Follow us

Pemimpin Malaysia Bincang Isu Hak Asasi Manusia dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB

Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-10-04
E-mel
Komen
Share
Menteri Luar Saifuddin Abdullah (kiri) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet melawat Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di Selangor, Malaysia, 4 Oktober 2019.
Menteri Luar Saifuddin Abdullah (kiri) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet melawat Rohingya Integrated School of Excellence (RISE) di Selangor, Malaysia, 4 Oktober 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata beliau membincangkan kebimbangan mengenai Rohingya dan perubahan iklim dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet pada Jumaat semasa kunjungan pertama pegawai tinggi PBB itu ke Malaysia.

Pertemuan selama 90 minit itu diadakan secara tertutup dan media tidak dibenarkan membuat liputan. Bachelet, yang menjadikan Malaysia negara pertama dalam lawatannya ke Asia Tenggara sejak pelantikannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asaso pada September 2018.

Mahathir, yang menyuarakan kebimbangan sama ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB di New York pada minggu lalu, menyiarkan tweet dalam akaun rasmi beliau selepas mesyuarat itu pada Jumaat.

"Gembira menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet hari ini. Kami membincangkan usaha Malaysia semasa UNGA minggu lalu dalam membangkitkan isu-isu hak asasi manusia seperti nasib etnik Rohingya dan bagaimana perubahan iklim akan menjejaskan hak asasi manusia," katanya dalam catatan tweet itu.

Terdahulu, Bachelet mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Saifuddin Abdullah, yang menjemput beliau melawat Malaysia semasa mereka menghadiri acara mengenai Hak Asasi di Geneva pada Februari lalu.

Selain pertemuan itu, Bachelet dan Saifuddin melawat sebuah sekolah, yang mempunyai 41 anak etnik Rohingya, yang diasaskan oleh sebuah NGO Islam di luar Kuala Lumpur.

Negara majoriti penduduk Muslim itu merupakan destinasi utama di Asia Tenggara bagi etnik Rohingya, yang mengalami penindasan di Myanmar sehingga memaksa mereka untuk melarikan diri ke luar negara terutamanya ke Bangladesh.

Kira-kira satu juta pelarian etnik Rohingya mendapatkan perlindungan di Bangladesh. Kebanyakan mereka melarikan diri selepas pasukan keselamatan kerajaan Myanmar melancarkan tindakan keras pada Ogos 2017 berikutan serangan maut oleh pemberontak Rohingya terhadap pos-pos polis dan tentera di negeri Rakhine. Pelbagai agensi PBB dan dan NGO antarabangsa menyifatkan tindakan itu sebagai pembersihan etnik, jika tidak sebagai penghapusan bangsa.

Usaha menghantar mereka kembali ke Myanmar gagal dilakukan kerana etnik Rohingya bimbangkan keselamatan mereka.

Pada Perhimpunan Agung PBB di New York bulan lepas, Mahathir mengecam kerajaan Myanmar, yang dipimpin pemenang Hadiah Keamanan Nobel Aung San Suu Kyi, kerana mengambil lewa dalam usahanya untuk menyelesaikan krisis Rohingya manakala PBB sekadar berdiam diri.

Bachelet menyiarkan tweet pada akaunnya susulan lawatan itu: "Setiap orang mempunyai hak kepada #pendidikan. Setiap orang harus diberi peluang untuk mempelajari kemahiran bagi membina masa depan yang lebih baik. Berasa gembira dapat melawat #Rohingya Integrated School of Excellence, sebuah pusat pembelajaran alternatif di #Malaysia untuk #pelarian dari #Myanmar."

Saifuddin memberitahu wartawan mengenai lawatan Bachelet, sambil menyatakan bahawa kerajaan Mahathir mengalu-alukan kunjungan para pegawai PBB.

"Kerajaan sebelum ini tidak menerima jemputan terbuka. Ada masanya permintaan pesuruhjaya tinggi atau pelapor PBB untuk melawat Malaysia juga ditolak," katanya kepada pemberita.

Saifuddin berkata Malaysia mengamalkan ketelusan dan pesuruhjaya tinggi serta perwakilan PBB yang mengunjungi negara itu adalah bebas untuk menulis laporan dan membuat cadangan.

"Kerajaan sekarang tidak ada apa yang mahu disembunyikan dan jika terdapat kelemahan dalam pentadbiran, kami bersedia untuk memperbaikinya kerana kami benar-benar terbuka," katanya.

Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan pada Khamis sambil menyeru Bachelet supaya memperakukan usaha Malaysia untuk memperbaiki hak asasi manusia sejak kerajaan Mahathir mengambil alih kuasa pada Mei 2018.

Bachelet dijadual bertemu dengan anggota-anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada Sabtu.

191004-MY-UN-inside.jpg

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kiri) menyambut ketibaan Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia di Kuala Lumpur, 4 Oktober 2019. (Ihsan Pejabat Perdana Menteri)

Lihat Laman Penuh