Malaysia Mula Vaksinasi Kanak-Kanak, Beri Jaminan Tiada Paksaan

Lebih 500 ribu kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer.
Iskandar Zulkarnain & Noah Lee
2022.02.03
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Mula Vaksinasi Kanak-Kanak, Beri Jaminan Tiada Paksaan Seorang kanak-kanak berusia 8 tahun sedang dipujuk ibu semasa mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 jenis Pfizer di Hospital Tun Azizah di Kuala Lumpur, 3 Februari 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia pada Khamis memulakan program vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, dengan para pentadbir kesihatan memberi jaminan tiada paksaan ke atas ibu bapa untuk mendapatkan vaksinasi bagi anak-anak mereka.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memaklumkan pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) dilaksanakan secara sukarela dalam usaha membina keyakinan di kalangan ibubapa, yang kebanyakannya masih bimbang terhadap risiko kesan sampingan vaksin itu ke atas anak-anak mereka.

“Sambutan PICKids adalah agak baik daripada ibu bapa. Sebanyak 15 peratus daripada kanak-kanak usia lima hingga 11 tahun telahpun didaftarkan. PICKids ini adalah secara sukarela tidak ada paksaan, untuk memberi masa kepada ibu bapa untuk membuat keputusan demi anak-anak mereka.

"Saya tahu ramai ibu bapa masih bimbang. Tapi tidak mengapa, kita akan terus berikan maklumat terkini dan minta pakar kanak-kanak di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seluruh Malaysia untuk beri penjelasan mengenai kebaikan vaksin kepada kanak-kanak,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran PICKids di Kuala Lumpur.

Khairy menerusi akaun Twitternya pada Rabu memberikan angka pendaftaran penerima vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang telah dibuat oleh ibu bapa mereka iaitu seramai lebih 517,000 yang merangkumi kira-kira 15 peratus daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak di negara itu.

Menteri Kesihatan itu juga memberi jaminan yang kerajaan tidak bercadang mengenakan sebarang sekatan ke atas kanak-kanak yang tidak divaksinasi, seperti mana yang dikenakan ke atas golongan dewasa yang menolak vaksinasi COVID-19.

“Ramai ibu bapa di media sosial minta supaya program ini tidak dipaksakan kepada kanak-kanak. Saya beri jaminan. Kalau golongan dewasa kita tak benarkan makan di restoran, masuk ke pusat membeli belah dan sebagainya, untuk kanak-kanak kita tiada syarat sebegitu, mereka diberikan pengecualian,” tambah beliau.

Jamin dos vaksin selamat

Khairy turut menegaskan yang KKM tidak terburu-buru dalam memilih vaksin Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech) sebagai vaksin di bawah program PICKids.

“Kita tidak lulus secara terburu-buru… Pihak FDA (Federal Drugs Authority) di Amerika Syarikat (AS) telah pun luluskan vaksin kanak-kanak ini pada Oktober lepas dan telah mendapat kebenaran penggunaan kecemasan di AS.

“Kita telah jalankan kajian ke atas semua jenis vaksin yang ada dalam pasaran dan mendapati vaksin Pfizer 10mg yang ditetapkan adalah yang terbaik untuk kanak-kanak,” ujarnya lagi.

Khairy berkata keputusan dibuat setelah meneliti data klinikal dan ‘real world data’ dari negara lain selama beberapa bulan.

“Dan kita dah lihat selepas beberapa bulan, vaksin ini memang selamat dan kita dapati tiada banyak kesan sampingan yang serius.. Yang ringan-ringan itu biasa selepas vaksinasi,” jelasnya lagi.

Menjawab soalan berhubung kebimbangan ke atas jumlah dos vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak di bawah program PICKids, Khairy berkata dos yang digunakan adalah sama dengan dos yang diberikan kepada kanak-kanak di negara lain.

“Sebenarnya berkenaan data negara-negara yang ada komposisi kaum lain daripada Malaysia, kita juga kaji perkembangan di Singapura. Mungkin tidak 100 peratus sama (komposisi kaum) tetapi lebih kurang sama

“Kita sudah membuat kajian di negara-negara lain dan dapati tiada kesan sampingan atau gejala serius, dan kita akan terus memantau serta maklumkan kepada orang ramai supaya ibu bapa yakin dengan PICKids,” tambahnya.

Lindungi daripada kesan buruk

Mengulas lanjut, Khairy menjelaskan program vaksinasi ke atas kanak-kanak adalah penting untuk melindungi mereka daripada kesan buruk sekiranya terkena jangkitan COVID-19.

Ujarnya, program PICKids adalah perlu bagi mengelakkan kumpulan itu daripada komplikasi Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C) yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesan Long Covid serta risiko kematian.

