Follow us

Kerajaan Baru Malaysia Tidak Serahkan Pelarian Uyghur Kepada China

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-04
E-mel
Komen
Share
Orang ramai menyertai demonstrasi di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur bagi menunjukkan solidariti kepada etnik Uyghur, semasa mereka memperingati ulang tahun ke-10 rusuhan maut di Urumqi, ibu kota Xinjiang, 5 Julai 2019.
Orang ramai menyertai demonstrasi di luar Kedutaan China di Kuala Lumpur bagi menunjukkan solidariti kepada etnik Uyghur, semasa mereka memperingati ulang tahun ke-10 rusuhan maut di Urumqi, ibu kota Xinjiang, 5 Julai 2019.
[AFP]

Kerajaan baru Malaysia tidak akan mengekstradisi etnik Uyghur ke China walaupun jika Beijing memintanya berbuat demikian, dan sebaliknya akan membenarkan mereka pergi ke negara ketiga dengan selamat, kata seorang menteri kabinet kepada Parlimen baru-baru ini semasa menjawab pertanyaan seorang Anggota Parlimen yang bimbang jika dasar itu boleh menjejaskan hubungan dengan China.

Walaupun kerajaan yakin setiap negara mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah dalamannya sendiri, namun kerajaan juga yakin bahawa etnik Uyghur sedang ditindas di China dan ia tidak akan menghantar mereka pulang ke negara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Redzuan Md Yusof.

"Berhubung soal pelarian Uyghur, kerajaan tidak akan campur tangan urusan hal ehwal dalaman China," kata Redzuan dalam jawapan bertulisnya. "Justeru, jika ada pelarian Uyghur yang melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan, Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi mereka walaupun terdapat permohonan daripada China," kata Redzuan.

“Malaysia percaya setiap negara berhak menyelesaikan masalah dalamannya tanpa campur tangan negara lain. [Tetapi] isu penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia termasuk ke atas etnik Uyghur di wilayah Xinjiang, China memang wujud dan perlu diakui oleh semua pihak,” katanya.

Redzuan berkata etnik Uyghur akan "dibenarkan pergi ke negara ketiga" melalui Malaysia kerana "mereka mempunyai ketakutan berasas mengenai keselamatan diri mereka dan penganiayaan terhadap mereka di negara sendiri."

Kenyataan Redzuan itu merupakan yang pertama bagi kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan secara terbuka mengenai pendiriannya terhadap etnik Uyghur sejak menyandang kuasa di Malaysia yang mempunyai majoriti Muslim enam bulan lalu.

Kerajaan sebelum ini, yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad, juga menegaskan bahawa ia tidak akan mengekstradisi etnik Uyghur ke China.

Redzuan menjelaskan dasar kerajaan Muhyiddin mengenai Uyghur semasa menjawab soalan bertulis Anggota Parlimen pembangkang Chan Foong Hin pada Julai-Ogos lalu. Jawapan menteri itu disiarkan di laman web Parlimen pada Jumaat.

Anggota Parlimen pembangkang tersebut memberitahu BeritaBenar bahawa beliau bertanyakan mengenai pelarian Uyghur di Malaysia kerana mahu tahu pendirian kerajaan baru itu dan implikasinya terhadap hubungan China-Malaysia.

"Sejauh mana yang saya tahu, kerajaan mengekstradisi pelarian Uyghur ke China semasa kepimpinan Najib [Razak], tetapi pemerintahan Mahathir mengubah dasar itu dan menolak untuk mengekstradisi mereka ke China walaupun ada permintaan daripada China," kata Chan.

"Saya benar-benar bimbang mengenainya kerana perubahan dasar boleh memberi implikasi kepada hubungan dua hala Malaysia dan China."

Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia Amnesty International Malaysia memuji pendirian kerajaan baru mengenai pelarian Uyghur.

