Follow us

AS Tegaskan Pendirian di Laut China Selatan, Isytihar Tuntutan China Tidak Sah

Drake Long
Washington
2020-07-13
E-mel
Komen
Share
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo bercakap kepada wartawan di Jabatan Negara di Washington, 1 Julai 2020.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo bercakap kepada wartawan di Jabatan Negara di Washington, 1 Julai 2020.
(AP)

Amerika Syarikat pada Isnin mengumumkan pendiriannya yang lebih tegas terhadap tuntutan meluas China di Laut China Selatan dengan mengisytiharkannya sebagai tidak sah dan menuduh Beijing memperlakukan perairan yang menjadi pertikaian itu sebagai "empayar maritim."

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Negara A.S Mike Pompeo berkata tiada "alasan undang-undang" bagi tuntutan maritim meluas China itu. Beliau secara rasmi menyatakan bahawa pendirian A.S itu adalah selari dengan keputusan perundangan yang dibuat dalam penghakiman  mahkamah antarabangsa bagi kes antara Filipina dan China pada 2016.

"Dunia tidak akan membiarkan Beijing memperlakukan Laut China Selatan sebagai empayar maritimnya," kata Pompeo. "Amerika menyokong penuh sekutu dan rakan Asia Tenggara kami dalam melindungi hak kedaulatan mereka terhadap sumber-sumber pesisir, yang konsisten dengan hak dan tanggungajwab mereka berdasarkan undang-undang antarabangsa."

Menurut Jabatan Negara, A.S kini menganggap tuntutan China terhadap batu dan terumbu di Kepulauan Spratly, yang terletak di bahagian selatan Laut China Selatan, sebagai tidak sah, dan menganggap tuntutan maritimnya berdasarkan dakwaan pemilikan ciri-ciri tersebut adalah sama seperti melanggar undang-undang antarabangsa.

Kenyataan itu secara khususnya menyatakan tentang desakan Beijing bahawa ia mempunyai hak ekonomi bagi perairan di sekitar Terumbu Scarborough, Terumbu Mischief dan Second Thomas Shoal, yang kesemuanya dituntut oleh Filipina.

A.S juga menolak tuntutan China terhadap Tebing Vanguard di pesisir selatan Vietnam, Luconia dan James Shoals yang berada di zon ekonomi eksklusif Malaysia serta dan perairan di pesisir Brunei dan Kepulauan Natuna di Indonesia, kata kenyataan itu.

"Ini merupakan langkah besar yang menyimpang berbeza daripada dasar tradisional A.S di Laut China Selatan. Sebelum pengumuman hari ini, Washington telah membantah tuntutan melampau Beijing terhadap wilayah Laut China Selatan, tetapi secara rasminya tidak membuat sebarang pendirian terhadap tuntutan secara individu itu,”kata Derek Grossman, penganalisis pertahanan kanan di RAND Corp, sebuah badan pemikir A.S.

Reaksi berbeza?

Sebelum ini, A.S mengelak daripada memihak dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan, walaupun berulang kali menggesa supaya diberi kebebasan kepada navigasi dan penerbangan di wilayah maritim yang strategik itu.

Walaupun A.S tidak bersetuju dengan apa yang disebut sebagai "sembilan garis putus-putus" yang ditetapkan China sebagai sempadan maritimnya pada 2009, Washington tidak secara jelas menyatakan tentang undang-undang antarabangsa apabila ia berkaitan dengan jenis tuntutan lain, termasuk tafsiran Beijing tentang apa yang dianggapnya sebagai kepulauan di Laut China Selatan dan kemampuannya untuk mendapatkan zon ekonomi eksklusif demi hak ke atas sumber-sumber berkenaan.

Greg Poling, felow kanan bagi Asia Tenggara di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington, berkata bahawa kenyataan itu jelas menunjukkan yang pendirian A.S adalah selari dengan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 yang menolak banyak tuntutan China terhadap Laut China Selatan, selepas Filipina membawa kes itu ke muka pengadilan.

"Washington menyokong proses mahkamah timbang tara itu pada  2016 tetapi tidak pernah menunjukkan sokongan itu dengan ketara. Kini, ia berbuat demikian,” kata beliau. "Oleh itu, ini bermakna ia bukan sahaja akan menghalang kegiatan China di perairan Asia Tenggara yang dianggap pesat atau berbahaya, malah dapat menyatakan dengan jelas bahawa kegiatan tersebut menyalahi undang-undang."

Pengumuman mengenai pendirian baru A.S itu dibuat ketika China terus menekan negara-negara Asia Tenggara supaya tidak melakukan aktiviti penerokaan dalam perairan mereka, dengan mengerahkan kapal-kapal pengawal pantainya termasuk di Tebing Vanguard, di mana ia terlibat dengan perbalahan berbulan-bulan lamanya dengan Vietnam pada tahun lalu dan nampaknya bersiap siaga untuk berbuat demikian pada tahun ini.

20713_PH_SCS_Protest_1000.jpg

Para penunjuk perasaan di Manila mendesak China supaya beredar meninggalkan Laut Filipina Barat (WPS),  nama yang digunakan Filipina untuk Laut China Selatan, dalam arkib foto bertarikh 22 Julai 2019. (Basilio Sepe/BeritaBenar)

Kenyataan keras Pompeo itu menyusuli kenyataan rakan sejawatannya di Filipina semasa memperingati ulang tahun keempat keputusan mahkamah timbang tara itu pada 2016, yang tidak pernah diperakukan oleh China selain turut memboikot prosiding mahkamah itu.

"Penghakiman tribunal timbang tara pada 12 Julai 2016 adalah kemenangan, bukan hanya untuk Filipina, tetapi seluruh komuniti negara-negara yang sentiasa mematuhi undang-undang," kata Setiausaha Luar Teodoro Locsin pada Ahad, yang turut menggesa China supaya mematuhi keputusan mahkamah itu.

"Filipina, sebagai anggota komuniti antarabangsa yang patuh kepada undang-undang, cintakan keamanan dan bertanggungjawab, sekali lagi menegaskan pada majlis ini tentang pematuhannya terhadap keputusan itu dan pelaksanaannya tanpa sebarang kemungkinan untuk berkompromi atau berubah," kata Locsin.

Kerajaan Filipina baru-baru ini mengambil pendirian yang lebih kritikal terhadap Beijing. Namun, seorang penganalisis yang berpejabat di Manila menganggap kenyataan Locsin sebagai penuh berwaspada dalam usaha membawa kepentingan negara berdasarkan penghakiman itu, yang tidak pernah dilaksanakan di bawah kepimpinan Presiden Rodrigo Duterte.

"Kerajaan Filipina nampaknya tidak menunaikan kata-katanya," kata Jose Antonio Custodio, sejarawan tentera dan penganalisis politik di Institut Kajian Dasar, Strategi dan Pembangunan. "Dalam kata lain, beliau adalah pengganti Beijing," katanya yang merujuk kepada mengenai Duterte.

"Filipina tidak menguatkuasakan hak maritimnya di kawasan itu dan sebenarnya, teragak-agak untuk turut serta dalam eksesais maritim pelbagai pihak di sana," kata Custodio kepada BeritaBenar. "Ini kerana adanya pengaruh kuat China dalam pentadbiran Duterte."

Albert del Rosario, yang sebelum ini menyandang jawatan Locsin, berkata Duterte telah memutuskan untuk "menghentikan" penghakiman yang diberikan kepada Manila bagi "meneruskan harapan besarnya untuk mendapatkan pinjaman dan pelaburan daripada Beijing, yang tidak pernah berhasil pun."

Keputusan A.S untuk memihak kepada negara-negara Asia Tenggara dalam isu Laut China Selatan kemungkinan akan memburukkan lagi hubungan A.S dan China, selain mendapat reaksi berbeza daripada negara-negara terlibat, kata Grossman.

"Beberapa negara seperti Vietnam dan Filipina pastinya gembira dengan langkah A.S itu kerana mereka sememangnya mencari sokongan. Tetapi negara lain seperti Malaysia dan Indonesia... mungkin tidak gembira. Hanya masa yang akan menentukannya,” kata beliau.

Basilio Sepe serta Dennis Jay Santos di Manila dan Davao, Filipina turut menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Laman Penuh