Rakyat Malaysia Muncul Dalam Video Propaganda Terbaru IS

N. Nantha & Hareez Lee
2018.01.02
Kuala Lumpur
180102-MY-IS-video-620.JPG Skrin video propaganda dalam talian yang disiarkan pada 30 Disember lalu menunjukkan seorang lelaki, yang dikenal pasti oleh pihak berkuasa Malaysia sebagai seorang warganya yang juga anggota kumpulan militan Negara Islam, dikenali dengan nama Muhammad Aqif Heusen Rahizat. Lelaki berkenaan bercakap mengenai "tanah jihad" yang perlu ditubuhkan di "negara anda sendiri. "
[Pejabat Media Khayr Wilayah]

Pihak berkuasa Malaysia berada dalam keadaan berjaga-jaga lepas sebuah video propaganda terbaru dari Negara Islam [IS] muncul yang menunjukkan pembunuhan banduan dan rakaman oleh seorang rakyat Malaysia mendesak pengikut militan IS untuk melancarkan serangan di negara asal mereka.

Video berdurasi lapan minit itu menampilkan dua militan, dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Malaysia dan Singapura sebagai rakyat negara masing-masing, bercakap di depan kamera menggesa penyokong IS untuk melakukan keganasan.

Rakaman video terbaru itu muncul semasa Malaysia dan Arab Saudi bersedia untuk menjadi tuan rumah persidangan anti-keganasan selama dua hari, yang menjemput menteri keselamatan dari 20 negara ke Putrajaya, ibu negara pentadbiran Malaysia, pada 5 hingga 6 Januari.

"Pihak berkuasa Malaysia telah meningkatkan risikan dan sumber mereka untuk memantau aktiviti individu yang disyaki membantu dan menyokong kumpulan IS di Malaysia," kata seorang pegawai kanan polis Malaysia pada Selasa dalam jawapannya kepada soalan mengenai video propaganda itu.

“Dari penemuan awal kami, video tersebut baru saja dihasilkan, dan rakyat Malaysia berkenaan belum pernah muncul dalam mana-mana video sebelum ini," kata sumber itu kepada BeritaBenar dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, sambil menambah bahawa video berkenaan baru saja dibuat rakamannya.

Video berkenaan, satu pengeluaran canggih yang diposkan dalam talian oleh Khayr Wilayah, kumpulan media pro-IS, memaparkan wawancara dengan seorang pengebom bunuh diri IS di dalam keretanya sebelum menjalankan misinya; rakaman serangan pengganas berkaitan IS di Paris dan Nice, Perancis; serta beberapa klip rakaman dari zon perang di Timur Tengah. Video yang dikeluarkan di dalam bahasa Arab itu juga mengandungi klip sambutan perayaan Tahun Baru di Sydney, Australia, dan klip tembakan di Los Angeles dan bandaraya New York.

Polis Malaysia mengenal pasti seorang daripada tiga lelaki yang terdapat dalam rakaman video itu sebagai rakyatnya yang dikenali sebagai Muhammad Aqif Heusen Rahizat, iaitu adik kepada Muhammad Afiq Heusen Rahizat, seorang militan yang terbunuh dalam serangan di sempadan Iraq-Syria pada Oktober 2014.

Afiq terbunuh akibat serangan bom oleh tentera Amerika Syarikat di wilayah bergolak itu dan beliau telah berada di sana sejak Disember 2013 untuk menyertai kumpulan pengganas Ajnad Al Syam, yang pernah disertai oleh bekas ahli PAS Kedah, Mohd Lotfi, kata pegawai kanan polis itu.

Aqif yang berusia 25 tahun, dengan menggunakan nama samaran Abu Sufyan Malayzi, berasal dari Kluang, negeri paling selatan di Semenanjung Malaysia, Johor, kata sumber itu. Sehingga tahun 2015, Aqif secara aktif merekrut ahli melalui Facebook.

Antara mereka yang didakwa direkrut untuk menyertai IS ialah bakal isteri beliau sendiri, Ummi Kalsom Bahak, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, pada Oktober 2014 dan didakwa atas kesalahan mempunyai kaitan dengan keganasan, kata sumber itu.

"Aqif berada di bawah radar sejak itu sehingga video terbaru dikeluarkan oleh IS pada bulan Disember," kata pegawai itu kepada BeritaBenar.

‘Membunuh musuh-musuh Allah’

Aqif muncul selama dua minit dalam rakaman video propaganda berkenaan.