"Kami gembira bahawa pihak berkuasa telah menyatakan secara bertulis bahawa mereka tidak akan melanggar ‘non-refoulement’ undang-undang antarabangsa, dengan melarang pelarian itu kembali ke negara asal mereka di mana mereka mungkin berdepan keganasan dan penganiayaan," kata Katrina Maliamauv, pengarah eksekutif kumpulan hak asasi itu kepada BeritaBenar.

"Kesengsaraan pelarian Uyghur di China telah berlarutan terlalu lama dan keputusan kerajaan berhubung status pelarian Uyghur itu merupakan langkah positif ke hadapan."

Maliamauv juga berkata bahawa pelarian itu mestilah dibenarkan memohon suaka.

"Untuk menegakkan prinsip 'non-refoulement' juga bermakna pelarian itu perlu dibenarkan memohon suaka."

Pada Jumaat, pegawai di Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur tidak mahu mengulas pertanyaan BeritaBenar mengenai kenyataan menteri itu kepada Parlimen.

Beijing telah dituduh melakukan kekejaman meluas terhadap etnik Uyghur dan minoriti Muslim lain di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (XUAR) yang terletak di barat laut China. Pihak berkuasa China dipercayai menahan sehingga 1.8 juta orang di rangkaian kem tahanan di wilayah tersebut sejak April 2017.

Beijing menggambarkan rangkaian kem tahanan itu sebagai "pusat vokasional" sukarela, tetapi laporan oleh Radio Free Asia (RFA) iaitu entiti BeritaBenar - dan media lain menunjukkan bahawa tahanan itu ditahan tanpa kerelaan mereka dan berada dalam keadaan buruk, di mana mereka terpaksa menerima layanan tidak berperikemanusiaan dan indoktrinasi politik.

Kerajaan China juga mempertahankan dasarnya di wilayah tersebut sebagai sebahagian daripada usaha rasminya untuk memerangi ekstremisme.

Perubahan dasar

Kenyataan menteri kerajaan Muhyiddin bahawa ia akan melindungi Uyghur daripada diekstradisi ke China adalah signifikan kerana kerajaan di Malaysia jarang mengulas mengenai nasib masyarakat itu. Namun, pada masa yang sama, mereka lantang mengkritik penganiayaan terhadap Muslim Rohingya oleh Myanmar, serta memperjuangkan nasib penduduk Palestin di Timur Tengah.

Perubahan itu bermula semasa pemerintahan Mahathir, walaupun ahli politik veteran itu memberitahu BeritaBenar pada tahun lalu bahawa ramai pemimpin negara Islam membisu mengenai Uyghur "kerana China adalah negara yang sangat kuat."

Pada Oktober 2018, kerajaan Mahathir menghantar 11 pelarian Uyghur dari wilayah Xinjiang, China ke Turki selepas menggugurkan pertuduhan imigresen terhadap mereka, yang bertentangan dengan permintaan Beijing supaya mereka dihantar pulang.

Dengan berbuat demikian, Mahathir bertindak berbeza daripada kerajaan Najib yang mahu mengekstradisi 11 etnik Uyghur yang memasuki Malaysia secara haram setelah mereka melarikan diri dari penjara Thailand pada November 2017.

"Mereka tidak melakukan kesalahan di negara ini, jadi mereka dibebaskan," kata Mahathir kepada media beberapa hari selepas etnik Uyghur itu dihantar ke Turki, lapor Reuters.

Mahathir membuat pendirian tegas terhadap etnik Uyghur setahun kemudian.

"Isu penindasan umat Islam di seluruh dunia, termasuk ke atas etnik Uyghur, wujud dan perlu diakui oleh semua pihak," kata Mahathir di Parlimen pada Disember 2019, walaupun beliau mengulangi bahawa kerajaannya tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman China.

"Sekiranya etnik Uyghur melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan, Malaysia tidak akan mengekstradisi mereka walaupun terdapat permohonan daripada China. Mereka dibenarkan pergi ke negara ketiga kerana mereka mempunyai ketakutan berasas terhadap keselamatan mereka."

Lihat Laman Penuh