Malaysia Peruntukan RM400 Juta Beli Vaksin COVID-19 Kepada Golongan Remaja

Seramai 6.4 juta remaja berumur antara 12 dan 18 tahun akan dapat diinokulasi melalui penambahan bekalan itu, kata Perdana Menteri.
Hadi Azmi & Noah Lee
2021.06.28
Kuala Lumpur
Malaysia Peruntukan RM400 Juta Beli Vaksin COVID-19 Kepada Golongan Remaja Seorang lelaki bergambar kenang-kenangan di kaunter yang disediakan selepas menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 21 Jun 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Putrajaya telah menyediakan dana sebanyak RM400 juta bagi menambah bekalan vaksin COVID-19 sekaligus memulakan inokulasi terhadap populasi berusia 12 tahun keatas, kata Perdana Menteri semasa mengumumkan tambahan sebanyak RM150 bilion lagi pakej bantuan koronavirus pada Isnin.

Muhyiddin Yassin yang tampil dalam siaran langsung yang disiarkan oleh semua stesen televisyen dan platform media sosial memberitahu menambahan peruntukan bagi proses vaksinasi itu akan melibatkan seramai 6.4 juta remaja berumur antara 12 hingga 18 tahun yang disediakan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi, atau PEMULIH yang diumumkannya.

"Bagi mempercepat jadual pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sejumlah RM400 juta diperuntukkan untuk menambah bekalan vaksin negara. Ini bermakna, jumlah bekalan vaksin yang ditempah Kerajaan, adalah cukup untuk menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

"Penambahan bekalan vaksin ini antara lainnya adalah sebagai stok penimbal tambahan serta bertujuan memulakan proses vaksinasi bagi 6.4 juta remaja berumur 12 hingga 18 tahun," kata Muhyiddin semasa pengumumannya itu.

Perdana Menteri itu berkata proses imunisasi untuk remaja akan menyaksikan keutamaan diberikan kepada para pelajar sekolah menengah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Anak-anak yang bakal menduduki SPM tahun ini akan diutamakan," kata beliau.

Pada 15 Jun lepas, Agensi Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan yang bertanggungjawab menguji ubat-ubatan yang digunakan di Malaysia telah memberikan kelulusan kepada vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer-BioNTech untuk digunakan ke atas remaja berusia 12 tahun dan ke atas dengan sebelum itu, vaksin tersebut hanya dibenarkan kepada populasi dewasa yang berusia 18 tahun keatas.

Selain meluluskan kegunaan vaksin COVID-19 untuk remaja, pihak berkuasa kesihatan itu juga telah membenarkan pendaftaran bersyarat untuk dua lagi vaksin bagi kegunaan kecemasan, iaitu vaksin keluaran syarikat berasal dari China, CanSino Biologics, dan vaksin keluaran Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat. Kedua-dua vaksin tersebut berdos tunggal, berbanding tiga jenis vaksin lagi yang telah diberikan kelulusan serupa sebelum ini, yang memerlukan dua dos untuk vaksinasi lengkap.

Untuk rekod, pada Sabtu lepas, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memaklumkan pemberita bahawa Malaysia setakat ini telah menerima sejumlah lapan juta dos vaksin COVID-19, tetapi bilangan itu tinggal satu juta dos dan menyusut dengan pantas susulan program inokulasi yang semakin giat dijalankan.

Berdasarkan statistik, setakat Isnin, sejumlah 5,308,849 individu atau 16.2 peratus daripada populasi dewasa Malaysia telah menerima suntikan vaksinasi COVID-19, dengan 2,087,056 atau 6.4 percent dari mereka telah mendapat dos imunisasi lengkap.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa perintah berkurung secara total yang berkuatkuasa sejak 1 Jun lalu hanya akan dilonggarkan apabila negara mencapai beberapa indikasi, termasuk 10 peratus populasi telah mendapat vaksinasi lengkap dua dos dan bilangan kes positif harian berkurangan ke paras bawah 4,000 kes.

Setakat Isnin, Malaysia masih lagi merekodkan bilangan kes melebih 5,000 kes dengan 57 lagi kes kematian baharu, menjadikan jumlah kumulatif individu yang telah mati akibat pandemik meningkat kepada 5,001.

Moratorium buat semua

Sementara itu, PEMULIH yang diumumkan kerajaan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi yang antara lain melihat moratorium selama enam bulan diberikan ke atas pinjaman bank, bertujuan untuk meringankan beban kewangan yang disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan siri ketiga (PKP 3.0) yang kini memasuki hari ke 28.

Ia juga mengandungi RM10 bilion (AS$2.4 bilion) dalam bentuk suntikan fiskal oleh kerajaan.

"Saya sedar kehidupan ramai di kalangan saudara-saudari yang terjejas teruk akibat lebih setahun berperang dengan pandemik COVID-19.

