Krisis Dalaman UMNO Masih Jauh Daripada Jalan Penyelesaian

S. Adie Zul
2015.12.18
151218-MY-UMNO620 Timbalan Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersama bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad dalam satu majlis di Kuala Lumpur. 7 Disember 2015.
AFP

Penganalisis politik Malaysia menyifatkan krisis dalaman UMNO yang melibatkan presiden, Najib Razak dan timbalannya, Muhyiddin Yassin masih jauh daripada jalan penyelesaian selagi dua isu pokok iaitu skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan derma politik RM2.6 bilion tidak dirungkaikan.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Najib tidak menggunakan platform perhimpunan agung UMNO untuk menghuraikan kesemua persoalan berkaitan kedua-dua isu yang dibangkitkan dan dikaitkan dengan dirinya.

Selain itu, kata beliau, isu kenaikan kos sara hidup rakyat juga tidak dihuraikan secara serius dan ini menyukarkan ahli-ahli UMNO untuk memberi penjelasan yang berkesan kepada rakyat umum.

“Krisis semasa dalam UMNO adalah isu yang kompleks kerana melibatkan dua pemimpin tertinggi parti dan hanya boleh diselesaikan jika kedua-duannya duduk semeja,” katanya kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.

‘Bersuara’

Beliau turut menjangkakan Muhyiddin akan terus bersuara selagi memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO, dan ini berdasarkan kepada kenyataan beliau selepas perhimpunan itu berlangsung awal bulan ini.

"Muhyiddin bersuara demi kepentingan rakyat dan itu merupakan hak beliau. Jika tidak mempunyai jawatan, lainlah ceritanya. Suara beliau ada autoriti dalam UMNO,"jelas ahli akademik itu.

Muhyiddin yang lantang bersuara mengenai skandal  1MDB dan derma politik RM2.6 bilion itu, telah disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Julai lepas,  kerana mengkritik Najib secara terbuka.

Selain Muhyiddin, Abdul Gani Patail, yang merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang menyiasat dakwaan terhadap dana RM2.6 bilion itu, telah dilucutkan pangkat secara mendadak sebagai Peguam Negara.

Sejak beberapa bulan lepas, Najib diasak dan didesak meletak jawatannya, selepas timbulnya dakwaan bahawa hampir RM2.6 bilion didepositkan dalam akaun peribadi bank beliau.

Namun, Perdana menteri itu lantang membalas kritikan para pengkritiknya, dan kerajaan beliau telah menyekat kebebasan bersuara dan mengugut untuk menahan mereka atas dakwaan hasutan atau mencetuskan huru hara, terutamanya selepas berita mengenai skandal itu dihebahkan pada awal Julai.

Sejak pendedahan berita itu, Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dan menegaskan bahawa wang itu telah didermakan kepadanya. Beliau mengakui bahawa jumlah wang yang besar itu didepositkan ke dalam bank beliau melalui entiti kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB.

‘Retorik’

Mengulas isu yang sama, Pengarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Mohamad Abu Bakar menyifatkan perhimpunan agung UMNO baru-baru ini pada umumnya sekadar menyentuh isu berbangkit di peringkat permukaan dan retorik sahaja.

Katanya, banyak isu yang menjadi persoalan panas tidak diselesaikan secara menyeluruh dan perhimpunan itu dilihat hanya memberi ‘laluan air’ ke atas persoalan dasar yang lebih besar.

"Kemenangan hanyalah sorak sahaja di antara kedua pemimpin yang berbalah…, dan berkumpul di perhimpunan itu hanyalah dilihat sekadar kemenangan imej kepada ahli parti yang hadir atau yang mengikutinya melalui media massa,” kata beliau kepada BeritaBenar.

Menurut Mohamad, adalah tidak menghairankan bila Muhyiddin dan bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad menyasarkan isu-isu seperti keadilan, rasuah, dan ketelusan kerana ia adalah teras persoalan dalam kalangan masyarakat masa kini.

"Golongan masyarakat umum termasuk ahli UMNO di semua peringkat sebenarnya peka dan sensitif tentang perbahasan pelbagai isu berkaitan dan ia bukan sesuatu yang asing, sebaliknya ia menggilap tradisi dan perjuangan lama parti orang Melayu itu,” jelas beliau.

Menurutnya, kegagalan menangani isu-isu besar yang dihadapi ketika ini tidak membantu membaiki defisit kepercayaan terhadap parti itu, walaupun selepas berakhirnya perhimpunan parti kerana disebabkan adanya perasaan tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Ditanya mengenai desakan penyokong Najib supaya UMNO mengambil tindakan terhadap Muhyiddin dan mereka yang senada dengannya, Mohamad berkata parti itu sekarang berdepan dengan keadaan yang sukar.

"Jika tidak diambil tindakan terhadap Muhyiddin, perkara ini tidak selesai…, tetapi jika diambil tindakan, ia akan lebih memburukkan keadaan dalam UMNO atau mungkin perkara ini akan dibiarkan berlarutan,” tambah Mohamad lagi.

‘Pertahan diri’

Dalam pada itu, Mahathir yang juga bekas presiden UMNO menulis dalam blognya, dengan mempertikaikan pendekatan Najib yang didakwa menggunakan pentas perhimpunan agung parti untuk mempertahankan dirinya.

Mahathir turut mempersoalkan dakwaan Najib bahawa beliau seorang "gentleman, berjiwa besar, berani, tidak bacul dan tidak akan berundur" kerana masih tidak menjelaskan serta menghuraikan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

"Ekonomi negara yang merosot, kejatuhan nilai matawang Ringgit dan kesannya terhadap kos sara hidup dan kos import tidak diulas dan tidak ada cadangan bagaimana untuk menangani masalah-masalah ini.

“Isu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) juga tidak disentuh, yang ada hanya bagaimana kewangan kerajaan diselamatkan oleh cukai berat yang dibebankan ke atas rakyat ini," kata bekas perdana menteri itu,  yang memerintah Malaysia selama 22 tahun.

Beliau menambah kata, jika tidak patuh kepada arahan Presiden atau menuding jari kepada kesalahan Presiden, maka tindakan diambil dengan menggantung atau menyingkir mereka dari parti.

Najib semasa berucap pada majlis perasmian perhimpunan agung UMNO berkata, perlaksanaan GST pada 1 April lalu, adalah langkah yang tepat dan menjadi penyelamat kepada ekonomi negara daripada terus merudum akibat tekanan ekonomi global.

“Jika kerajaan tidak mempunyai keberanian politik untuk tetap melaksanakan GST, baki akaun semasa fiskal kerajaan akan mencatat defisit sebanyak 10.6 bilion ringgit dan turut akan melonjakkan defisit negara daripada 3.1 kepada 4.8 peratus pada tahun pertama dan mungkin jauh lebih tinggi pada tahun-tahun berikutnya,” kata Najib.

Dalam pada itu, seorang pemimpin UMNO di peringkat negeri berkata, krisis di antara Najib dan Muhyiddin perlu diselesaikan segera bagi mengelak persepsi negatif dalam kalangan ahli akar umbi.

Musa Sheikh Fadzil, Setiausaha badan perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang dan juga Ketua Bahagian Bukit Mertajam berkata, semasa sesi penggulungan pada hari terakhir perhimpunan UMNO, presiden dan timbalannya itu telah bersalaman dan ia dilihat sebagai satu permulaan dalam memulihkan hubungan antara mereka.

"Bagaimanapun, kita di peringkat bawahan susah untuk berkerja jika perbalahan ini berterusan kerana ahli akar umbi menjadi keliru sedangkan kita perlu memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14," katanya kepada BeritaBenar.

Musa berkata, sebagai timbalan presiden, Muhyiddin juga bebas membuat teguran tetapi perlulah dilakukan melalui saluran yang betul serta berlandaskan kepada prinsip parti.

Memanglah tugas timbalan untuk membantu presiden dalam pelbagai cara, tetapi jika timbul sebarang masalah, presiden dan  timbalannya perlu berbincang secara baik untuk menyelesaikannya,” ujarnya

"Dapat lihat dengan jelas semasa perhimpunan, terdapat pembahas yang menegur kerajaan dalam pelbagai isu….. dan bukannya semua perwakilan yang hadir adalah 'yes man',"katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.