Jabatan Buruh AS Senarai Sarung Tangan Getah Malaysia Barangan Hasil Buruh Paksa

Hadi Azmi & Nisha David
2020.10.15
Kuala Lumpur, Malaysia
201015-MY-Getah.jpg Seorang penoreh getah sedang menoreh pokok getah dikebun miliknya yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan, 19 November 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Jabatan Buruh Amerika Syarikat [DOL] telah menyenaraikan sarung tangan getah buatan Malaysia sebagai barangan yang didakwa dihasilkan melalui penggunakan tenaga buruh paksa dalam Laporan Senarai Barangan Dihasilkan Buruh Kanak-Kanak atau Buruh Paksa, yag merupakan satu garis panduan dalam menilai risiko terhadap ketelitian bekalan rantaian.

Menurut laporan edisi tahun 2020 yang dikemaskini penghujung September lalu, produk dari Malaysia yang disenaraikan dalam laporan berkenaan dibuat berdasarkan kepada aduan yang telah diterima berhubung penggunaan tenaga buruh paksa di kalangan migran dari Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal di lebih 100 buah kilang sarung tangan getah di negara tersebut.

“Seramai 42,500 buruh migran bekerja dalam industri sarung tangan getah di Malaysia pekerja asing dari Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal yang bekerja di lebih 100 kilang sarung tangan getah di seluruh negara.

“Mereka kerap kali dikenakan yuran pekerjaan tinggi sekaligus mengakibatkan terperangkap dalam perhambaan hutang, dipaksa bekerja melebihi had masa yang termaktub dalam undang-undang Malaysia serta bekerja di dalam kilang yang suhunya mampu mencapai tahap bahaya.

“Buruh migran ini juga dibayangi ugutan denda termasuk penahanan gaji, halangan pergerakkan, dan penahanan dokumen pengenalan diri,” kata laporan yang penyenaraian tersebut telah dikemaskini oleh Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa Amerika Syarikat melibatkan 155 produk dari 77 negara termasuk dari Malaysia.

Laporan itu menyebut penyenaraian yang dibuat adalah satu garis panduan prosedur dalam menilai risiko terhadap ketelitian mendapatkan bekalan rantaian dan bukan bertujuan untuk menghukum tetapi lebih kepada meningkatkan pengetahuan umum terhadap barangan yang dihasilkan daripada penggunaan buruh paksa dan kanak-kanak di serata dunia.

“Penyenaraian dalam laporan bukan bertujuan menghukum tetapi sebaliknya berfungsi sebagai satu pemangkin kerjasama strategik dan bermatlamat serta kolaborasi bersama antara pihak-pihak yang bekerja untuk memperbetulkan masalah,” kata laporan itu.

Edisi terbitan pada 2018 telah menyenaraikan industri elektronik, pakaian dan kelapa sawit dari Malaysia sebagai kategori amalan buruh kanak-kanak dan buruh paksa dengan kesemua industri tersebut turut dimasukkan dalam senarai terbaharu itu.

Penyenaraian barangan dari Malaysia dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang AS menerusi Senarai Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan (TVPRA), kata laporan itu.

Selain Malaysia, produk getah dari negara-negara Asia Tenggara lain seperti Myanmar, Kemboja, Indonesia, Vietnam dan Filipina turut tersenarai dalam laporan Jabatan Buruh AS itu kerana dipercayai melibatkan penggunaan buruh kanak-kanak dan melanggar amalan buruh Pertubuhan Buruh Antarabangsa [ILO].

Bidas dakwaan AS

Dalam pada itu, Malaysian Rubber Glove Manufacturers Association (MARGMA) membidas dakwaan Jabatan Buruh AS dan mendakwa bahawa laporan itu tidak mengambilkira perkembangan terkini dalam pematuhan sosial termasuk langkah pemulihan terhadap pekerja asing dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

“Beberapa pemain utama industri sarung tangan getah Malaysia sejak Jun 2020 telah membuat pengumuman penting iaitu untuk membelanjakan lebih dari RM250 juta (AS$60.1 juta) sebagai pemulihan untuk pekerja asing dalam industri bagi yuran pekerjaan yang sebelum ini dibayar pekerja kepada agen di negara masing-masing tanpa pengetahuan majikan mereka di Malaysia,” kata Presiden MARGMA, Subramaniam Shanmugan.

MARGMA telah mengambil langkah proaktif sejak 2018 untuk menyemak agensi pekerjaan serta kebajikan dan layanan pekerja asing.

“Selain bekerja dengan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) untuk melakukan pelbagai penambahbaikan, MARGMA juga telah menjalin hubungan dengan Pemerintah AS melalui pertemuan dengan Kedutaan AS Kuala Lumpur, Pejabat Pertanggungjawaban Pemerintah AS dan Kastam AS dan Perlindungan Sempadan untuk mengusahakan pembangunan progresif dan peningkatan kesejahteraan pekerja asing secara berterusan dalam Industri Sarung Tangan Getah (RGI),” jelas beliau.

Pada 6 Oktober lalu, kilang yang merupakan pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, dari Malaysia, Top Glove telah dikenakan sekatan larangan import menerusi Perintah Menahan Pelepasan oleh Jabatan Kastam dan Perlinduangan Sempadan Amerika Syarikat [CBP] atas dakwaan menggunakan buruh paksa dan buruh kanak-kanak.

Selepas tindakan diambil pihak berkuasa AS itu, syarikat tersebut tampil dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia dan media bahawa ianya telahpun melunaskan bayaran pampasan berjumlah RM136 juta (AS$32.7 juta) kepada pekerja asing untuk tempoh 10 bulan dengan ta jumlah bayaran itu adalah berdasarkan kepada cadangan oleh perunding bebas selepas pengesahan komprehensif dibuat.

“Pekerja asing akan menerima pampasan dalam tempoh 10 bulan bermula Oktober 2020 dengan dua pampasan awal pada Ogos dan September dan juga telah menyerahkan maklumat lanjut kepada CBP termasuk berhubung rapat dengan agensi itu dalam mempercepatkan proses penyelesaian terhadap perkara berkaitan dan penarikan semula Perintah Menahan Pelepasan import -WRO,” menurut kenyataan Top Glove pada awal Oktober.

Tarik WRO

Sementara itu, syarikat peladangan kelapa sawit FGV Holdings Berhad (FGV) dalam satu kenyataan berkata pihak Kastam Amerika Syarikat (CBP) terbuka untuk mempertimbangkan penarikan semula Perintah Menahan Pelepasan import -WRO produk kelapa sawit syarikat itu sekiranya satu audit bebas oleh pihak berkecuali boleh membuktikan tidak terdapat sebarang aktiviti buruh paksa oleh FGV.

Pada 30 September lalu, FGV adalah antara beberapa syarikat lain dari Malaysia yang telah dikenakan sekatan oleh CBP atas dakwaan tersebut.

“CBP memberitahu FGV bahawa mereka akan mempertimbangkan satu petisyen untuk penarikan WRO bersama dengan maklumat atau laporan yang dibangkitkan daripada audit oleh firma audit yang boleh dipercayai, tidak berat sebelah, dan bebas,” kata FGV.

Perkara itu dinyatakan oleh CBP dalam satu sidang mesyuarat yang dilakukan secara dalam talian di antara agensi pengkuatkuasaan Amerika Syarikat itu dan FGV pada 8 Oktober lalu.

Menurut syarikat itu, pihaknya sudahpun berhubung dengan beberapa organisasi bebas untuk mengkaji pilihan terhadap audit FGV yang akan berlaku kelak.

Dalam sesi perbincangan yang sama CBP telah memberitahu bahawa dalam siri siasatannya mendapati 11 indikator amalan buruh paksa berlaku dalam FGV yang selari dengan standard ILO tetapi gagal dalam mendapatkan butiran terperinci berhubung indikator itu.

“CBP tidak mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai penemuan mereka termasuklah bentuk dan lokasi-lokasi di mana insiden berkait dengan petunjuk itu berlaku,” kata FGV sambil menambah yang maklumat tersebut sangat mustahak bagi membolehkan FGV menangani dan menyelesaikan mana-mana masalah dalam amalan mereka.

FGV harus tahu di mana ‘silap’


Bercakap kepada BeritaBenar, Pengarah Eksekutif North-South Initiative, Adrian Pereira berkata FGV sepatutnya tahu di manakah kegagalan mereka setelah gagal dalam audit sebelum ini sehingga mengakibatkan tersenarai keluar dari pensijilan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO).

“Jadi dengan melihatkan perkara ini berlanjutan maka ia menunjukkan bahawa FGV tidak ada skil mahupun keinginan untuk menyelesaikan masalah dan ini merugikan kerana memberikan imej buruk kepada negara,” katanya.

FGV mengendalikan 197 ladang di seluruh Malaysia dan juga Indonesia melalui anak syarikatnya FGV Plantation (Malaysia) Sdn Bhd.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.