Malaysia Perlu RM3 Bilion Untuk Vaksin Bagi 70 Peratus Populasinya, kata Menteri

Noah Lee
2020.11.04
Kuala Lumpur, Malaysia
201104-MY-COVID19-Bantuan1000.jpg Sukarelawan Semporna Hero, sebuah kumpulan badan bukan kerajaan di Sabah menyampaikan bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk Kampung Hidayat dan Tangkal Darat yang terputus bekalan di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah, 3 Nov, 2020.
[Ryu Syakur/BeritaBenar]

Malaysia perlu menyediakan vaksinasi COVID-19 kepada 70 peratus populasi rakyatnya dengan jumlah kos kira-kira RM3 bilion (AS$719.7 juta) sebaik sahaja ianya tersedia ada, kata seorang menteri di Parlimen pada Rabu dengan turut meminta Kementerian Kewangan menyediakan peruntukkan tersebut dalam Belanjawan bagi tahun hadapan yang akan dibentangkan dua hari lagi.

Pada hari yang sama juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta semua Ahli Parlimen daripada semua latar belakang politik untuk menyokong Belanjawaan 2021 dalam meneruskan usaha menangani wabak COVID-19 dan melindungi kelangsungan hidup golongan mudah terjejas dan memacu ekonomi.

Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi Khairy Jamaluddin semasa menjawab soalan di Parlimen berkata kementeriannya telah memaklumkan Kementerian Kewangan bahawa peruntukan sebanyak RM3 bilion diperlukan pada tahun hadapan bagi membolehkan rakyat Malaysia mendapat kemudahan bekalan vaksin COVID-19.

"Saya telah maklumkan kepada menteri kewangan yang sekurang-kurangnya kita perlu imunisasi 70 peratus daripada rakyat Malaysia dan telah minta RM3 bilion untuk disediakan bagi tahun hadapan," kata Menteri itu yang pada bulan lalu telah mencadangkan supaya peruntukan beberapa bilion ringgit untuk membeli vaksin dimasukkan dalam Belanjawan 2021.

Beliau juga memberitahu program imunisasi yang dirancang itu dijangka diperolehi pada suku pertama 2021 dengan wajaran permulaan sebanyak tiga peratus populasi negara yang keutamaannya akan disediakan kepada petugas barisan hadapan.

Persoalan pembelian vaksin telah diajukan di sidang Dewan Rakyat, yang pada masa sama pihak berkuasa kesihatan serta agensi kerajaan negara itu sedang bergelut dengan peningkatan jumlah kes harian positif COVID-19, setelah dilanda gelombang ketiga pandemik, Oktober lepas.

Jumlah kumulatif terbaru jangkitan COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 35,425 kes dengan 271 kematian manakala diperingkat global seramai 47.9 juta orang telah dijangkiti dengan 1.2 juta kematian dicatatkan, demikian menurut statistik yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Koronavirus Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau turut memberitahu bahawa pelbagai pendekatan diplomasi sains telah digunakan dalam rundingan bersama dengan pembangun vaksin di seluruh dunia, termasuk dari China dan Fasiliti Akses Global Vaksin COVID-19, atau dikenali sebagai COVAX, dan juga syarikat farmaseutikal luar negara lain.

Katanya, COVAX adalah antara fasiliti vaksin yang telah memberikan indikasi tawaran harga vaksin maksimum bernilai AS$21 (RM87.43) setiap satu kepada Malaysia.

"Harga yang ditawarkan adalah maksimum AS$21 untuk satu unit vaksin. Kita masih lagi sedang melihat beberapa klausa yang masih perlu diperhalusi lagi dan berharap dapat menyertai fasiliti COVAX ini dalam masa terdekat," tambah beliau.

Belanjawan 2021

Pada masa yang sama kerajaan Perikatan Nasional [PN] pimpinan Muhyiddin yang tidak dipilih untuk memegang tampuk kuasa sejak lapan bulan lalu akan membuat pembentangan Belanjawan pertamanya pada Jumaat ini, yang akan menjadi penentu sama ada pentadbirannya mampu bertahan untuk terus mendapat sokongan majoriti atau bakal wujud kerajaan baharu.

Muhyiddin semasa sidang media khas dengan agensi berita nasional Bernama dan stesen-stesen televisyen tempatan menjelang pembentangan Belanjawan 2021 berkata semua pihak perlu menumpukan usaha bagi membantu rakyat yang terkesan teruk susulan COVID-19 ketika negara berhadapan dengan situasi sukar dan menyulitkan.

Sehubungan itu, beliau berharap semua Ahli Parlimen termasuk blok pembangkang akan menyokong belanjawan tersebut dengan Perdana Menteri itu optimis yang semua ahli politik komited serta akan bekerjasama untuk kebaikan negara.

Muhyiddin juga percaya belanjawan yang akan dibentangkan mendapat sokongan semua peringkat lapisan Ahli Parlimen dan seterusnya di peringkat Dewan Negara.

"Saya harap ini dapat ditunaikan supaya bebanan kerajaan dan rakyat dapat dikurangkan," katanya.

Beliau berkata belanjawan yang akan dibentangkan itu merupakan belanjawan yang inklusif kerana pandangan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan, ahli perniagaan dan rakyat diambil kira.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara input daripada pembangkang diambil kira dalam pengubalan belanjawan negara, katanya lagi.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual membentangkan Belanjawan  2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan kepada kerajaan supaya memperhalusi setiap cadangan bagi merangka Belanjawan 2021 bersifat inklusif serta komprehensif, berpaksikan kebajikan rakyat, pemulihan ekonomi negara dan pembendungan efektif wabak COVID-19.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat amalan kematangan berpolitik dengan mengetepikan perbezaan dan kepentingan parti atau peribadi amat penting pada ketika ini demi keselamatan dan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara yang amat terkesan akibat bencana wabak COVID-19,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan selepas Agong menerima menghadap Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon di Istana Negara pada Rabu.

Pada pertemuan yang berlangsung selama 70 minit itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima sembah taklimat ringkas mengenai kedudukan ekonomi semasa dan fiskal negara serta usaha Kementerian Kewangan menyediakan Belanjawan 2021 sejak Julai, melalui lebih 40 sesi libat urus melibatkan lebih 2,000 individu dan wakil perniagaan, termasuk wakil parti-parti politik negara.

Pada lewat Rabu pula, Barisan Nasional (BN) melalui Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan media menyatakan yang kesemua 43 Ahli Parlimen BN terdiri daripada Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Dewan Rakyat bersetuju sebulat suara untuk memberi sokongan tanpa berbelah bagi ke atas Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.