ASEAN Berusaha Ketepikan Gesaan Embargo Senjata Dalam Resolusi PBB Mengenai Myanmar

Badan serantau itu telah mengutus surat dengan meminta penaja draf resolusi Perhimpunan Agung supaya mengeluarkan klausa mengenai penjualan senjata daripada resolusi berkenaan, kata misi PBB Liechtenstein.
Shailaja Neelakantan
2021.05.27
Washington
ASEAN Berusaha Ketepikan Gesaan Embargo Senjata Dalam Resolusi PBB Mengenai Myanmar Bendera berkibaran di luar bangunan sekretariat Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menjelang mesyuarat ASEAN di Jakarta, 23 April 2021.
[Reuters]

ASEAN telah meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengetepikan gesaan untuk menggantung penjualan senjata kepada tentera Myanmar, yang telah membunuh ratusan orang awam sejak melakukan rampasan kuasa pada Februari, kata seorang diplomat Eropah kepada BenarNews pada Khamis.

Dalam sepucuk surat kepada negara-negara utama yang menaja draf resolusi Perhimpunan Agung PBB mengenai Myanmar, Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) - tanpa satu daripada anggota serantaunya iaitu Myanmar - telah meminta mereka supaya memadam satu ayat yang menggesa "penggantungan segera" penjualan atau pemindahan semua senjata dan peluru ketenteraan kepada Naypyidaw, kata seorang diplomat dari Liechtenstein, yang turut menaja dokumen berkenaan.

"ASEAN mengutus surat kepada kami dan antara pindaan [draf] yang mereka cadangkan ialah memadam perenggan mengenai [embargo] senjata," kata Georg Sparber, timbalan wakil tetap misi Liechtenstein ke PBB di New York, kepada BenarNews.

"Tidak ada alasan yang dinyatakan dalam surat itu ... dan apabila saya kata surat ASEAN, saya tidak bermaksud Myanmar yang merupakan anggota ASEAN, tetapi surat itu datangnya daripada sembilan negara anggota yang lain," katanya melalui telefon.

Namun, beliau enggan memberi salinan surat itu.

Sementara itu, seorang pegawai tinggi dari satu daripada negara penaja resolusi itu, pula memberitahu BenarNews bahawa ASEAN meminta draf itu disemak semula kerana badan serantau itu percaya ia yang sepatutnya menerajui usaha menyelesaikan krisis di Myanmar, di mana lebih daripada 800 orang telah terbunuh dalam keganasan pascar rampasan kuasa.

Wakil tetap Indonesia dan Malaysia ke PBB tidak segera membalas e-mel BenarNews yang meminta mengulas mengenai klausa senjata dalam resolusi tersebut.

Di Jakarta, jurucakap Kementerian Luar Indonesia enggan mengulas dan sekretariat ASEAN, yang berpejabat di ibu negara Indonesia, tidak melayani panggilan atau teks pesanan daripada BenarNews.

Bulan lalu, para pemimpin negara-negara ASEAN bersetuju dengan konsensus lima perkara mengenai Myanmar yang antara lain meminta badan serantau itu menghantar seorang utusan ke negara bergolak itu. Tetapi, lebih sebulan kemudian, ASEAN belum menunjukkan sebarang perkembangan termasuk menamakan utusan berkenaan, dan kerajaan tentera Myanmar pula mengabaikan persetujuan bersama itu yang turut disepakati oleh ketua junta Naypyidaw semasa beliau menghadiri mesyuarat khas itu yang diadakan di Jakarta.

Malah, draf resolusi itu menekankan mengenai "sokongan kuat terhadap peranan utama Persatuan Negara-negara Asia Tenggara" dalam memudahkan "penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar."

Human Rights Watch (HRW) mengecam ASEAN kerana melobi untuk memadamkan perenggan mengenai embargo senjata daripada draf resolusi PBB itu.

"Sebenarnya, ASEAN sedang berusaha untuk menghentikan gesaan resolusi Perhimpunan Agung PBB bagi melaksanakan embargo senjata terhadap Myanmar, yang sememangnya amat diperlukan untuk menghentikan keganasan junta Myanmar terhadap rakyatnya sendiri," kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW bahagian Asia menerusi catatan Twitter pada Rabu.