“Kalau kita lihat dari segi kes sejak 1 Januari tahun ini terdapat 9,413 kes melibatkan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.

“Apabila tidak dilindungi dengan vaksin, walaupun mungkin kes tidak banyak berbanding golongan dewasa, tetapi risiko mereka boleh mendapat kesan komplikasi sangat membimbangkan.

“Antaranya adalah MIS-C atau pelbagai radang dalam badan dan juga long covid yang kita tidak tahu kesannya terhadap kanak-kanak, jadi cara terbaik untuk melindungi mereka selepas kembali ke sekolah adalah dengan mendaftar bagi program vaksin,” ujarnya lagi.

Menurutnya, adalah mustahak untuk memberi pelindungan kepada kanak-kanak memandangkan mereka agak sukar mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di sekolah.

Ibu bapa masih skeptikal

Dalam pada itu, pakar-pakar kesihatan mengakui masyarakat umum masih skeptikal tentang keselamatan vaksin ke atas kanak-kanak

Zafri Ismadi Mohd Anis, Exco Perubatan badan bukan kerajaan Malaysia Relief Agency berpandangan yang kempen kerajaan bagi membina keyakinan ibu bapa dilihat masih belum berkesan.

“Terdapat sebab-sebab langsung dan tidak langsung sikap skeptikal ini, antaranya adalah kesan sampingan suntikan booster (pengalak) yang disensasikan oleh tokoh-tokoh tertentu selain pertikaian mengenai status vaksinasi Menteri Kesihatan sendiri,” katanya kepada BenarNews.

Justeru, beliau berkata kerajaan wajar mendapatkan tokoh-tokoh yang diyakini oleh rakyat seperti golongan pakar kesihatan dan badan-badan bukan kerajaan dalam bidang perubatan untuk membantu menyampaikan penerangan.

“Kerajaan juga perlu menyelesaikan isu-isu yang melunturkan kepercayaan rakyat pada kerajaan dan bukan berdolak-dalih, berselindung dan sebagainya,” ujurnya lagi.

Malina Osman, pakar epidemologi Universiti Putra Malaysia pula berpandangan ibu bapa perlu mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak mereka bagi mengekang penularan varian baru serta peningkatan kluster COVID-19 di sekolah.

“Data setakat ini menunjukkan manfaat vaksin di kalangan kanak-kanak mengatasi risiko.

“Semua ibubapa seharusnya mendapatkan vaksinasi untuk anak-anak berusia lima hingga 12 tahun. Ini juga membantu mereka ke arah kembali kepada kehidupan sosial yang normal,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan Malaysia.

Buka semula sempadan antarabangsa

Dalam sidang media pada Khamis, KKM turut memberitahu yang negara itu semakin hampir dalam mencapai syarat untuk mengusulkan kepada kerajaan membuka semula pintu sempadan negara itu serta memperkenalkan beberapa kelonggaran dalam protokol kesihatan.

Menurut Khairy, syarat-syarat itu bakal dipenuhi apabila kadar pemberian dos penggalak untuk dewasa dan vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak mencapai tahap lebih baik.

“KKM sedang menjalankan perbincangan dalaman apakah nilai ambang yang kita rasa selesa dari segi pemberian vaksin kepada kanak-kanak dan dos penggalak. Kita akan membuat usul kepada mesyuarat kuartet kementerian bagi COVID-19 yang diketuai oleh (Menteri Kanan Pertahanan) Hishammuddin Hussein.

“Saya mahu lihat sedikit lagi (kadar dos penggalak). Saya merayu, kepada mereka yang masih belum mendapatkan dos penggalak untuk berbuat demikian dan ibu bapa untuk daftarkan anak-anak mereka,” katanya.

Menurut Khairy setakat Khamis, lebih 55 peratus golongan dewasa di negara itu telah menerima dos penggalak, namun berharap jumlah itu akan terus meningkat.

Malaysia muncul sebagai antara negara dengan kadar vaksinasi COVID-19 tertinggi di dunia dengan dengan hampir 79 peratus rakyatnya telah lengkap dengan dua dos vaksinasi.

Menurut portal COVIDNOW yang dikendalikan KKM, 97.9 peratus daripada populasi dewasa 18 tahun ke atas telah menerima vaksinasi lengkap manakala hampir 89 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun melengkapkan dos vaksinasi mereka.

Bagaimanapun, negara itu masih belum mewajibkan pengambilan dos penggalak namun kerajaan menggalakkan populasi dewasa mengambil suntikan berkenaan susulan lonjakan kes COVID-19 akibat penularan varian Omicron.

Malaysia mencatatkan kes jangkitan harian COVID-19 melepasi paras 5,000 baru-baru ini namun majoriti mereka yang dijangkiti hanya menunjukkan simptom ringan seperti dalam kategori 1 dan 2.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh