Belia Malaysia Layak Mengundi Pada 2021 Bakal ‘Gegar’ Politik Negara

MUDA, organisasi untuk anak muda, didaftarkan sebagai parti politik manakala lima juta belia berusia 18 hingga 21 tahun layak mengundi.
Muzliza Mustafa, Hadi Azmi & Ray Sherman
2021.12.29
Kuala Lumpur
Belia Malaysia Layak Mengundi Pada 2021 Bakal ‘Gegar’ Politik Negara Beratus-ratus penunjuk perasaan berarak ke Dataran Merdeka di Kuala Lumpur untuk mendesak Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu meletak jawatan, 31 Julai 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kira-Kira lima juta belia di Malaysia dilihat bersedia menggegarkan arena politik negara itu, kata penganalisis sambil menambah blok pengundi yang baru diberi mandat memilih pemimpin bakal menjadi penentu siapa pemenang dalam pilihan raya umum yang mungkin diadakan pada tahun depan.

Mulai bulan depan, kesemua belia berusia 18 hingga 21 tahun di Malaysia akan dibenarkan mengundi manakala parti politik yang tidak begitu bersedia dengan keadaan ini sudah pasti akan berlumba sesama sendiri untuk mendalami kehendak serta isu anak muda, kata seorang penganalisis.

“Terdapat ruang politik baharu yang dibuka dan semua parti politik sedang berusaha mendalami kehendak anak muda berusia 18, 19 dan 20 tahun kerana mereka bakal mewakili blok pengundi utama,” kata penganalisis politik James Chin daripada Universiti Tasmania kepada BenarNews.

“Belia terbabit akan menggegarkan landskap politik negara,” kata Nurul Ashikin Mabahwi, yang mengetuai sayap wanita parti politik Pejuang.

Susulan itu, parti politik bakal berdepan cabaran dalam menarik perhatian pengundi lebih muda, kata Chin.

“Ini akan menjadikan keadaan lebih menarik. Jika anda tanya kebanyakan anak muda, kebanyakan mereka mahu melihat muka-muka usang dalam politik bersara,” katanya.

Ia merupakan satu pencapaian yang besar bagi anak muda di Malaysia, dengan pelaksanaan undang-undang menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, dan pendaftaran parti MUDA, yang diumumkan hari ini oleh pengasas bersamanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

MUDA terpaksa berdepan cabaran getir untuk didaftarkan sebagai parti politik susulan dakwaan terdapat campur tangan politik.

“Tarikh kelahiran MUDA ialah pada 23 Dis 2021! Saya minta maaf kerana tidak memaklumkan perkara ini kepada anda semua lebih awal …,” menurut Syed Saddiq pada Rabu di laman Twitter.

211229-MY-Muda2.jpg

Syed Saddiq pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas menang dalam saman terhadap Kementerian Dalam Negeri, 14 Dis 2021. [S.Mahfuz/BenarNews]

Parti berusia setahun jagung MUDA bakal berdepan pengundi baharu pada pilihan raya umum akan datang, yang dikatakan ramai orang akan diadakan tahun depan memandangkan negara kini ditadbir oleh kerajaan kedua yang tidak dipilih oleh rakyat sejak Februari 2020.

Undang-Undang menurunkan had umur mengundi telah diluluskan pada Julai 2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan yang dipilih rakyat namun pelaksanaannya ditangguhkan. Selepas beberapa bantahan oleh satu gerakan dikenali sebagai Undi18 tidak membuahkan sebarang hasil, lima anak muda telah menyaman kerajaan kerana telah menangguhkan pelaksanaan undang-undang itu dan memenangi kes tersebut. Mahkamah telah memutuskan bahawa belia berusia 18 hingga 21 tahun harus dibenarkan mengundi menjelang 31 Dis 2021.

Lima juta pengundi baharu itu terdiri daripada 23.7 peratus daripada jumlah keseluruhan 21.1 juta pemilih berdaftar, dan mereka memberikan lonjakan kepada bilangan pengundi berusia bawah 40 tahun di sesuatu kawasan, kata Ketua Penerangan MUDA Zaidel Baharuddin.

