Follow us

Suruhanjaya AS Tuduh Malaysia Cabuli Kebebasan Agama

Nani Yusof
Washington
2019-10-18
E-mel
Komen
Share
Umat Islam yang berhimpun di Istana Kehakiman di Putrajaya Lumpur meraikan keputusan mahkamah menolak permohonan seorang wanita Muslim, Azlina Jailani yang dikenali sebagai Lina Joy, untuk murtad dan menganuti Kristian, yang merupakan satu kes penting yang menguji had kebebasan beragama di Malaysia, 30 Mei, 2007.
Umat Islam yang berhimpun di Istana Kehakiman di Putrajaya Lumpur meraikan keputusan mahkamah menolak permohonan seorang wanita Muslim, Azlina Jailani yang dikenali sebagai Lina Joy, untuk murtad dan menganuti Kristian, yang merupakan satu kes penting yang menguji had kebebasan beragama di Malaysia, 30 Mei, 2007.
[AP]

Sebuah suruhanjaya bebas Amerika Syarikat menuduh Malaysia "mencabuli kebebasan beragama" dengan memetik penculikan pastor Raymond Koh dan kehilangan misteri seorang lagi tokoh agama dan isterinya, serta seorang aktivis sosial.

Suruhanjaya Mengenai Kebebasan Beragama Antarabangsa Amerika Syarikat (USCIRF) berulang kali membangkitkan tentang kehilangan Koh dalam laporan terbarunya yang dikeluarkan pada Khamis, lebih daripada enam bulan selepas meletakkan Malaysia pada kedudukan Tahap 2 iaitu tahap kedua paling serius bagi pencabulan kebebasan beragama.

Laporan USCIRF itu juga dikeluarkan beberapa bulan selepas Perdana Menteri Mahathir Mohamad memberitahu pemberita bahawa beliau akan membuka siasatan baru berhubung kehilangan Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat. Pengumuman beliau itu menyusuli satu inkuiri awam yang memutuskan bahawa kedua-dua lelaki itu mungkin diculik oleh ejen-ejen negeri, termasuk yang dikaitkan dengan cawangan khas polis negara itu.

"Kes-kes yang dinyatakan di atas masing-masing sememangnya menimbulkan kebimbangan tetapi kedua-duanya merupakan contoh meluas berhubung perbuatan tidak menghomati hak asasi manusia di Malaysia," kata USCIRF yang merujuk kepada kes Koh dan Amri.

Dalam laporan setebal 234 muka surat itu yang dikeluarkan pada 29 April, USCIRF meletakkan Malaysia pada Tahap 2 bersama-sama 12 negara lain termasuk Afghanistan, Azerbaijan, Bahrain, Cuba, Mesir, India, Indonesia, Iraq, Kazakhstan, Laos, dan Turki.

Suruhanjaya itu, yang ditubuhkan Kongres Amerika Syarikat pada 20 tahun lalu, mentakrifkan Tahap 2 sebagai "negara-negara di mana pencabulan itu melibatkan atau boleh ditolak ansur oleh kerajaan." Ia menyatakan bahawa Malaysia telah berada pada Tahap 2 sejak 2014 "kerana terlibat atau bertolak ansur berhubung pencabulan kebebasan beragama."

"Rintangan meluas masih berlaku dengan ia menghalang rakyat Malaysia daripada mengamalkan kepercayaan atau ketidakpercayaan mereka mengikut hati nurani mereka," katanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam), semasa mengumumkan hasil misi pencarian faktanya pada April lalu, berkata Koh dan Amri telah diculik dengan cara yang sama oleh lelaki-lelaki yang memakai topeng muka hitam. Penculikan mereka dilakukan dengan pantas dan kes penculikan Koh telah dirakam oleh kamera litar tertudup.

Tetapi inkuiri itu tidak dapat menentukan apa yang berlaku kepada kedua-dua lelaki tersebut selepas mereka dilihat buat kali terakhir.

Koh diculik pada siang hari di tepi jalan di pinggir bandar Kuala Lumpur pada 13 Feb, 2017 apabila beberapa lelaki dalam kenderaan SUV hitam dan motosikal memaksa keretanya berhenti.

Amri, yang berasal dari Perlis dilihat buat kali terakhir pada 24 November 2016. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau menyebarkan ajaran Islam Syiah, menurut laporan media tempatan.

Beberapa kumpulan hak asasi pula menyatakan bahawa Koh mungkin menjadi sasaran kerana pihak berkuasa agama percaya beliau menyebarkan agama Kristian kepada umat Islam. Memurtadkan umat Islam adalah satu jenayah di Malaysia, di mana 61 peratus daripada 33 juta penduduknya adalah beragama Islam manakala kira-kira 20 peratus lagi adalah penganut Buddha.

USCIRF berkata "beberapa pemimpin agama minoriti Malaysia juga hilang secara misteri dalam beberapa tahun kebelakangan ini" termasuk pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth. Hilmy memeluk agama Kristian selepas murtad dan meninggalkan Islam manakala  Ruth adalah rakyat Indonesia yang menganuti Kristian sejak lahir, kata suruhanjaya itu.

Pada April, Susanna yang merupakan isteri Koh berkata beliau akan mendapatkan maklumat daripada Cawangan Khas polis atau beliau akan mempertimbangkan tindakan undang-undang, menurut laporan tempatan.

Sementara itu, sebuah pertubuhan bukan mencari keuntungan, telah melancarkan kempen dalam talian menggesa penganut Kristian di seluruh dunia untuk menandatangani petisyen yang menuntut kerajaan Malaysia supaya menjelaskan kehilangan Koh. Petisyen itu menerima lebih daripada 29,800 tandatangan.

Dalam laporan terbarunya, USCIRF menyatakan bahawa walaupun perlembagaan Malaysia tidak membezakan antara Sunni dan Syiah Islam, namun secara amalinya, Syiah Muslim mengalami diskriminasi.

"Pihak berkuasa Malaysia memantau dan mengganggu umat Islam Syiah, melarang bahan-bahan yang menggalakkan kepercayaan Islam yang bukan Sunni, mengharamkan ibadat atau perhimpunan awam Syiah serta mengancam untuk menangkap mereka yang menyambut hari cuti Syiah," kata laporan itu.

Laporan tahunan USCIRF adalah berbeza daripada laporan kebebasan beragama antarabangsa tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat yang merangkumi setiap negara di dunia selain Amerika Syarikat. Suruhanjaya itu menamakan 30 negara yang didapati paling banyak melakukan pencabulan kebebasan beragama dan mengemukakan laporan tahunannya kepada White House, Jabatan Negara dan Kongres.

Bagi tahun 2019, USCIRF menyenaraikan 16 negara termasuk China dan Burma pada Tahap 1 dengan mendakwa negara-negara tersebut telah menindas kebebasan beragama dan membenarkan tindakan penganiayaan.

Suruhanjaya itu, dalam laporan khasnya mengenai Malaysia, membuat beberapa cadangan termasuk meminta kerajaan Amerika Syarikat menggesa kerajaan Malaysia supaya menghapuskan ruang agama dalam kad pengenalan kebangsaan dan membenarkan perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam tanpa perlu menukar agama.

Ia juga menggesa Washington supaya mengenakan tekanan terhadap kerajaan Malaysia supaya memperakukakan bahawa semua aktiviti agama yang aman sebagai sah dan menghentikan penangkapan dan penahanan minoriti agama.

Lihat Laman Penuh