"Kerajaan mencuba sedaya upaya membantu meringankan beban yang dipikul saudara-saudari sekalian dan tidak pernah putus terus membantu sedaya mampu," kata Muhyiddin dalam ucapan beliau.

Menurut Perdana Menteri, sebahagian daripada suntikan fiskal tersebut akan diberikan dalam bentuk bantuan tunai sebanyak RM1,300 (AS$313) kepada setiap keluarga miskin yang terjejas teruk. Bantuan itu akan diberikan secara berperingkat pada bulan Ogos, November dan Disember.

Isirumah yang termasuk dalam kategori Bawah 40 (B40) pula akan menerima wang tunai RM800 (AS$192) dalam dua peringkat pada bulan Ogos dan Disember.

"Secara keseluruhan, pemberian khas ini dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion," kata Muhyiddin.

Amaun selebihnya pula diberikan dalam bentuk subsidi gaji berjumlah RM3.8 bilion(AS$916juta) , RM1 bilion (AS$241 juta) lagi untuk pelaksanaan program vaksin, dan RM500 juta(AS$120 juta)bantuan kehilangan pekerjaan.

Pembangkang kecewa

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau berasa kecewa dengan jumlah suntikan fiskal yang kecil.

"Saya berasa kecewa hanya ada RM10 bilion dan bukannya RM45 bilion suntikan fiskal langsung dalam inisiatif PEMULIH berjumlah RM150 bilion," kata Lim dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada Khams lalu, Lim mencadangkan supaya RM45 bilion diperuntukkan bagi mengimbangi kehilangan RM1 bilion sehari oleh negara ketika tempoh PKP 3.0, serta membantu ekonomi Malaysia untuk mencapai pertumbuhan KDNK 7.5 peratus yang diperlukan bagi membawa ekonomi kembali ke landasan yang betul.

Pemimpin parti pembangkang itu turut mengkritik ketiadaan pengumuman mengenai subsidi sewa dan moratorium pinjaman yang sifar faedah.

Sementara itu, seorang penganalisa ekonomi berkata bahawa PEMULIH adalah satu tindakan yang bercirikan populis, dan memberikan amaran bahawa perbelanjaan besar kerajaan dalam pakej bantuan akan ditanggung oleh rakyat pada masa hadapan.

Nazari Ismail dari Universiti Malaya memberitahu BenarNews bahawa negara kini sudah mempunyai jumlah hutang tinggi sebanyak RM1 trilion (AS$241 bilion) .

"Sekiranya mereka (kerajaan) tidak dilihat membantu rakyat secukupnya, mereka tidak berpeluang memenangi pilihanraya akan datang.

"Tetapi, negara sudah pun dalam hutang berjumlah RM1 trilion. Sudah tentu kita tidak mampu berbelanja sebesar ini. Semua wang ini adalah dipinjam dari institusi-institusi kewangan.

"Peminjamnya akan mendapat faedah daripada tindakan ini, tetapi akan datang, rakyat akan terpaksa membayarnya semula termasuk faedah," kata Nazari.

Beliau berkata bahawa pengumuman pakej bantuan tersebut akan mampu meredakan kritikan rakyat terhadap kerajaan.

Penganalisa politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Abdul Latiff Mohd Ibrahim pula berkata bahawa PEMULIH hanya akan memberikan kelegaan sementara kepada kerajaan, dan pandemik itu terbukti adalah sesuatu yang susah diuruskan oleh pentadbiran Muhyiddin.

"Ia akan memberikan sedikit kelegaan kepada kerajaan yang kini sedang terancam. Sebahagian daripada bantuan itu juga mampu membantu sesetengah segmen masyarakat. Tetapi persoalannya berapa lama ia mampu bertahan? Sebaik sahaja bantuan itu habis, kita kembali semula kepada keadaan asal.

"Pandemik ini telah mewujudkan situasi yang tidak mampu ditangani kerajaan. Mana-mana kerajaan pun akan menghadapi masalah, tetapi kerajaan ini yang mempunyai isu keabsahan adalah lebih teruk," kata Abdul Latiff.

Menerangkan maksud beliau, Abdul Latiff berkata kerajaan pimpinan Muhyiddin kini dalam keadaan rapuh dan ahli politik kelihatan lebih berminat mempertahankan kedudukan mereka berbanding berjuang untuk kebajikan rakyat.

"Rakyat kini dalam keadaan terdesak semasa pandemik kerana menteri dan timbalan kelihatan seperti tidak dapat berfungsi dengan baik.

"Mereka kelihatan lebih berminat menjadi ahli politik, dan mempertahankan jawatan berbanding nasib rakyat. Mereka patut sedar," kata beliau.

Malaysia telah berada di bawah beberapa bentuk perintah berkurung selama 467 hari sejak 18 Mac tahun lepas.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.