Malaysia Umum Pembelian Tambahan 6.4 Juta Lagi Dos Vaksin COVID-19

Perdana Menteri tawar diri jadi antara individu pertama terima suntikan vaksin COVID-19 bagi meyakinkan rakyat ianya selamat dan berkesan.
Noah Lee
Kuala Lumpur
2020-12-22
Share
Malaysia Umum Pembelian Tambahan 6.4 Juta Lagi Dos Vaksin COVID-19 Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap pekerja asing berikutan peningkatan kes penularan pandemik tersebut di negeri Selangor, dengan ujian dibuat di bangunan Central Spectrum yang terletak di Klang, 10 Disember 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Selasa mengumumkan yang Putrajaya telah menandatangani satu perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca, bagi mendapatkan sejumlah 6.4 juta atau 10 peratus lagi dos vaksin bagi melawan COVID-19 pada Februari depan, kata Perdana Menteri yang turut menawarkan dirinya sebagai penerima pertama vaksin dalam memberikan keyakinan kepada rakyat.

Perjanjian dengan AstraZeneca, yang merupakan syarikat farmaseutikal milik bersama United Kingdom dan Sweden, selepas syarikat terkemuka Pfizer dan Fasiliti COVAX kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan membolehkan Malaysia menampung keperluan sehingga 40 peratus dengan Putrajaya sedang berusaha untuk mendapatkan sehingga 80 peratus vaksin atau meliputi seramai 26.5 juta penduduknya.

"Sukacita saya ingin maklumkan bahawa kerajaan baharu sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi.

"Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus telahpun diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca," kata Muhyiddin dalam ucapan pendek yang disiarkan secara langsung di semua plakform media pada Selasa.

Ucapan Muhyiddin itu dibuat semasa negara itu terus merekodkan jumlah kes positif harian yang tinggi, sementara beberapa negara jiran seperti Singapura dan Indonesia telahpun mula menerima bekalan vaksin COVID-19 untuk mula diuji penggunaannya.

Selain AstraZeneca, Pfizer dan fasiliti COVAX, Putrajaya juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan tiga syarikat farmaseutikal lain iaitu Sinovax, CanSino dari China dan Gamaleya dari Rusia bagi mendapatkan jaminan bekalan lebih banyak bagi Malaysia.

Menurut Muhyiddin, perjanjian yang sedang dibincangkan dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya itu juga termasuk nilai tambah kepada sektor sains dan teknologi negara, termasuk perkongsian pengetahuan, pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan, serta pembotolan vaksin di Malaysia.

Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin pada Selasa, jumlah kesemua dos vaksin yang bakal diperoleh itu cukup untuk menampung 82.8 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia yang dianggarkan seramai 32.7 juta orang.

Tawar Diri Ambil Vaksin

Kesemua rundingan dan perjanjian termasuk yang bakal ditandatangani Malaysia itu akan menelan belanja sejumlah AS$504.4 juta (RM2.05 bilion), kata Muhyiddin sambil menambah dua menteri kabinet akan bertanggungjawab untuk memastikan bekalan vaksin dapat diperolehi dengan segera.

"Kerajaan menjangkakan bekalan pertama sejuta dos vaksin dari Pfizer akan diterima dan mula diberikan kepada kumpulan sasar seawal Februari 2021. Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia akan terus memantau keberkesanan dan keselamatan vaksin setelah diperolehi dan digunakan," kata Muhyiddin.

Dalam ucapan yang sama, perdana menteri itu telah menyatakan kesediaannya untuk menjadi penerima vaksin terawal bagi negara, sebelum ia diberikan kepada petugas barisan hadapan dan seterusnya kumpulan sasar termasuk mereka yang berisiko tinggi dijangkiti pandemik COVID-19.

"Untuk meyakinkan rakyat bahawa vaksin yang diperolehi adalah selamat dan berkesan, saya akan menjadi antara individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19. Ini akan diikuti dengan petugas barisan hadapan (frontliners), sebelum diberikan kepada kumpulan sasar iaitu kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit saluran pernafasan kronik," kata beliau.

Tempoh singkat daftar vaksin

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dalam satu muatnaik di akaun Facebook beliau menyatakan bahawa pihak berkuasa kesihatan menyasarkan untuk menyelesaikan kajian dan mendaftarkan vaksin untuk kegunaan negara di bawah tempoh 90 hari.

Tempoh itu adalah lebih pendek berbanding tempoh biasa yang diambil bagi mendaftarkan sesuatu vaksin, iaitu di antara 90 hingga 120 hari.

"Kerajaan telah dan sedang menjalankan rundingan dan tindakan 'preemptive' untuk mendapatkan vaksin dari pelbagai pihak dan cara. NPRA menyusuli dan memberi keutamaan dalam menilai keberkesanan dan keselamatan vaksin. Tempoh biasa diambil 90 hingga 120 hari tetapi sasaran KKM adalah kurang daripada 90 hari," kata Noor Hisham.

Menurut beliau, semua produk farmaseutikal mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah selepas NPRA menjalankan proses evaluasi kualiti, keselamatan dan keberkesanannya, sebelum boleh memasuki pasaran Malaysia.

Pendaftaran vaksin juga adalah sesuatu yang dibuat secara sukarela oleh pengeluarnya, kata Noor Hisham sambil menambah bahawa ia terpulang kepada inisiatif sesebuah pengeluar untuk menghantar dosier vaksin mereka kepada NPRA.

Di dalam kes vaksin untuk COVID-19, dokumen pertama yang diterima NPRA untuk proses pendaftaran adalah pada 15 Disember lepas.

"Dokumen saintifik pertama yang diterima NPRA bagi mendaftarkan vaksin COVID-19 adalah pada 15 Disember, dan setakat ini hanya satu syarikat yang berbuat demikian," kata Noor Hisham.

Beliau tidak menamakan syarikat tersebut di dalam muatnaik Facebook, tetapi dalam satu sidang media pada Isnin, Noor Hisham telah menyatakan bahawa syarikat Pfizer telah menghantar permohonan untuk mendaftarkan vaksin COVID-19 pada 15 Disember.

Berdasarkan laporan media, Singapura menjadi negara di Asia yang pertama menerima vaksin Pfizer-BioNTech apabila bekalan tersebut sampai pada Isnin dengan United Kingdom telah mula memulakan program vaksinasi besar-besaran, pada 8 Disember lepas, selepas menerima bekalan daripada Pfizer.

Malaysia pada Selasa merekodkan 2,062 kes positif COVID-19 baharu, menjadikan jumlah kes yang setakat ini ialah 97,389 kes, dengan 439 kematian akibat pandemik yang melanda dunia itu.

Komen (0)

Lihat semua komen.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh