenarNews]

Tarik pengundi

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM) Awang Azman Awang Pawi berkata UMNO perlu mengambil pendekatan sederhana supaya dapat menarik minat pengundi yang bersikap moderat yang berhati-hati terhadap ekstremisme.

“Dengan menggalakkan kesederhanaan, UMNO boleh meletakkan dirinya sebagai kuasa penstabil yang boleh merapatkan perbezaan dan memupuk perpaduan.

“Ini adalah tindak balas terhadap polarisasi yang semakin meningkat dalam politik Malaysia khususnya antara UMNO dan pesaingnya dalam Perikatan Nasional, yang telah mengambil sikap yang lebih keras,” katanya yang juga Dekan Akademi Pengajian Melayu UM kepada BenarNews.

Prestasi parti itu dalam dua pilihan raya umum lalu yang hambar mendorongnya untuk menyertai "Kerajaan Perpaduan" bersama 18 parti politik lain pada 2022.

Perkongsian luar biasa itu dijalin berikutan titah daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu untuk menstabilkan persekitaran politik negara yang bergolak.

UMNO yang hanya menang 30 kerusi mengambil keputusan menyertai kerajaan gabungan bersama Pakatan Harapan yang menguasai 82 kerusi selain disokong parti dari Sabah dan Sarawak.

Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri telah memperoleh peranan penting sebagai menteri untuk ahli UMNO ketika parti itu berusaha untuk kembali berpengaruh dalam politik Malaysia.

Penganalisis politik Azmil Mohd Tayeb pula berpendapat usaha mendapatkan kembali majoriti di Parlimen dan membentuk pakatan yang menegakkan Islam dan nilai-nilai Melayu menjadi cabaran besar bagi UMNO.

“Pengundi Melayu begitu berpecah-belah sehinggakan untuk membolehkan satu parti tunggal menang dengan undi majoriti amat sukar.

"Mempromosikan politik sederhana adalah satu-satunya matlamat yang boleh dicapai untuk UMNO tetapi strategi semasanya menjadi lebih ekstrem daripada Perikatan Nasional dalam usaha untuk merebut kembali undi Melayu yang hilang.

"Ahli biasa parti mungkin menentang usaha UMNO untuk menyederhanakan politiknya, " kata Azmil, profesor madya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.