Follow us

Pelapor Khas PBB Sambut Baik Usaha Malaysia Bantu Anak Rohingya

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-18
E-mel
Komen
Share
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Prof Yanghee Lee semasa bercakap kepada media di Kuala Lumpur, Malaysia, 19 Julai, 2019.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai situasi hak asasi manusia di Myanmar, Prof Yanghee Lee semasa bercakap kepada media di Kuala Lumpur, Malaysia, 19 Julai, 2019.
[Aminah Farid/BeritaBenar]

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Myanmar pada Khamis menyambut baik usaha Malaysia dan organisasi bukan kerajaannya dalam memberikan pendidikan alternatif kepada anak pelarian Rohingya dan turut mahu ianya dijadikan satu model kepada negara lain.

Yanghee Lee berkata pusat pembelajaran alternatif dapat memberi penyediaan kepada anak-anak pelarian terhadap asas pendidikan dan kemahiran yang diperlukan mereka.

“Ini amatlah penting untuk memastikan mereka tidak menjadi generasi yang hilang kerana anak-anak Rohingya ini kebanyakkannya tidak diberikan akses kepada pendidikan di Myanmar,” kata Lee pada sidang media di Kuala Lumpur pada hari terakhir lawatan 11 harinya ke Thailand dan Malaysia.

Mengimbau mengenai perbualan beliau dengan komuniti Rohingya di Malaysia tentang kejayaan pusat pendidikan alternatif itu, Lee berkata ia adalah satu idea yang boleh diguna pakai bagi komuniti lain di dalam negara.

“Dengan bantuan Kementerian Pendidikan golongan yang dipinggirkan dari komuniti itu mendapat akses kepada pendidikan dan negara lain boleh mencontohinya,” tambah Lee.

Antara pusat pembelajaran alternatif yang dikunjungi Lee ialah projek ‘home schooling’ bagi kanak-kanak perempuan dan wanita Rohingya yang dijalankan oleh Yayasan Geutanyoë, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memfokuskan kepada komuniti Rohingya.

Awal tahun ini, kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan dalam sejarahnya yang mengumumkan mengenai keputusan untuk membenarkan pelarian dan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan dengan syarat ibu bapa mereka boleh menyediakan dokumen yang diperlukan.

Pada Khamis juga, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan dengan Penasihat Keselamatan Kebangsaan Emir Qatar, Mohamed Ahmad memberitahu "… saya mengambil kesempatan daripada kunjungan ini untuk bangkitkan cadangan supaya pihak Qatar membantu pelarian di Malaysia."

Beliau berkata, Qatar menyatakan kesediaan membantu meringankan beban pelarian di Malaysia menerusi tabung kebajikannya.

"Untuk membantu kita perlu menangani pelbagai masalah berkaitan pelarian dan kesediaan pihak Qatar ini boleh meringankan beban mereka," katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Malaysian, Bernama.

Muhyiddin berkata, negara Teluk itu boleh membantu kira-kira 150,000 pelarian di Malaysia yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan Rohingya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan latihan.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke perhatian pihak Majlis Keselamatan Negara dan bantuan daripada tabung berkenaan akan diselaraskan bagi melancarkan lagi pengurusan bantuan.

Lee yang tiba di Kuala Lumpur pada Selasa turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, berbincang mengenai masa depan komuniti pelarian di Malaysia.

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Wan Azizah atau Saifuddin mengenai pertemuan Lee dengan kedua-dua menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Liew yang dihubungi BeritaBenar memberitahu yang pertemuan antara timbalan menteri itu dengan Lee di Parlimen pada Rabu, hanyalah perjumpaan pengenalan.

“Ia cumalah perjumpaan pengenalan. Tiada lagi komen lain,” kata Liew yang enggan mendedahkan mengenai perincian pertemuannya itu.

Lee, seorang Professor dari Korea Selatan yang mengajar di Universiti Sungkyunwan, Seoul dilantik sebagai pelapor khas bagi situasi hak asasi manusia di Myanmar oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2014.

Pelapor khas dan pakar bebas adalah sebahagian daripada prosedur khas Majlis Hak Asasi Manusia, yang merupakan badan terbesar dalam sistem hak asasi PBB, yang secara umumnya adalah sebuah mekanisma pemantau serta penemuan fakta bebas majlis itu, dalam menangani situasi spesifik di negara tertentu atau isu yang bersifat tematik di seluruh dunia.

Dalam pada itu semasa ditanya tentang pendirian kontroversi Malaysia yang tidak mengikhtiraf kad pelarian yang dikeluarkan UNHCR, Lee enggan memberikan sebarang komen lanjut mengenainya sambil berkata ianya bukan sebahagian dari mandat yang diberikan kepadanya.

Lihat Laman Penuh