"Jika anda mempunyai banyak halangan untuk melakukan hijrah ke tanah Khilafah dan ... al-Sham dan Wilayah lain, maka Allah telah membuka jalan kepada anda semua di tanah jihad negara anda sendiri," katanya dalam satu monolog berbahasa Inggeris, merujuk kepada Raqqa dan Mosul, di Iraq dan Syria, di mana kubu kuat telah didirikan oleh khalifah IS, tetapi telah jatuh ke tangan pasukan gabungan anti-IS pada tahun 2017.

Kemudian dalam video itu, seorang lelaki yang dikenal pasti oleh pegawai Singapura sebagai Megat Shahdan Abdul Samad, seorang rakyat Singapura, muncul dengan sepucuk pistol, yang kemudiannya,  bersama dua orang lagi lelaki lain, kelihatan membunuh tiga orang tahanan.

"Bunuh musuh-musuh Allah di mana sahaja anda berada," katanya dihadapan kamera, menurut video yang dilihat oleh BeritaBenar.

"Sekarang pertempuran baru sahaja bermula. Kami tidak akan berhenti memenggal kepala setiap kufar dan muqtaddin sehingga kami membersihkan tanah Islam dari Asia Timur ke Barat Afrika, " tambahnya.

Menurut artikel yang diterbitkan oleh Straits Times Singapura pada hujung minggu, video lapan minit itu adalah yang kedua yang menampilkan Megat Shahdan Abdul Samad, selepas video propaganda yang lebih pendek disiar dan disebarkan pada September lepas.

Pihak berkuasa Malaysia percaya bahawa Muhammad Aqif kini bersembunyi dengan anggota IS rakyat Malaysia yang lain, di Abu Kamal, sebuah bandar berhampiran sempadan Syria dan Iraq berikutan kekalahan IS di Raqqa, kata pegawai polis itu.

Tiga puluh empat rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria. Selain itu, 53 rakyat Malaysia yang terdiri daripada 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mereka berkemungkinan telah melarikan diri dari bandar di mana berlakunya pertempuran, kata polis Malaysia. Pegawai tersebut juga berkata, rakyat Malaysia berkemungkinan berlindung di beberapa kem di sepanjang sempadan Syria dengan Jordan dan Turki.

Sejak 2013, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 369 orang kerana disyaki mempunyai hubungkait dengan IS dan kumpulan militan lain, menurut statistik kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Mesyuarat Antarabangsa

Sementara itu, Malaysia sedang bersiap untuk menjadi tuan rumah bagi satu persidangan dialog keselamatan antarabangsa untuk menggabungkan pengalaman mereka menggunakan "kebijaksanaan dan kesederhanaan dalam menentang keganasan."

Persidangan itu, yang bermula pada Jumaat dan berakhir pada Sabtu itu dianjurkan bersama oleh Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan kumpulan pemikir berpangakalan di Arab Saudi, Rabitah Al-Alam Al-Islami atau Liga Dunia Islam.

Seramai 1,000 peserta dari Malaysia, Arab Saudi dan 18 buah negara lain, termasuk Indonesia, Singapura, India, Pakistan, Turki, Australia, Perancis dan Britain, dijangka hadir.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dijadual memberi ucapan pada hari penutup persidangan di Putrajaya.

Persidangan itu akan dibahagikan kepada empat sesi pleno yang meliputi tema kerjasama antarabangsa dalam memerangi keganasan; "Islam sebagai alat penyederhanaan dan keselamatan";

"Peranan agama dalam menanamkan nilai dan kesederhanaan"; dan "menentang keganasan dengan kebijaksanaan dan kemanusiaan."

Mesyuarat itu akan berlangsung ketika hubungan dua hala semakin baik antara Kuala Lumpur dan Riyadh.

Semasa lawatannya ke Malaysia pada Mac 2017, Raja Arab Saudi Raja Salman mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Pusat Raja Salman untuk Keamanan Antarabangsa, yang disokong negara itu dan akan berfungsi untuk menentang naratif pengganas.

Kerajaan Malaysia mempunyai tempoh dua tahun untuk membina pusat itu, yang akan ditempatkan di kawasan seluas 40 ekar (16 hektar) di Putrajaya.

Malaysia sudah mempunyai pusat untuk melawan mesej ekstremisme melalui talian yang diselia oleh Polis Diraja Malaysia, dan Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Anti-Keganasan, dikendalikan di bawah Kementerian Luar Negeri dengan kerjasama Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.