'Kerusi Panas' Menanti Najib Menjelang Pehimpunan Agung UMNO

Nani Yusof
2015.12.07
151207-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Malaysia Najib Razak (kiri) berjabat tangan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Kuala Lumpur. 9 September 2015.
[AFP]

Sehari sebelum perhimpunan agung UMNO, Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin, sekali lagi membuat penafian secara terbuka bahawa beliau terlibat dalam salah laku skandal rasuah dan  sumbangan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Kenyataan Najib itu dibuat, dua hari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan mengambil keterangan lebih dua jam mengenai sumbangan dana RM2.6 bilion, yang dimasukan dalam akaun peribadinya, yang didakwa sumbangan dari Timur Tengah.

Pada Isnin suruhanjaya itu turut mengesahkan bahawa pegawai dari agensi berkenaan telah dihantar ke Timur Tengah untuk menemubual penderma wang itu.

"Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan atau penyelewengan, ini telah dijelaskan di Parlimen oleh Timbalan Perdana Menteri [Ahmad Zahid Hamidi]," kata Najib semasa temubual secara langsung dengan sebuah stesen televisyen swasta TV3 pada malam Isnin.

Najib tampil di stesen televisyen nasional pada malam Isnin mempertahankan dirinya terhadap dakwaan rasuah yang menghantuinya sejak awal Julai lepas, menjelang Perhimpunan Agung tahunan parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang akan bermula pada Selasa.

Pada malam yang sama, Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin yang dihalang daripada berucap pada Perhimpunan Agung UMNO turut berucap di hadapan penyokongnya di Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur, yang turut dihadiri oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad dan Naib Presiden UMNO Shafie Afdal.

Dalam satu sidang media di Kelantan pada Isnin, Pengarah Siasatan SPRM, Azman Baki mengesahkan bahawa pegawai dari agensi itu telah ke Timur Tengah.

“Bagaimanapun SPRM tidak boleh mendedahkan hasil pertemuan itu kerana siasatan masih berjalan, jika ada perkembangan terkini SPRM akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

‘Berehat seketika’

Muhyiddin, yang disingkirkan dalam jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kelantangannya menyuarakan pendapat mengenai skandal 1MDB meminta Najib untuk mengambil cuti sementara, bagi membolehkan siasatan oleh SPRM dapat dijalankan secara bebas, telus dan adil.

“Saya ingin cadangkan supaya Perdana Menteri berehat seketika. Biarlah siasatan berjalan dengan bebas, telus dan adil. Jangan timbul persepsi bahawa Perdana Menteri campurtangan dalam siasatan.

“Ambillah cuti sehingga kes selesai. Jika siasatan mendapati Perdana Menteri tidak terlibat, baliklah semula sambung tugas sebagai Perdana Menteri. Dengan itu, saya percaya nama Perdana Menteri dan juga imej UMNO dapat dibersihkan,” katanya semasa berucap di hadapan penyokongnya itu.

Selain itu, beliau turut mengakui tidak tahu alasan mengapa dilarang merasmikan persidangan ketiga-tiga sayap parti itu yang tradisinya dilakukan oleh Timbalan Presiden parti.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini, memutuskan semua persidangan sayap parti, Pemuda, Wanita dan Puteri hanya dirasmikan oleh ketua sayap masing-masing.

"Saya sudah menjadi ahli UMNO selama 45 tahun dan menjadi timbalan presiden selama enam tahun. Setiap tahun saya dijemput merasmikan persidangan sayap, tetapi kali ini entah kenapa MT UMNO membuat keputusan saya tidak dijemput untuk rasmi,” katanya.

Tindakan UMNO menghalang Timbalan Presiden berucap pada perhimpunan itu dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.