Malaysia: Tiga Fasa Program Vaksinasi Libatkan 80 Peratus Populasi

Sasaran 80 peratus populasi melibatkan 26.5 juta orang akan menerima vaksin secara percuma, kata Perdana Menteri.
Hadi Azmi & Noah Lee
Kuala Lumpur
2021-02-04
Share
Malaysia: Tiga Fasa Program Vaksinasi Libatkan 80 Peratus Populasi Seorang lelaki melakukan ujian saringan COVID-19 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, 3 Februari 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia berkata program imunisasi COVID-19 bagi menginokulasi 80 peratus rakyatnya akan melibatkan tiga fasa dengan sasaran separuh populasi dapat divaksinasi menjelang Ogos, kata Perdana Menteri yang mengulangi komitmennya mahu membubarkan parlimen sebaik sahaja pandemik reda.

Pada hari yang sama Malaysia juga berkata perayaan Tahun Baharu Cina termasuk upacara sembahyang hanya dibenarkan disambut di rumah bersama ahli keluarga, dengan upacara sembahyang di tokong tidak dibenarkan kecuali kepada lima ahli jawatankuasa tempat ibadat berkenaan dengan orang ramai digalak melakukan upacara itu di kediaman masing-masing.

Muhyiddin memberitahu kira-kira 10 juta, iaitu hampir separuh daripada 26.5 juta bilangan populasi yang disasarkan dalam program imunisasi tersebut dijadualkan menerima vaksin dalam dua fasa bermula Februari hingga Ogos manakala fasa ketiga akan bermula dari Mei sehingga Februari 2022.

"Kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini… Kita menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam satu Perutusan Khas yang disiarkan di semua stesen televisyen utama di Malaysia dan di laman media sosial.

Perutusan khas oleh Muhyiddin itu dibuat pada hari yang sama beliau dijadualkan berlepas ke Jakarta untuk lawatan kerja rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, yang antara agenda akan dibincangkan adalah usaha menangani pandemik COVID-19, isu ekonomi dan industri minyak sawit.

Dos vaksin

Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal dalam dan luar negara bagi mendapatkan bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 56.2 juta dos yang dapat menampung 88 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara itu.

Muhyiddin berkata bahawa fasa pertama program vaksinasi akan melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan, terdiri daripada petugas kesihatan dan bukan kesihatan bermula hujung bulan dan dijangka selesai pada April.

Fasa kedua pula akan melibatkan kira-kira 9.4 juta penerima daripada kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19, seperti warga emas, golongan rentan yang berusia 60 tahun ke atas, mereka yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi, serta orang kelainan upaya (OKU).

"Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022. Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau ‘herd immunity’ dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh," tambah Muhyiddin lagi.

Malaysia mencatatkan jangkitan harian COVID-19 berjumlah 4,571 kes menjadikan keseluruhan kes jangkitan sebanyak 231,483 dengan 17 kematian terbaharu, menjadikan seramai 826 orang mati akibat pandemik berkenaan.

Dalam pada itu, bagi menggerakkan pelan imunisasi tersebut kerajaan juga bersetuju menyediakan lebih 600 kemudahan di seluruh negara bagi menyimpan termasuk menjadikan fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Ismail Sabri berkata acara makan besar sempena perayaan Tahun Baharu Cina terhad kepada ahli keluarga dari kediaman yang sama dengan aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan.

“Selain itu, persembahan dan kebudayaan yang sinonim dengan masyarakat Cina seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera dan pertunjukan pentas juga tidak dibenarkan,” kata beliau lagi.

Darurat

Dalam ucapan yang sama Muhyiddin mempertahankan tindakan kerajaannya menasihati Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat pada 12 Januari lalu dengan menegaskan bahawa tindakan itu semata-mata untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan.

“Proklamasi Darurat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat,” kata Muhyiddin.

Beliau berkata, keputusan itu diterima baik oleh baginda yang berpuashati bahawa penularan wabak tersebut berada di tahap kritikal lantas menjadi sebab perlunya pelaksanaan darurat dengan tindakan Al-Sultan Abdullah itu bertepatan dengan sistem perundangan negara.

Muhyiddin turut membidas tindakan mencabar Proklamasi Darurat tersebut di mahkamah, walaupun tidak menamakan mereka, antara nama-nama yang telah mengumumkan untuk mencabar proklamasi tersebut adalah Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan ahli politik yang rapat dengan mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, Khairuddin Abu Hassan.

Muhyiddin berkata bahawa beliau akan menasihati Al-Sultan Abdullah untuk membubarkan parlimen sebaik sahaja wabak tersebut reda.

“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan,” kata beliau.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata Muhyiddin telah tersasar dalam menyampaikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong dan menjadikan pandemik yang semakin buruk itu sebagai alasan untuk terus berkuasa.

Pada 26 Januari lepas Anwar melalui peguamnya Ramkarpal Singh telah memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua antara lain mencabar keputusan Muhyiddin melalui Jemaah Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi meluluskan kaedah 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat berkenaan.

Mazlan Ali, pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia berkata ucapan Muhyiddin pada Khamis adalah untuk menggariskan langkah-langkah yang diambil menggunakan Ordinan Darurat bagi menunjukkan keazaman kerajaan untuk lebih tegas dalam menangani pandemik.

Tambah beliau, Perdana Menteri mahu menegaskan bahawa tujuan darurat dilaksanakan bukan disebabkan faktor politik tetapi langkah untuk menyelamatkan rakyat dan negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

"Saya yakin PM merujuk kepada usaha Anwar Ibrahim mencabar darurat melalui semakan mahkamah, yang dianggap tidak wajar. Beliau mungkin menganggap tindakan mencabar darurat ini melalui mahkamah ini sebagai mencabar Yang DiPertuan Agong.

"Berdasarkan pindaan perlembagaan tahun 1983, tindakan Agong mengisytiharkan darurat tidak boleh disemak oleh mahkamah, bermakna tindakan Agong adalah muktamad. Namun ada dakwaan mengatakan Anwar bukan mencabar Agong isytihar darurat, tapi cabar perdana menteri yang dikatakan memberi nasihat yang salah kepada Agong," kata beliau.

Bagaimanapun, kata Mazlan, mesej yang cuba disampaikan oleh Muhyiddin mungkin tidak dipedulikan oleh rakyat kerana ramai yang sudah jemu dengan politik.

"Rakyat sudah jemu dengan politik dan apa-apa perutusan dari Perdana Menteri. Saya fikir orang ramai tidak peduli sangat kerana Perdana Menteri sudah terlalu kerap membuat ucapan perutusan.

"Dalam fikiran orang ramai, mereka lebih bimbangkan masa depan keluarga mereka, untuk tambah pendapatan, dan bagaimana keadaan pendidikan anak mereka," kata beliau.


Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh