Etnik Uyghur Minta Peguam Negara Tolak Dakwaan Mereka Masuk Secara Haram
2018.07.25
Kuala Lumpur, Malaysia
Sebelas lelaki etnik Uyghur beragama Islam yang didakwa masuk ke Malaysia secara haram dan boleh dihantar pulang ke China telah meminta Peguam Negara menggugurkan pertuduhan terhadap mereka dan bersedia untuk dibicarakan pada September depan.
Majistret Wong Chai Sia pada Rabu menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh untuk mendengar keputusan permohonan bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka, dan beliau juga menetapkan tarikh perbicaraan pada 12 Sept.
Peguam etnik Uyghur, Khairul Anwar Ismail, berkata beliau menjangkakan perbicaraan akan diteruskan jika Peguam Negara menolak permohonan mereka.
Kesemua lelaki Uyghur itu yang dipercayai akan mengalami penganiayaan jika dihantar pulang ke China, kini ditahan di Penjara Sungai Buloh di Kuala Lumpur sejak Februari atau lebih awal dari itu.
Lelaki itu adalah sebahagian daripada sekumpulan 20 orang yang melarikan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Thailand pada November 2017 dengan menggali lubang di dinding dan menggunakan selimut sebagai tangga sebelum melintasi sempadan ke Malaysia.
"Kumpulan lelaki etnik Uyghur itu mengaku yang mereka adalah rakyat Turki dan bukannya warga China seperti yang didakwa oleh kerajaan China," kata Khairul kepada BeritaBenar. "Tiada siapa yang boleh membuktikan mereka berasal dari China.
"Selain daripada kerajaan China mendesak mereka dihantar pulang, saya dengar pihak berkuasa Thailand juga sedang mempertimbangkan supaya mereka dihantar ke negara itu kembali," katanya.
Khairul berkata kerajaan Malaysia harus mempertimbangkan permohonan mereka atas dasar kemanusiaan.
"Malaysia bukan destinasi akhir mereka kerana lelaki Uyghur yang tidak mempunyai pasport mahu pergi ke Turki. Mereka juga tidak mengancam keselamatan Malaysia, "katanya.
Sebelas lelaki Uyghur itu adalah antara lebih 200 etnik Uyghur yang ditahan pada Mac 2014 selepas ditemui di tempat pelancongan popular Songkhla di wilayah selatan Thailand. Tidak jelas bagaimana mereka sampai ke sana.
Kumpulan hak asasi manusia bersuara
Seorang pegawai Amnesty International berkata kerajaan China telah mendesak kerajaan Malaysia supaya mengusir etnik Uyghur ke China, termasuk pelajar yang sedang mengikuti pengajian.
"Keadaan ini telah menimbulkan rasa takut di kalangan masyarakat Uyghur di luar negara," kata Frankie Poon, seorang penyelidik di China bagi Pejabat Serantau Asia Timur Amnesty International di Hong Kong, kepada BeritaBenar.
"Masyarakat antarabangsa, termasuk Malaysia, perlu membantu untuk menghentikan kerajaan China daripada melakukan ini kecuali mereka boleh memberikan sebab yang kuat untuk berbuat demikian," katanya.
"Kami tidak melihat apa-apa alasan yang baik setakat ini."
Poon berkata, etnik Uyghur menghadapi risiko untuk ditahan sewenang-wenangnya dalam tempat yang dikenali sebagai "pusat pendidikan semula", di mana beberapa laporan mengatakan beratus-ratus ribu kaum Uyghur dan minoriti Islam lain ditahan.
"Kerajaan Malaysia sepatutnya memegang prinsip tidak mengembalikan semula atau memulangkan sesiapa sahaja ke negara-negara seperti China, terutama mereka yang dikhuatiri tidak akan mendapat hak asasi dan mungkin akan diseksa atau menerima tindakan buruk," kata Poon.
Latheefa Koya, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia berkata, Malaysia terikat kepada undang-undang antarabangsa.
"Tuntutan mereka untuk perlindungan suaka mestilah diproses dan jika jelas mereka adalah pencari suaka, mereka harus dilepaskan dan diberi perlindungan, tidak dipenjara atau dituduh atas kesalahan memasuki negara secara haram," katanya kepada BeritaBenar.
Pada Februari, Malaysia menerima permintaan rasmi daripada kerajaan China untuk mengekstradisi 11 orang lelaki Uyghur itu ke China. Bekas Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan berusaha menyelesaikan isu itu secara diplomatik.