Pada pilihan raya umum lepas, hampir 41 peratus pengundi yang keluar mengundi berusia lingkungan 21 hingga 39 tahun, lapor media tempatan.

“Dengan penguatkuasaan Undi18, blok mengundi terbesar adalah mereka yang berumur di bawah 40 tahun – kumpulan sama yang terpaksa menanggung beban akibat pandemik COVID-19 dari segi kelembapan ekonomi dan [disebabkan] keputusan tidak bijak oleh individu sama yang mentadbir negara ini sejak 60 tahun lepas,” kata Zaidel, 38, kepada BenarNews baru-baru ini.

“Sudah tiba masanya kita mempunyai pergerakan politik baharu yang mahukan pengaruh politik [dan] boleh memberikan pandangan bagaimana dasar digubal serta dilaksanakan di negara ini.”

Zaidel merujuk kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO, yang kembali berkuasa, tanpa dipilih oleh rakyat, selepas menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu. Malah semaasa pemerintahan kerajaan PM sebelum ini, UMNO merupakan penyokong gabungan yang memerintah, dengan perwakilan yang besar dalam Kabinet serta Jemaah Menteri.

Kedua-dua kerajaan ini tidak dipilih oleh rakyat. Pilihan raya umum lepas dimenangi oleh gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan. Bagaimanapun, kerajaan ini tumbang pada Februari tahun lepas susulan pertikaian dalaman.

Kehadiran kerajaan yang tidak dipilih ini mencetuskan aktivis politik dalam kalangan anak muda yang mula memprotes secara dalam talian lewat tahun lepas sebelum turun ke jalanan pada tahun ini. Mereka mengadakan protes susulan pelbagai isu termasuk perintah darurat yang dikenakan oleh Muhyiddin, Undi18 dan dakwaan salah urus pandemik COVID-19.

Kumpulan demografi ini, yang berusia lingkungan 18 hingga 25 tahun adalah mereka yang paling teruk terjejas akibat pandemik itu.

Krisis kesihatan ini telah meningkatkan kesulitan memperoleh pekerjaan dan menjana pendapatan bagi pekerja muda Malaysia yang berusia lingkungan 15 hingga 24 tahun menurut satu artikel yang diterbitkan pada September oleh Institut Yusof Ishak di Singapura.

Pengangguran belia mencecah 12.5 peratus pada 2020, meningkat daripada 10.5 peratus pada 2019, menurut artikel itu yang menambah pakej rangsangan COVID-19 “mengutamakan pekerja lebih berpengalaman.”

Apabila belia Undi18 memenangi kes mereka, ahli akademik Bridget Welsh berkata golongan itu “bakal menjadi penentu pada Pilihan Raya Umum ke-15,” yang telah dijadualkan pada 2023.

“Keputusan [mahkamah] menyebabkan semua pihak memberi perhatian kepada apa yang perlu dilakukan bagi menangani keperluan anak muda - pendidikan, pekerjaan dan rasa hormat,” kata ahli akademik dari University of Nottingham Malaysia itu di laman Twitter.

211229-MY-Muda3.jpg

Seorang penunjuk perasaan memegang sepanduk berbunyi ‘Negara sudah neraka, sebab kerajaan derhaka’ di Kuala Lumpur, 31 Julai 2021. [S.Mahfuz/BenarNews]

‘Pujuk mereka supaya keluar mengundi’

Sementara itu, mampukah parti politik memenuhi kehendak anak muda?

Purata umur menteri Kabinet Malaysia ialah 57 tahun dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berusia 61 tahun. Individu paling muda dalam Kabinet beliau ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang berumur 45 tahun. Pendahulu Ismail Sabri iaitu Muhyiddin Yassin dan Mahathir Mohamad masing-masing berusia 74 dan 96 tahun.

Seorang ahli parti pembangkang daripada Parti Tindakan Demokratik atau DAP, yang merupakan sebahagian daripada Pakatan Harapan, bersetuju dengan pandangan Chin bahawa anak muda mahu melihat “muka usang berundur.”