"Usaha yang memalukan oleh @MFAsg, @MFAThai & kerajaan ASEAN yang lain," katanya, dengan turut berkongsi catatan itu ke akaun Twitter kementerian luar Singapura dan Thailand.

Draf resolusi itu "meminta penggantungan segera bagi pembekalan, penjualan atau pemindahan semua senjata, peluru dan peralatan lain ketenteraan ke Myanmar sama ada secara langsung dan tidak langsung" adalah antara gesaan supaya dikenakan tindakan antarabangsa terhadap Myanmar.

Resolusi PBB: 'Barometer penting'

ASEAN, dengan "pendekatan tanpa campur tangan menjadi pegangannya” mungkin menganggap embargo senjata itu sebagai campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggotanya, menurut Hunter Marston, seorang pakar hubungan antarabangsa yang berpejabat di Canberra.

Namun, katanya, beliau berharap Malaysia dan Filipina dapat menyokong resolusi itu.

"Thailand mungkin menentangnya memandangkan ia memberi sokongan kepada tentera itu," kata Marston, yang juga penyelidik mengenai Asia dan Pasifik di Universiti Nasional Australia, kepada BenarNews.

Mesyuarat bagi menentukan resolusi itu yang dijadual diadakan di Perhimpunan Agung PBB pada 18 Mei telah ditunda supaya resolusi itu boleh menerima lebih banyak sokongan terutamanya dari negara-negara ASEAN, kata Sparber, sambil memberitahu bahawa tarikh baru untuk membuat pemilihan itu belum ditetapkan.

Menurut HRW, negara-negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, Kanada dan Jerman – yang merupakan antara 49 penaja resolusi itu - perlu memastikan bahawa pemilihan itu dijadual semula dengan secepat mungkin, dengan resolusi berkenaan turut mengandungi gesaan menghentikan penjualan senjata kepada junta Myanmar.

"Mereka tidak harus sambal lewa dengan menyatakan bahawa ini adalah masalah serantau dan bersembunyi di belakang ASEAN untuk mengelak tanggungjawab mereka sendiri; ASEAN ditubuhkan berdasar prinsip tidak campur tangan dan tidak akan menyerang Myanmar,” kata HRW dalam satu kenyataan minggu ini.

Resolusi itu, yang diterima pakai oleh Perhimpunan Agung PBB, tidak mengikat anggotanya tetapi ia adalah "barometer penting mengenai kesediaan antarabangsa untuk mengecam tindakan rampasan kuasa," kata Marston.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin pada Khamis memberitahu setiausaha agung PBB bahawa isu utusan ASEAN ke Myanmar akan diselesaikan tidak lama lagi, tetapi beliau tidak memberikan tarikh, kata pegawai kerajaan.

Banyak penganalisis dan aktivis hak asasi mengecam badan serantau Asia Tenggara itu kerana tidak mengambil tindakan segera terhadap Myanmar.

Sepanjang ASEAN berusaha mencari kesepakatan menyeluruh untuk menyelesaikan masalah kitu sejak empat bulan lalu, pasukan keselamatan Myanmar telah membunuh 831 orang yang kebanyakannya penunjuk perasaan anti rampasan kuasa sejak tentera melakukan rampasan kuasa pada Februari.

Aktivis Myanmar dan rakyatnya kecewa dengan masyarakat antarabangsa, kata Aaron Connelly iaitu penganalisis di Institut Kajian Strategik Antarabangsa di Singapura, yang juga pakar dalam politik Asia Tenggara.

"Semasa saya bercakap dengan mereka yang berada di Myanmar sekarang, adanya rasa kecewa yang amat sangat terhadap Amerika Syarikat dan Eropah selain perasaan berang terhadap China, ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN," kata Connelly di Twitter.

"Reputasi yang terjejas hasil daripada reaksi masyarakat antarabangsa, akan kekal lama."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.