Majlis Fatwa Kebangsaan Haramkan Penggunaan Vape

Staf BeritaBenar
2015.12.22
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
151222-MY-VAPE620 Seorang jurujual dengan wajahnya berlukis, menghisap rokok elektronik semasa Pesta Vape di Kuala Lumpur. 5 Disember 2015.
AFP

Isu vape atau rokok elektronik kembali membelenggui penggunanya di Malaysia apabila Majlis Fatwa Kebangsaan, yang bertanggungjawab dalam memutuskan fatwa berkaitan agama Islam negara itu, memutuskan hukum penggunaannya adalah haram.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Dr Abdul Shukor Husin selepas mengadakan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia di Sepang pada Isnin.

“Semua ahli muzakarah bersetuju dengan memberi pandangan hukum bahawa penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram,” katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia, (Bernama). Muzakarah itu dihadiri mufti, timbalan mufti negeri-negeri dan ahli-ahli yang dilantik oleh Majlis Raja-raja.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Hilmi Yahaya pada Selasa berkata kementerian itu tidak bercadang mengharamkan penjualan vape, kerana ia adalah keputusan Kabinet.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan hanya akan mengawal penggunaannya meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan hukum penggunaan rokok elektronik dan vape adalah haram, lapor akhbar The Malay Mail.

Abdul Shukor berkata, keputusan mengharamkan vape dibuat setelah membuat pertimbangan daripada semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat.

Katanya, kajian dari sudut kesihatan turut diambil kira hasil maklumat yang diperoleh daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melakukan pengumpulan maklumat mengenai kesan penggunaan bahan itu di seluruh dunia.

"Malah pakar kesihatan juga mendapati vape tidak dapat membantu perokok dan perokok tegar untuk berhenti merokok," katanya
Beberapa negeri di Malaysia iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan telah pun mengharamkan penggunaan vape.

Menurutnya, beberapa negara Islam termasuk Bahrain, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu juga berpendapat penggunaan vape adalah haram, selain penggunaannya turut diharamkan di beberapa negara bukan Islam.

Sementara itu Hilmi menambah, kementerian kesihatan mengawal penjualan vape mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2011.

Pengharaman premis penjualan vape di negeri-negeri juga bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mempunyai kuasa mengambil sebarang keputusan, katanya.

Rokok elektronik adalah alat yang menggunakan bateri untuk menghidupkan atomizer yang kemudian memanaskan cecair untuk menghasilkan wap yang mengandungi nikotin.

Sebelum ini, banyak pihak termasuk Kementerian Kesihatan memberi pendapat bahawa penggunaan vape adalah berbahaya kerana boleh membawa penyakit respiratori selain masalah sosial seperri ketagihan merokok.    

Pada Ogos lalu, Menteri Kesihatan  Dr S. Subramaniam berkata kementerian itu sedang meneliti daripada sudut undang-undang untuk mengguna pakai pelbagai akta sedia ada bagi membolehkan vape diharamkan.

Tetapi pada 30 Okt lalu, Kabinet pimpinan Perdana Menterei Najib Razak memutuskan untuk tidak mengharamkan vape,  seperti dilapor beberapa media tempatan.

Pada 9 Nov lalu, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Noor Hisham Abdullah pula berkata, penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dibekalkan oleh ahli farmasi yang berlesen dan doktor yang berdaftar.

“Penjualan nikotin dikawal di bawah Akta Racun di Malaysia dan dilarang oleh pihak-pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Isu berhubung keselamatan vape mendapat perhatian setelah rokok elektronik terbakar di dalam pesawat Malindo Air dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur pada Oktober lalu.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.