Pengampunan Untuk Banduan Guantanamo Mampu Jejas Perbicaraan Suspek Asia Tenggara

John Bechtel
2021.11.05
Washington
Pengampunan Untuk Banduan Guantanamo Mampu Jejas Perbicaraan Suspek Asia Tenggara Banduan Teluk Guantanamo Majid Khan, yang dihukum penjara 26 tahun pada 29 Okt lepas kerana peranannya dalam insiden pengeboman maut di Hotel Marriott, Jakarta pada 2003, seperti yang dilihat dalam foto ini pada 2018.
[Center for Constitutional Rights via AP]

Keterangan seorang banduan Teluk Guantanamo di hadapan tribunal tentera AS minggu lepas yang mendakwa dia telah diseksa di sebuah lokasi rahsia CIA dan syor juri untuk memberikan pengampunan kepadanya susulan insiden itu mempunyai implikasi terhadap perbicaraan tiga suspek keganasan dari Asia Tenggara yang kini meringkuk di pusat tahanan terkenal itu, kata peguam dan aktivis.

Majid Khan, yang mengaku menjadi keldai wang sehingga membawa kepada insiden pengeboman di Hotel Marriot Jakarta pada 2003, telah dihukum penjara 26 tahun pada minggu lepas. Sebelum dijatuhkan hukuman, dia memberi keterangan terperinci mengenai penyeksaan yang didakwa dialaminya di sebuah ‘tapak hitam’ yang dikendalikan oleh Agensi Perisikan Pusat atau CIA selepas ditahan pada tahun itu sehinggalah dia dipindahkan ke sebuah penjara AS di Cuba pada 2006.

“Saya ingat saya akan mati,” kata Majid Khan ketika membacakan kenyataan 39 halaman semasa prosiding jatuh hukum terhadapnya di Guantanamo pada 28 Okt lepas, menurut laporan Associated Press. “Lebih banyak saya berikan kerjasama dan maklumat kepada mereka, lebih teruk saya diseksa.”

Satu laporan Senat AS pada 2014 berhubung penahanan suspek oleh CIA memperincikan beberapa bentuk seksaan yang dialami oleh Majid Khan, seorang warganegara Pakistan, termasuk enema. “Makanan tengah hari Majid Khan, iaitu hummus, pasta dengan sos, kekacang dan kismis telah dijadikan puri serta dimasukkan ke dalam punggungnya,” menurut laporan itu.

Dalam perkembangan yang tidak disangka-sangka, tujuh daripada lapan pegawai kanan tentera dalam juri telah menyerahkan syor pengampunan untuk Majid Khan secara bertulis, sebahagiannya adalah berdasarkan keterangan beliau mengenai seksaan yang dialami, yang disifatkan mereka sebagai “tidak mempunyai nilai praktikal dari segi perisikan, atau sebarang manfaat yang ketara kepada kepentingan AS.”

“Sebaliknya ia merupakan titik hitam kepada perwatakan Amerika; layanan sedemikian rupa terhadap Encik Majid Khan oleh pegawai AS adalah sesuatu yang amat memalukan bagi kerajaan AS,” demikian menurut salinan nota yang diperoleh dan disiarkan oleh The New York Times.

Peguam Jim Hodes, yang mewakili Encep Nurjaman, pula enggan mengulas sama ada anak guamnya akan memberi keterangan serupa pada perbicaraannya yang akan datang berkaitan pertuduhan keganasan yang dikaitkan dengan insiden pengeboman Marriott dan Pengeboman Bali pada Oktober 2002.

Dua belas orang terbunuh dalam pengeboman di hotel itu manakala 202 lagi terkorban dalam pengeboman berganda di Bali – yang merupakan serangan pengganas paling teruk di Indonesia setakat ini dan yang menyaksikan Jemaah Islamiyah, sekutu al-Qaeda di Asia Tenggara, dipersalahkan.

Nurjaman, seorang rakyat Indonesia yang juga dikenali sebagai Hambali, akan dibicarakan bersama dua rakyat Malaysia iaitu Mohammed Nazir bin Lep dan Mohammed Farik bin Amin atas pertuduhan keganasan selepas mereka ditahan di pangkalan Tentera Laut AS di Teluk Guantanamo dari 30 hingga 31 Ogos. Ketiga-tiga mereka telah meringkuk di dalam penjara itu sejak 2006 selepas menghabiskan masa di tapak hitam CIA susulan penahanan mereka pada 2003.