“Cabaran utama… ialah mencari dasar yang memenuhi kehendak anak muda terutama dari segi pekerjaan serta pendapatan yang memuaskan, dan sudah tentu perubahan iklim juga akan menjadi satu isu yang baharu muncul,” kata Liew Chin Tong, Pengarah Pendidikan Politik DAP kepada BenarNews.

“Secara umum, anak muda mahukan negara bergerak ke hadapan dan bukan mengundur ke belakang, dan DAP memiliki ramai calon muda berbanding kebanyakan parti lain,” katanya merujuk kepada calon DAP yang ingin dicalonkan parti itu untuk bertanding pada pilihan raya.

Bagaimanapun, sekadar meletakkan calon muda tidak cukup untuk meraih sokongan kumpulan demografi pengundi muda, kata jurucakap Research for Social Advancement (REFSA) Iskandar Fareez.

“Kita telah menyaksikan anak muda yang berwawasan memperjuang pelbagai isu progresif dan perubahan keinstitusian sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya kepada BenarNews.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menganggap keseluruhan segmen itu mempunyai kecenderungan yang sama. Mana-Mana parti yang mampu memujuk mereka supaya keluar mengundi dan melaksanakan kewajipan mereka, akan mempunyai kelebihan berbanding lawan mereka.”

Kumpulan anak muda ini turut mendekatkan diri mereka dengan rakyat Malaysia serta menjalin silaturahim yang baik menerusi bantuan yang dihulurkan semasa banjir teruk yang melanda Lembah Klang baru-baru ini.

MUDA, contohnya, berjaya mengumpul RM2 juta (AS$478,297) dalam tempoh seminggu bagi membantu mangsa banjir. Ia juga berjaya menghimpunkan lebih 5,000 sukarelawan bagi membantu kerja-kerja menyelamat dan pembersihan.

MUDA dan semua anak muda di Malaysia mendapat pujian ramai di media sosial atas usaha mereka itu.

“Agak pelik MUDA mampu mengumpul sebanyak RM2 juta daripada sumbangan namun kesan RM2 juta itu boleh dirasai di seluruh negara. JKM mendapat RM35 juta, tapi mana pergi semua duit itu?” tanya seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai Kay di laman Twitter.

JKM adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat yang didakwa melakukan salah urus usaha menyelamat dan beberapa pihak berkata telah menyebabkan situasi banjir bertambah buruk.

“Orang tu secara literal mentadbir kerajaan wayang sendirian. Syabas MUDA! Rakyat Malaysia sedang memerhati!” kata seorang lagi rakyat Malaysia di laman Twitter.

“MUDA mengumpul hampir RM2 juta. PKR [ahli Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat] sebanyak RM8 juta. RM10 juta itu adalah wang rakyat, yang diserahkan terus kepada isi rumah. Bila kerajaan akan bertindak? RM250 juta kepada 50,000 Keluarga Malaysia?” kata seorang lagi pengguna Twitter yang dikenali sebagai Edwin.

Anak muda kini berasa kecewa dan sudah tidak mampu bersabar. Ia bukan sahaja tentang salah urus isu banjir malah respons kerajaan Muhyiddin telah menimbulkan kemarahan mereka. Mereka rasa mereka tidak mendapat sokongan sesiapa, demikian menurut beberapa anak muda di laman Twitter.

Eksekutif pemasaran berusia 21 tahun Hawa Nadia berkata beliau 'hampir' membuat keputusan untuk tidak mengundi pada pilihan raya umum akan datang melainkan pakatan pembangkang Pakatan Harapan MUDA “mempertingkat strategi mereka.”

Hawa, yang tampil sebagai sukarelawan dalam misi bantuan selepas bencana banjir pada 18 Dis memuji MUDA dan berkata mereka harus diberi peluanng. Beliau juga berkata Pakatan Harapan adalah satu lagi pilihan yang baik.

“Kedua-dua ini pilihan kita yang paling tidak teruk,” katanya kepada BenarNews

“Mereka sememangnya pilihan yang lebih baik berbanding yang lain terutama bagi kita yang sudah muak dengan ahli politik usang, korup serta misoginis dan separuh daripada rakyat Malaysia rasa begitu.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.