Tekanan Dagangan China Jadikan AS Pelabur Utama Malaysia

Hadi Azmi & Aminah Farid
2019.08.22
Kuala Lumpur, Malaysia
190822-MY-dollars-ringgit-1000.jpg Seorang pengurup wang menunjukkan matawang dolar Amerika Syarikat dan ringgit Malaysia di sebuah kedai pengurup wang di Kuala Lumpur, 6 Januari 2015.
[AP]

Amerika Syarikat mengatasi China dengan menjadi pelabur utama Malaysia dalam sektor pembuatan berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan kerajaan, walaupun dua kuasa besar ekonomi dunia itu sedang menghadapi perang dagangan yang menyebabkan berlakunya lencongan pelaburan ke Asia Tenggara.

China merupakan pelabur utama di Malaysia dalam tempoh tiga tahun yang lalu namun Amerika Syarikat telah mengatasi gergasi Asia itu dalam separuh pertama 2019, menurut data diluluskan terkini mengenai pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia minggu ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Isnin berkata pelaburan dalam sektor pembuatan Malaysia melonjak lebih daripada 74 peratus kepada RM33.1 bilion (AS$7.9 bilion) dari Januari hingga Jun berbanding tempoh yang sama tahun lepas dengan hampir satu pertiga atau RM11.7 bilion (AS$ 2.8 bilion) adalah dari Amerika Syarikat.

Ini menjadikan negara itu sebagai "sumber terbesar FDI diluluskan bagi sektor pembuatan dalam tempoh tersebut," kata Lim dalam satu kenyataan.

China pula merupakan sumber asing kedua terbesar dengan pelaburan sebanyak RM4.8 bilion (AS$1.1 bilion), katanya tanpa memberikan angka perbandingan bagi kedua-dua negara itu.

Tetapi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada minggu lalu mengeluarkan angka yang menunjukkan bahawa dalam tempoh Januari hingga Jun pada 2018, pelaburan Amerika Syarikat adalah berjumlah AS$762.1 juta manakala pelaburan China berjumlah AS$4.75 bilion.

Kerajaan tidak memberikan alasan bagi lencongan pelaburan itu tetapi sesetengah pakar berpendapat bahawa ia mungkin merupakan perkembangan jangka pendek, yang mengaitkannya dengan perang dagangan yang berlaku antara Amerika Syarikat dan China pada masa ini. Presiden AS Donald Trump telah mengenakan tarif ke atas pelbagai barangan Cina manakala China pula membalasnya dengan mengenakan sekatan dagangan terhadap negara itu.

Dalam usaha untuk mengelakkan kenaikan tarif yang dikenakan ke atas Beijing, beberapa syarikat telah memindahkan sebahagian daripada kilang pengeluaran mereka dari China ke Asia Tenggara seperti Vietnam dan Malaysia, menurut laporan.

"China kehilangan FDI [pelaburan langsung asing] berikutan pengeluaran untuk eksport ke AS terjejas akibat tarif itu," kata pakar ekonomi Universiti Malaya Rajah Rasiah kepada BeritaBenar.

Beliau berkata pelaburan ke Amerika Syarikat meningkat terutamanya melalui pemindahan syarikat-syarikat dari China kerana mahu mengelakkan kenaikan tarif tersebut.

"Bagaimanapun, bagi saya, keadaan ini adalah fenomena jangka pendek. Dalam jangka masa panjang, apabila kos pengeluaran  syarikat-syarikat ini meningkat disebabkan tarif dan kadar upah AS yang lebih tinggi, ia akan menjejaskan eksport kerana ia akan menjadi lebih mahal," katanya.

Rasiah berpendapat sekiranya Amerika Syarikat kembali ke regim tarif sebelum ini, "ia akan menghadapi kemelesetan dan dengan keadaan itu, ia akhirnya berdepan kejatuhan FDI. Sementara itu, China akan mengeksport pula ke negara-negara lain dan menerusi negara-negara lain ke AS."

Perubahan gambaran pelaburan


Dalam satu laporan minggu lalu, bank pusat Malaysia mengakui adanya "tanda-tanda awal bahawa beberapa pengeluar elektrik dan elektronik global menunjukkan hasrat untuk memindahkan operasi ke Malaysia", namun ia berkata ini "tidak dapat mengimbangi kesan buruk daripada konflik dagangan yang belum dapat diselesaikan dalam jangka masa terdekat berikutan tempoh lama yang diperlukan untuk mengubah rantaian bekalan. "

Amerika Syarikat secara tradisinya menjadi pelabur besar dalam industri elektrik dan elektronik Malaysia dan kerajaan menjangka untuk meraih manfaat besar daripada pertikaian dagangan AS-China bagi menarik lebih banyak pelaburan.

"Kami mengharapkan pelaburan AS dalam sektor E & E [elektrik dan elektronik] di Malaysia akan terus berkembang kerana adanya ekosistem tempatan yang kukuh terutamanya di [negeri] Pulau Pinang, dan juga sebahagiannya disebabkan oleh keputusan yang dibuat oleh para pelabur berikutan ketegangan dalam hubungan antara AS dan China," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming kepada BeritaBenar.

Pada masa sama, terdapat ketidakpastian tentang pelaburan luar negara dari China yang ekonominya semakin perlahan dan ketika Beijing bersedia menghadapi satu lagi tarif ketat yang akan dikenakan oleh Amerika Syarikat bermula pada September.

Agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody's Investors Service, memberi amaran pada minggu lalu bahawa pertumbuhan pelaburan luar negeri China mungkin perlahan atau merosot dalam beberapa tahun akan datang.

Moody's berkata syarikat-syarikat infrastruktur China akan menjadi lebih memilih dalam membuat pelaburan ke atas projek-projek di luar negara, menurut laporan saluran berita AS, CNBC.

Ada Li, pegawai kredit kanan di Moody's, berkata inisiatif projek di bawah Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) China juga mungkin perlahan dalam beberapa tahun akan datang. Beliau menarik perhatian kepada pelaburan langsung asing negara itu bagi separuh pertama tahun 2019 yang hanya meningkat 0.1 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.

Selain itu, syarikat-syarikat milik kerajaan China, yang biasanya mengambil bahagian dalam projek-projek sedemikian, kini melencong tumpuan pelaburan mereka daripada pasaran luar negara dan kembali ke negara itu, katanya dalam laporan CNBC.

Malaysia adalah antara peserta utama dalam inisiatif OBOR Beijing yang merentasi ke 70 negara. Ia bertujuan membina Laluan Sutera abad ke-21 dengan menghubungkan negara-negara berkenaan melalui rangkaian kereta api, jambatan dan pelabuhan yang akan membawa China berhubung dengan Afrika, Eropah dan Asia Tenggara.

Walaupun dengan adanya ketidakpastian itu, Menteri Kewangan Lim dalam ucapannya pada awal bulan ini menyatakan bahawa minat pelaburan China tidak berkurangan.

"Kami kini melihat lebih ramai pelabur dan pegawai dari China yang mengemukakan pertanyaan dan prospek bagi peluang dan bidang baru dalam kerjasama di Malaysia," katanya pada Forum Kerjasama Ekonomi Jalur dan Laluan Malaysia-China di Kuala Lumpur.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.