Hodes menyifatkan nota itu sebagai “memberi kesedaran yang begitu mendalam.”

“Pada pendapat saya, nota itu adalah satu teguran keras terhadap apa yang telah dan sedang kerajaan kita lakukan,” katanya kepada BenarNews.

Peguam Mohammed Nazir dan Mohammed Farik bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Nota bagi pihak Majid Khan itu, yang sebelum ini menetap di Baltimore, Maryland namun bukan warganegara Amerika, turut mengambil maklum bahawa beliau telah ditahan hampir dua dekad tanpa sebarang proses perundangan yang sewajarnya.

“Meskipun dinyatakan sebagai musuh asing beligeren yang tidak mempunyai keistimewaan,’ dan secara teknikal tidak diberikan hak-hak warganegara AS, pengabaian sepenuhnya terhadap konsep asas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan adalah bercanggah dengan nilai-nilai Amerika dan konsep keadilan,” kata juri terbabit.

Majid Khan adalah tahanan bernilai tinggi pertama yang menjalani program penahanan suspek keganasan di seluruh dunia oleh CIA, yang dihimpun dan disoal siasat di tapak hitam yang dirahsiakan lokasinya susulan serangan pengganas 9/11 di Amerika Syarikat, dan akan disabit serta dihukum di Kem Kehakiman Teluk Guantanamo.

Beliau mungkin bebas seawal Februari 2022 selepas satu perjanjian bagi pengakuan dicapai pada 2012, lapor AP sambil menambah para juri tidak dimaklumkan mengenai perjanjian itu.

Nota ‘yang amat luar biasa’

Joshua Kastenberg, seorang bekas pendakwa Tentera Udara dan hakim, berkata beliau tidak pernah menyaksikan perkara seperti nota juri itu.

“Nota ini amat luar biasa kerana berbanding komen yang sepatutnya ditulis, terdapat rayuan bagi meringankan kesalahan atau bahawa defendan/tertuduh disifatkan sebagai seorang yang baik. Permintaan bagi pengampunan ini membabitkan kenyataan mengenai undang-undang perlembagaan dan hak asasi manusia kepada proses perundangan yang sewajarnya,” kata Kastenberg yang mengajar undang-undang di Universiti New Mexico kepada BenarNews.

“Saya tidak pernah melihat kenyataan sedemikian,” katanya. “Apapun, saya menyambut baik hakikat kenyataan itu telah dibuat dan ia membuktikan komitmen kita kepada Perlembagaan serta norma-norma kesopanan masih wujud.”

Sebagai maklum balas berikutnya kepada BenarNews, Kastenberg berkata “paling tidak, nota itu akan mempengaruhi pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam mendakwa kes-kes itu untuk mengambil pendekatan yang lebih holistik dan menawarkan perjanjian bagi pengakuan.”

Usman Hamid, pengerusi Amnesty International Indonesia, turut membincangkan kepentingan tindakan juri itu.

“Apa yang perlu diketengahkan bukanlah isu pengampunan, sebaliknya seksaan yang terpaksa ditempuhi oleh Majid Khan – ini adalah satu pencabulan terhadap konvensyen menentang seksaan yang diratifikasi oleh Amerika Syarikat pada 1994. Hakikat bahawa juri telah mengakui bahawa terdapat seksaan sepatutnya dijadikan asas untuk menjalankan siasatan,” katanya kepada BenarNews.

“Pengampunan serupa hendaklah diberikan kepada Hambali kerana beliau juga telah menempuh seksaan itu.”

Sementara itu, seorang pegawai Human Rights Watch (HRW) mempertikai mengapa Majid Khan, Hambali dan yang lain terpaksa menunggu selama bertahun-tahun sebelum dibicarakan.

“Keterangan terperinci Majid Khan mengenai seksaan yang dialaminya di tangan CIA adalah bukti lanjut mengenai kemudaratan peperangan global AS terhadap keganasan,” kata Letta Tayler, seorang pengarah bersekutu di bahagian krisis dan konflik HRW kepada BenarNews.

“Bagaimanapun, memandangkan kes-kes Guantanamo yang berjalan dengan begitu perlahan serta kecacatan sistematik dalam sistem suruhanjaya tentera yang diwujudkan bagi membicarakan suspek keganasan di sana, ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk juri memberikan keputusan dalam kes Hambali – jika ada. Malah AS mengambil masa 18 tahun untuk mendakwanya.”

Tria Dianti di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.