Seramai 28,000 Penjawat Awam Masih Belum Dapatkan Suntikan Vaksin COVID-19

Surat tunjuk sebab akan dikeluarkan kepada mereka yang masih gagal mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, kata menteri.
Iskandar Zulkarnain & Nisha David
2021.11.10
Kuala Lumpur
Seramai 28,000 Penjawat Awam Masih Belum Dapatkan Suntikan Vaksin COVID-19 Petugas kesihatan menyuntik Vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada seorang frontliner Hospital Universiti Teknologi Mara (UITM) di Sungai Buloh, Selangor, 2 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Lebih 28,000 penjawat awam di Malaysia yang terlepas tarikh akhir 1 November untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 belum lagi diambil tindakan disiplin setakat ini, maklum Menteri bertanggungjawab kabinet kepada Parlimen pada Rabu, sambil berkata surat tunjuk sebab akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata jumlah mereka yang belum divaksin adalah kira-kira 1.8 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara dengan arahan mengambil vaksin adalah selari dengan sasaran Putrajaya membuka semula semua sektor ekonomi menjelang awal tahun depan.

“Menurut data dari Pusat Persediaan Krisis dan Respon (CPRC), mereka yang masih enggan divaksin atau belum divaksin adalah sekitar 1.8 peratus daripada keseluruhan 1.6 juta penjawat awam.

“Hari ini adalah 10 haribulan, iaitu 10 hari selepas dikuatkuasakan, tindakan disiplin masih belum lagi diambil ke atas mereka yang menolak vaksin,” katanya ketika menjawab soalan dari Anggota Parlimen mewakili Pakatan Harapan, Chan Foong Hin semasa sidang Dewan Rakyat pada Rabu.

Susulan itu, Abdul Latif berkata kerajaan akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada kira-kira 28,800 penjawat awam yang masih tidak lengkap vaksinasi COVID-19.

Menurutnya, penjawat awam yang masih belum divaksin diberikan tempoh 21 hari untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

“Sekiranya jawapan yang diberikan tidak memuaskan, penjawat awam yang terlibat akan dirujuk kepada jawatankuasa siasatan dalaman dan jawatankuasa disiplin.

“Antara bentuk tindakan yang boleh diambil, antaranya memberikan amaran, tidak menaikkan pangkat dan menahan bayaran gaji,” ujarnya lagi.

Katanya lagi langkah berkenaan adalah selari dengan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang dikeluarkan pada 18 Oktober lepas, mengingatkan kakitangan kerajaan untuk mendapatkan vaksin sebelum 1 November.

Kesatuan Guru setuju ambil tindakan
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Mohd Khairul Adib Abd. Rahman pada Isnin lalu telah mendedahkan penjawat awam di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
merekodkan jumlah tertinggi kakitangannya yang belum berdaftar untuk mengambil vaksin.

“Bagaimanapun data terkini jumlah penjawat awam yang enggan berbuat demikian sedang dikemas kini pihaknya selepas JPA mengeluarkan pekeliling untuk mengenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan kepada mana-mana penjawat awam yang ingkar,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Sebelum itu, Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan II pada 30 Okt. mendedahkan seramai 2,000 guru di seluruh Malaysia masih belum bersedia menerima vaksin COVID-19.

Mengulas isu berkenaan, Aminuddin Awang, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kesatuan itu menerima apa sahaja bentuk tindakan ke atas guru yang masih enggan menerima vaksin.

“NUTP bersetuju dengan apa sahaja tindakan tegas yang diputuskan oleh kerajaan ke atas guru-guru yang masih enggan menerima vaksin.

“Kita (NUTP) sudah anjurkan banyak program dan forum untuk sebarkan maklumat kepada guru-guru berkenaan namun mereka kekal dengan pendirian mereka, itu hak mereka, bagi NUTP pula kita setuju denga apa saja langkah yang akan diambil oleh kerajaan,” katanya kepada BenarNews.

“Kerajaan pun sudah habis ikhtiar. Kita mahu wujudkan keyakinan masyarakat tentang pengoperasian sekolah dan kita tidak mahu adanya kesangsian masyarakat tentang tahap keselamatan, tahap kesihatan di sekolah,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan garis panduan bahawa guru dan anggota kumpulan pelaksana yang enggan menerima vaksin masih perlu hadir ke sekolah.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan melakukan pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dan tidak dibenarkan berada di bilik atau kawasan yang sama dengan murid serta warga sekolah yang sudah menerima vaksin lengkap.

Terdedah kepada risiko

Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi bagi Medical Mythbusters Malaysia berkata penjawat awam yang enggan menerima vaksin bukan sahaja terdedah kepada risiko, malah mereka juga berisiko menjangkiti yang lain.

“Mereka yang enggan divaksin berisiko dijangkiti dan mengalami jangkitan yang teruk sehingga menyebabkan kemasukan ke ICU, kematian atau risiko komplikasi seperti long covid syndrome.

“Kedua, mereka juga berisiko menjangkiti orang lain dan menjadi ejen penularan jangkitan.
“Kajian telah menunjukkan walaupun mereka yang telah divaksin masih boleh dijangkiti dan menularkan jangkitian, risiko ini jauh lebih rendah berbanding orang tidak divaksin,” katanya kepada BenarNews.

Menurutnya, orang awam lebih berisiko mendapat jangkitan COVID-19 jika berurusan dengan mereka yang enggan menerima vaksin.

Mengenai tindakan yang sesuai ke atas penjawat awam berkaitan, Megat berkata Malaysia boleh mencontohi langkah kerajaan Singapura.

“Kita boleh mencontohi Singapura yang mana mereka yang menolak vaksin tanpa alasan munasabah perlu membayar kos rawatan sekiranya dijangkiti COVID-19.

“Ini kerana pilihan mereka yang boleh dikatakan mementingkan diri sendiri itu perlu disulami tanggungjawab masing-masing. Apatah lagi apabila belanja kos rawatan pesakit COVID-19 yang berada pada tahap serius boleh menelan ribuan ringgit sehari,” jelasnya lagi.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Koh Kar Chai berkata, tindakan menggantung tugas penjawat awam yang menolak vaksin adalah antara tindakan disiplin yang boleh diambil.

“Mereka turut berdepan dengan pelbagai tindakan lain antaranya memberikan mereka tugasan yang lebih rendah bagi mengurangkan risiko mereka menjangkiti orang lain.

“Kami fikir langkah menggantung mereka dari bertugas adalah langkah yang tegas dan pada masa sama teruskan dengan kempen kesedaran mengenai kepentingan vaksinasi,” katanya kepada BenarNews.

Dos penggalak

Sehingga Rabu, 95 peratus populasi dewasa dan 76.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Malaysia telah lengkap vaksinasi COVID-19 sekaligus meletakkan negara itu di antara 10 negara dengan kadar vaksinasi tertinggi di dunia.

Malaysia baru-baru ini telah mula memberikan suntikan vaksin Pfizer sebagai dos penggalak kepada mereka yang telah lengkap dua dos vaksinasi.

Dalam tujuh hari terakhir sehingga Selasa, Malaysia menyelesaikan purata 316,772 dos penggalak setiap hari dengan tumpuan kepada golongan warga emas dan para petugas barisan hadapan.

Pada Rabu, Malaysia mencatatkan 6,243 kes jangkitan harian - tertinggi dalam 13 hari, iaitu sejak 28 Oktober.

Sehingga kini 2,522,498 individu telah dijangkiti COVID-19 sejak kes pertama dikesan di negara itu dua tahun lalu. Manakala kematian pula telah mencecah lebih 29,000 kes.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.