Ujian Kedua Sahkan Virus Pada Penumpang Kapal Diberi Pelepasan Oleh Kemboja

Muzliza Mustafa & Noah Lee
2020.02.16
Kuala Lumpur, Malaysia
200216-MY-thermalscan-1000.jpg Seorang pegawai kesihatan memantau pelancong yang tiba menerusi pengimbas suhu badan di terminal kapal persiaran Pelabuhan Klang, Malaysia, di tengah-tengah kebimbangan dunia mengenai penyebaran penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19), 13 Februari, 2020.
[AP]

Ujian kedua mengesahkan seorang wanita warga emas Amerika Syarikat, yang menaiki kapal persiaran yang dibenarkan berlabuh di Kemboja, didiagnosis positif koronavirus sejurus tiba di Kuala Lumpur dengan penerbangan dari Phnom Penh, kata timbalan perdana menteri Malaysia pada Ahad.

Kerajaan Kemboja dan syarikat pengendali kapal persiaran itu telah meminta pihak berkuasa Malaysia supaya melakukan ujian ulangan ke atas warganegara Amerika Syarikat yang berusia 83 tahun itu selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mengumumkan pada Sabtu bahawa wanita itu pada awalnya diuji positif koronavirus (COVID-19).

"Ini bukannya kes positif palsu. Saya ulangi, hasil ujian itu masih lagi positif buat isteri dan negatif bagi suami," kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan.

Wanita Amerika Syarikat yang tidak dikenali itu merupakan kes pertama didiagnosis dengan virus berkenaan selepas menaiki kapal persiaran M.V. Westerdam. Kapal itu mula belayar dari Hong Kong pada 1 Feb tetapi dihalang berlabuh di Jepun, Taiwan, Thailand, Filipina dan Guam berikutan kebimbangan bahawa lebih daripada 2,200 penumpang dan anak kapalnya mungkin dijangkiti virus misteri itu, yang berpunca dari wilayah Hubei di China.

Pada 13 Feb, pihak berkuasa kesihatan di Kemboja - sekutu rapat China - membenarkan kapal itu berlabuh di Pelabuhan Sihanoukville selepas mengisytiharkan lebih daripada 2,200 penumpang dan anak kapalnya bebas daripada virus misteri tersebut, yang pertama kali dikesan di wilayah Hubei.

Pihak berkuasa Kemboja membenarkan penumpang dan anak kapal untuk meninggalkan kapal persiaran itu pada Jumaat.

Kementerian Kesihatan berkata ia memberi pelepasan kepada mereka untuk beredar keluar dari kapal itu selepas ia "melakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap semua penumpang dan anak kapal Westerdam" dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dalam berbuat demikian, menurut Agence Kampuchea Presse iaitu agensi berita negara berkenaan.

Syarikat pengendali kapal persiaran itu, Holland America Line, berkata ia telah memeriksa kesemua 2,257 penumpang dan anak kapal bagi mengesan penyakit itu - tetapi tiada seorang pun yang menunjukkan gejala demam - dan para penumpang disaring buat kali kedua semasa beredar keluar selain diminta mengisi borang kaji selidik kesihatan.

Pasport kesemua penumpang dan anak kapal Westerdam juga disemak untuk "memastikan tidak ada yang mengunjungi Tanah Besar China dalam masa 14 hari sebelum pelayaran itu," kata syarikat tersebut dalam kenyataan pada Ahad.

"Semasa pelayaran itu, tidak ada tanda-tanda COVID-19 di dalam kapal," kata Holland America Line selepas Malaysia mengumumkan bahawa wanita itu telah diuji positif buat kali kedua untuk virus berkenaan.

"Tetamu yang diuji positif tidak mengujungi pusat perubatan kapal persiaran kami bagi melaporkan sebarang gejala penyakit."

Setakat ini, tiada penumpang atau anak kapal atau yang dalam perjalanan pulang ke negara mereka menunjukkan gejala penyakit itu, kata syarikat perkapalan tersebut sambil menyatakan ia menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Kemboja serta WHO dan CDC bagi menangani keadaan itu.

"Kami menjalinkan penyelarasan rapat dengan beberapa pakar kesihatan terkemuka dari seluruh dunia," kata Dr Grant Tarling, ketua pegawai perubatan bagi Holland America Line. "Pakar-pakar ini bekerja dengan pihak berkuasa kesihatan yang berkaitan untuk memeriksa dan melakukan pemeriksaan susulan ke atas individu yang mungkin berhubung dengan tetamu."

Malaysia halang kemasukan penumpang kapal


Wanita Amerika Syarikat itu dan suaminya adalah yang pertama diuji setelah menunjukkan gejala virus ketika disaring di lapangan terbang antarabangsa Kuala Lumpur di mana mereka dan 143 penumpang lain kapal persiaran itu tiba dengan pesawat sewaan Malaysia Airlines pada Jumaat untuk penerbangan pulang ke negara asal mereka, kata pegawai Malaysia.

Penerbangan tiga pesawat sewaan lain, yang dijangka membawa lebih ramai penumpang dari kapal persiaran itu untuk berlepas pulang dari Kuala Lumpur, telah dibatalkan berikutan kebimbangan berkaitan kesihatan awam, kata pihak berkuasa Malaysia.

Kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa "tiada penumpang lain dari Westerdam yang dibenarkan masuk ke Malaysia," kata Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur dalam kenyataan yang dipaparkan di laman webnya pada Ahad.

"Sejurus ketibaan mereka, pihak berkuasa kesihatan Malaysia telah menjalankan saringan kesihatan terhadap semua penumpang dengan pasangan Amerika Syarikat itu dikesan melalui pengimbas suhu badan yang mengesan gejala-gejala berkenaan dan mereka segera dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan lanjut," kata Wan Azizah.

Wanita Amerika Syarikat itu didapati batuk tetapi tidak demam atau mengalami kesukaran bernafas, dan ujian sinar X mendapati beliau mempunyai gejala radang paru-paru, kata timbalan perdana menteri berkenaan.

Wanita itu dan suaminya yang berusia 85 tahun, yang diuji negatif bagi COVID-19, kini dirawat di sebuah hospital tempatan, kata Wan Azizah sambil memberitahu bahawa lelaki itu didiagnosis dengan jangkitan bakteria.

Daripada 143 penumpang lain yang turut menaiki penerbangan pesawat sewaan itu yang membawa pasangan Amerika Syarikat itu ke Malaysia, seramai 137 telah pun berlepas keluar dari negara ini selepas menjalani pemeriksaan kesihatan, kata para pegawai. Baki enam penumpang lagi - empat warganegara Amerika Syarikat dan dua rakyat Belanda – dibenarkan untuk berlepas pulang pada lewat Ahad selepas diuji negatif untuk virus itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

22 kes

Susulan wanita Amerika Syarikat dijangkiti virus itu, sebanyak 22 kes koronavirus disahkan di Malaysia setakat ini.

Jumlah itu termasuk dua kes lain yang turut disahkan oleh Kementerian Kesihatan pada Sabtu tetapi tidak mempunyai kaitan dengan wanita yang menaiki kapal persiaran Westerdam.

Selain warganegara Amerika Syarikat itu, sebanyak 15 kes membabitkan rakyat China manakala yang lain melibatkan rakyat Malaysia.

Kes ke-21 melibatkan warganegara China berusia 32 tahun yang berkahwin dengan lelaki Malaysia dan tinggal di negara ini. Antara 22 Jan dan 30 Jan, beliau pulang ke China untuk melawat saudara-maranya, dan didapati positif koronavirus selepas mengadu sakit tekak, kata para pegawai.

Kes ke-20 pula membabitkan lelaki rakyat China berusia 27 tahun yang dikesan demam semasa disaring dengan pengimbas suhu badan ketika memasuki Malaysia dari Thailand di pos sempadan darat di negeri Kedah, kata Kementerian Kesihatan.

Pada Sabtu, Thailand mengesahkan kes ke-34 koronavirus apabila seorang pekerja penjagaan kesihatan wanita Thailand yang berusia 35 tahun didapati positif virus itu setelah mempunyai kontak dengan pesakit, kata pihak berkuasa.

Menurut maklumat terkini yang dikeluarkan oleh WHO pada Ahad, jumlah kes COVID-19 kini adalah sebanyak 51,800 kes di 25 negara dengan majoriti kes tertumpu di China. Sekurang-kurangnya 1,669 orang  meninggal dunia akibat virus itu, yang menyebabkan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytiharkan kecemasan global.

Sehingga Ahad, Indonesia iaitu negara yang mempunyai jumlah penduduk paling ramai di Asia Tenggara, atau Bangladesh tidak melaporkan sebarang kes virus itu di wilayah mereka.

Pada Sabtu, beratus-ratus penduduk dari Indonesia dan Bangladesh yang telah dipindahkan dari wilayah Hubei, dibenarkan pulang setelah dikuarantin selama dua minggu di tanah air masing-masing selepas dibawa pulang dengan pesawat dari Wuhan – ibu kota wilayah dan pusat penyebaran wabak itu – demikian menurut laporan.

Minggu lepas, Menteri Kesihatan Indonesia Terawan Agus Putranto, menyangkal hasil penyelidikan seorang profesor Harvard, Marc Lipsitch, yang menyatakan bahawa Indonesia mungkin tidak mahu melaporkan kes koronavirus. Menteri itu menyifatkan laporan itu sebagai "penghinaan."

Sementara itu di Filipina, yang telah mencatatkan tiga kes koronavirus - termasuk kematian pertama di luar China – kerajaan Presiden Rodrigo Duterte berkata ia sedang mempertimbangkan untuk memindahkan ratusan rakyat Filipina yang merupakan sebahagian daripada anak kapal Diamond Princess iaitu kapal persiaran yang  dikuarantin selama dua minggu di Jepun setelah dilanda virus tersebut.

Pada Ahad, pihak berkuasa kesihatan Jepun mengumumkan bahawa sebanyak 70 kes baru disahkan dalam kalangan penumpang dan anak kapal itu yang berlabuh di Yokohama, menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti virus itu semasa menaiki Diamond Princess adalah 355 orang – iaitu kes terbesar wabak itu di luar China.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.