Agong Titah Perdana Menteri Tidak Perlukan Undi Percaya, kata Menteri

Ahli Parlimen pembangkang berkata orang ramai perlu mendengar mengenai perkara ini secara terus dari istana.
S. Adie Zul & Noah Lee
2021.09.07
Kuala Lumpur
Agong Titah Perdana Menteri Tidak Perlukan Undi Percaya, kata Menteri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (kiri) kelihatan di skrin komputer semasa mesyuarat pra-Kabinet secara maya dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah di Kuala Lumpur, 1 Sept 2021.
[Ihsan Istana Negara]

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Selasa mendakwa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah telah bersetuju bahawa Perdana Menteri yang baharu Ismail Sabri Yaakob tidak perlu mengadakan undi percaya di Parlimen.

Bagaimanapun, persetujuan itu adalah bercanggah dengan titah baginda bulan lepas dan justeru, seorang Ahli Parlimen pembangkang berkata beliau ingin mendengar mengenai perkara itu secara bertulis dari istana.

Kenyataan Wan Junaidi dibuat tiga hari selepas Peguam Negara turut menyatakan bahawa tidak keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri oleh Seri Paduka Baginda.

“Perlembagaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada Al-Sultan Abdullah untuk melantik Perdana Menteri yang diyakini baginda mempunyai sokongan majoriti dan ketika itu, 114 Ahli Parlimen menyokong (Ismail Sabri),” kata Wan Junaidi.

“Kita telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda, justeru perkara ini [undi percaya] tidak sesuai dilakukan kerana Perdana Menteri baru sahaja mengambil alih jawatan itu,” katanya sambil menambah Ismail Sabri telah memaklumkan Kabinet mengenai perkara itu semasa mesyuarat pertama pada 1 Sept selepas beliau menghadap baginda.

Wan Junaidi merujuk kepada pelantikan Ismail Sabri oleh Al-Sultan Abdullah bulan lepas selepas pendahulunya Muhyiddin Yassin meletak jawatan susulan pertemuan baginda dengan semua Ahli Parlimen secara individu bagi menentukan siapa yang mereka sokong untuk menjadi pemimpin negara.

Parlimen dijadual memulakan persidangan pada 13 Sept dan usul undi percaya tiada dalam agenda, kata beberapa Ahli Parlimen pembangkang menerusi ciapan di Twitter.

Hassan Abdul Karim berkata kenyataan Wan Junaidi berhubung titah Agong mengenai perkara itu hanyalah bersifat dengar cakap.

“Jika ada titah baharu daripada Seri Paduka Baginda mengenai undi percaya, ia “hendaklah dibuat secara bertulis dan dimaklumkan kepada umum melalui kenyataan rasmi Istana Negara,” kata Hassan Abdul Karim, yang merupakan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), dalam satu kenyataan.

Sementara itu, akhbar The Straits Times yang berpangkalan di Singapura memetik satu sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata keengganan kerajaan mengadakan undi percaya adalah berpunca daripada maklumat yang diperoleh menerusi pemimpin pembangkang dan PKR Anwar Ibrahim.

Anwar dilaporkan memberitahu Menteri Dalam Negeri bahawa gabungan Pakatan Harapan akan mengambil sikap berkecuali jika usul undi percaya diadakan – yang berpotensi membawa kepada ketidakstabilan terhadap kerajaan baharu.

Ismail Sabri ‘tidak mahu mengambil risiko’

Seperti pendahulunya Muhyiddin, Ismail Sabri memiliki majoriti tipis di Parlimen, yang menyaksikan bahawa beliau akan kalah jika empat Ahli Parlimen menukar fikiran dan menarik balik sokongan terhadapnya.

Jika gabungan Pakatan itu mengundi yang memihak kepadanya semasa usul undi percaya, Ismail Sabri boleh meningkatkan bilangan penyokong beliau sekurang-kurangnya 105, kepada angka berjumlah 219 daripada 220 kerusi Parlimen.

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata Ismail Sabri mungkin mengelak daripada mengadakan usul undi percaya kerana tidak yakin bahawa sesetengah Ahli Parlimen daripada partinya sendiri iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), akan mengundi beliau.

“Terutama kumpulan yang bersekutu dengan Presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak yang memiliki 15 undi di Dewan Rakyat,” kata felow kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu kepada BenarNews.

“Terdapat kemungkinan bahawa Ismail Sabri akan mencabar Ahmad Zahid pada pemilihan parti seterusnya, oleh itu, Ahli Parlimen yang dikawal oleh Ahmad Zahid mungkin atau mungkin tidak menyokong beliau, jadi beliau tidak mahu mengambil risiko mengadakan usul undi percaya secara rasmi.”

Oh berkata Perlembagaan tidak memberikan mandat usul undi percaya kepada Perdana Menteri yang baharu dilantik namun secara lazimnya, pemimpin dengan majoriti tipis akan melakukannya untuk mengabsahkan pelantikan beliau.

“Selagi beliau tidak berbuat demikian, kerajaan pimpinannya akan sentiasa dianggap tidak begitu sah di sisi undang-undang atau tidak sah seperti yang berlaku kepada kerajaan Muhyiddin Yassin sebelum ini,” kata Oh.

Bekas Perdana Menteri itu mengelak daripada mengadakan usul undi percaya bagi mengabsahkan pemerintahannya selama 17 bulan yang tidak dipilih melalui pilihan raya “dan lihatlah apa yang akhirnya berlaku kepada Muhyiddin, beliau terpaksa berundur, bukan?” kata Oh.

Bekas Perdana Menteri itu meletak jawatan pada 16 Ogos selepeas UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan pimpinannya.

Ketika itu, Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin terpaksa bergantung kepada sokongan UMNO. Kini Ahli Parlimen UMNO dan Ismail Sabri pula bergantung kepada sokongan daripada Bersatu dan 31 Ahli Parlimennya.

Kedua-dua parti telah pun dan kini sekali lagi mula bertelagah, oleh itu, beberapa penganalisis memberitahu BenarNews bahawa ketidakstabilan politik akan berlanjutan.

Pilihan raya tahun depan?

Seorang Ahli Parlimen daripada Parti Bersatu pimpinan Muhyiddin memberitahu media tempatan Free Malaysia Today bahawa beliau menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, jadi tiada keperluan untuk mengadakan usul undi percaya.

“Mandat penuh akan diperoleh tahun depan. Buat masa ini, kita perlu lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Jika pilihan raya benar-benar diadakan tahun depan, berkemungkinan sejumlah 7.5 juta pengundi muda akan ditambah kepada daftar pemilih. Sebuah Mahkamah Tinggi pada minggu lepas memutuskan bahawa anak muda berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun hendaklah dibenarkan mengundi menjelang 31 Dis ini.

Sehingga pilihan raya diadakan, dan sebarang keputusan daripada isu usul undi percaya, rakyat Malaysia terpaksa berdepan kerajaan kedua yang tidak dipilih oleh mereka, kata warganet Dan Sebastian.

“Kami amat keliru,” ciapnya di laman Twitter.

“Harap Agong boleh berikan penjelasan lanjut kepada rakyat kecil seperti kami yang terpaksa berdepan tindakan ‘rampasan kuasa’ terhadap kerajaan yang kami pilih dan politik ‘manipulasi’ oleh ahli politik ‘licik.’

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.