Malaysia Duduki Kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Pemilihan Dipersoal Pengkritik

Badan bukan kerajaan persoal pemilihan Malaysia itu, kerana memiliki rekod hak asasi yang teruk.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-10-15
Share
Malaysia Duduki Kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Pemilihan Dipersoal Pengkritik Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet dilihat di kaca televisyen menyampaikan ucapan semasa sesi pelancaran Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, 13 September 2021.
[AFP]

Malaysia terpilih sebagai salah sebuah negara yang menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), menurut Perdana Menterinya pada Jumaat, dengan pengkritik tempatan mempersoalkan bagaimana negara yang memiliki rekod hak asasi yang teruk diundi untuk menduduki sebuah badan bertanggungjawab terhadap mempromosikan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Pemilihan Malaysia dengan 183 undian itu sekaligus membolehkannya menduduki 1 daripada 18 kerusi pada majlis itu bagi penggal 2022-2024.

“Malaysia telah memenangi pengundian negara-negara untuk menduduki 1 daripada 18 kerusi dengan 183 undian pada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi penggal 2022-2024.

“Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB merupakan pencapaian yang hebat dan pengiktirafan kepada status hak asasi manusia,” kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di laman media sosial Facebook rasminya.

Tambah beliau lagi, Malaysia bersedia untuk memainkan peranan aktif sebagai “fasilitator perdamaian, pemacu kerjasama, dan pembina konsensus”, dalam satu muatan lain di Twitter.

Ini merupakan kali ketiga Malaysia dilantik menduduki kerusi di majlis tersebut sejak ianya ditubuhkan pada tahun 2006 iaitu dari 2006 - 2009 dan kemudiannya dari 2010- 2013, tetapi gagal semasa pemilihan 2017.

Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah dalam satu sidang media pada Jumaat menyifatkan undian besar yang diterima Kuala Lumpur itu sebagai kayu ukur keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia.

“Undi besar yang diterima memperlihatkan keyakinan yang diletakkan oleh komuniti antarabangsa ke atas Malaysia dan pengiktirafan usaha kita terhadap memperkembangkan hak asasi manusia,” kata Saifuddin.

Menteri Luar itu juga menyifatkan pendirian Malaysia mengenai isu Myanmar, dimana Kuala Lumpur mencadangkan ketua junta negara itu, Min Aung Hlaing, diketepikan daripada menghadiri sidang kemuncak ASEAN hujung bulan ini sebagai contoh komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia.

“Salah satu janji kita kepada UNHRC ialah untuk Malaysia terus bersuara bagi pihak yang ditindas dan ditekan dan soalan ini sangat relevan dengan UNHRC,” kata beliau ketika ditanya mengenai isu Myanmar.

Menurut beliau jika tidak ada sebarang perubahan mengenai isu tersebut, Malaysia akan tekad untuk tidak mengehendaki jeneral junta itu daripada menghadiri sidang kemuncak tersebut.

“Tiada kompromi dalam hal ini,” tegas Saifuddin.

Perlekehkan hak asasi manusia

Disebalik kenyataan-kenyataan positif dari kerajaan, Ambiga Sreenevasan dari pertubuhan hak asasi manusia (Hakam) mencadangkan kerajaan untuk juga tidak berkompromi dengan memperlekehkan hak asasi manusia di dalam negara sendiri.

“Mungkin boleh beri taklimat kepada semua ahli parlimen mengenai maksud hak asasi manusia, terutama sekali (kepada ahli parlimen dari parti Islam) PAS.

“Cuba jangan malukan rakyat di sidang UNHRC dengan membenarkan ketaksuban dan sifar perkauman berkembang mekar dalam negara,” sindir Ambiga.

Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang juga ahli parlimen Marang sebelum ini menyifatkan perjuangan hak asasi manusia sebagai satu agenda barat yang melampaui.

"Sebagai contoh, isu perkahwinan sejenis. Kita tak boleh ikut, benda yang diharamkan semua agama, ia tidak dibenarkan.

“Itu sudah melampau, dah hanyut," katanya kepada media Sinar Harian pada 2019.

Selain Ambiga, Society for Promotion of Human Rights (Proham) dalam satu kenyataan turut menggesa kerajaan untuk lebih komited terhadap mengetengahkan perlindungan hak asasi manusia di Malaysia.

“Sehingga kini, Malaysia hanya menandatangani konvensi yang dikawalselia oleh Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensi Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensi Hak Orang Kelainan Upaya (CRPD),” kata Proham.

Bercakap kepada BenarNews, Adrian Pereira dari North-South Initiative turut mempersoalkan bagaimana sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang corot seperti Malaysia berjaya memenangi kerusi dalam majlis antarabangsa tersebut.

“Sebuah negara yang dalam kumpulan tercorot dalam senarai pemerdagangan manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat, dan kedua tercorot dalam laporan buruh Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC) yang merangkumi jutaan rakyat Malaysia dan pekerja migran. Bagaimanakan ini boleh terjadi?” soal Adrian.

Pada Julai, Amerika Syarikat telah menurunkan kedudukan Malaysia kepada tahap paling corot, iaitu Tahap 3 (Tier 3) dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021, dengan berkata Putrajaya gagal menangani isu buruh paksa melibatkan pekerja migran dan tidak mendakwa pegawai terlibat dalam jenayah berkaitan.

Menurut Adrian, Malaysia perlu jujur dan ikhlas terhadap pemerkasaan hak asasi manusia di negara itu.

“Mereka perlu melihat kepada pertubuhan hak asasi manusia, aktivis, serta rakan kongsi lain untuk membina semua negara dari aspek ekonomi dan sosial selepas pasca pandemik,” kata beliau.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) walaubagaimanapun menyifatkan perlantikan Malaysia ini sebagai satu amanah dan tanggungjawab bagi negara.

“Suhakam melihat ini sebagai satu peluang kepada semua pembela hak asasi manusia, termasuk suruhanjaya sendiri, untuk mengukuhkan libat urus dan bekerjasama dengan Kerajaan bagi melaksanakan janji dan komitmen sukarelanya,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh