Follow us

Malaysia Rugi 6 Bilion Ringgit Kerana Pencerobohan Nelayan Asing

Vathani Panirchellvum
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-04-24
E-mel
Komen
Share
Nelayan Vietnam duduk di atas bot selepas pihak berkuasa Thailand menahan bot mereka kerana dipercayai menceroboh dan menangkap ikan di sekitar perairan selatan sekitar Narathiwat, Thailand, 14 Febuari 2016.
Nelayan Vietnam duduk di atas bot selepas pihak berkuasa Thailand menahan bot mereka kerana dipercayai menceroboh dan menangkap ikan di sekitar perairan selatan sekitar Narathiwat, Thailand, 14 Febuari 2016.
[AFP]

Nelayan asing dari negara jiran terutamanya dari Vietnam yang menceroboh perairan Malaysia telah menyebabkan negara kerugian 6 bilion ringgit (AS$1.45 bilion), kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada Rabu.

Sejak Januari lalu, sebanyak 53 bot nelayan asing ditahan dengan 24 daripadanya adalah dari Vietnam dengan kesemua rampasan bot dibuat di sepanjang perairan Pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan, demikian menurut lampiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani pada Rabu.

Muhyiddin berkata kerana kekerapan pencerobohan yang berlaku, kerajaan terpaksa bertindak untuk mengekang aktiviti ini dengan menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri.

“Ini bukanlah isu yang baru buat Malaysia tetapi ianya menjadi semakin serius. Pencerobohan oleh nelayan asing terutamanya dari Vietnam mengikut musim dan sekarang adalah musim sotong, maka akan lihat lebih banyak bot mencerobohi masuk ke perairan negara untuk menangkap sotong secara haram.

“Mereka juga tidak mengendahkan undang-undang perairan antarabangsa” kata Muhyiddin pada satu sidang media di Putrajaya.

Beliau berkata kabinet telahpun memberikan persetujuan supaya satu pasukan khas ditubuhkan yang akan memperlihatkan penguatkuasaan yang lebih teratur dan peningkatan jumlah kapal serta aset dalam mengawal perairan negara itu.

Pasukan khas berkenaan dianggotai oleh Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Asas Tani, Kementerian Luar Negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurut media tempatan, nelayan Vietnam merupakan nelayan asing yang didapati berdegil dan terus menceroboh perairan Pantai Timur Malaysia walaupun negara berkenaan sudah mendapat amaran daripada Kesatuan Eropah [EU] berhubung isu berkenaan sejak September 2017.

Akhbar tempatan Berita Harian dalam laporannya pada 28 Mac 2018 berkata, sebanyak 62 kes pencerobohan oleh nelayan asing terutamanya Vietnam telah dilaporkan bagi empat bulan pertama bagi tahun 2018.

Perairan Pantai Timur Malaysia di Laut China Selatan meliputi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang iaitu sekitar 121,398 kilometer persegi dengan jarak pantai 574 kilometer bermula dari Pantai Tok Bali di Kelantan sehingga ke Endau, Rompin di Pahang.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Salahuddin Ayub yang turut hadir pada sidang media itu berkata beliau telah berbincang dengan rakan sejawat dari Vietnam tentang isu pencerobohan itu semasa sesi forum yang berlangsung pada Oktober tahun lepas.

“Malaysia tidak boleh menangani isu ini secara bersendirian. Sebab itulah saya berbincang dengan menteri Vietnam,” kata Salahuddin.

Walaubagaimanapun, tidak dinyatakan apakah resolusi dan kata putus yang dicapai hasil dari pertemuan dan perbincangan tersebut.

Beliau turut menegaskan, walaupun adanya bot asing yang mempunyai lesen perikanan, kementeriannya tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen ataupun permit kepada bot nelayan asing untuk beroperasi di Malaysia.

“Secara rasminya tiada sebarang lesen atau permit dikeluarkan kepada bot nelayan asing. Tetapi mungkin ada penyalahgunaan sesetengah permit untuk memasuki perairan Malaysia,” kata Salahuddin tanpa menerangkan lebih lanjut tentang perkara itu.

Beliau turut memaklumkan yang isu pencerobohan itu telah dibawa ke mesyuarat kabinet selepas mendapat aduan dari nelayan tempatan di Pantai Timur.

“Kerana isu ini melibatkan keselamatan dan keamanan negara secara umumnya, saya mengambil langkah untuk membawa perkara ini ke kabinet. Saya berpendapat ianya perkara yang penting untuk diselesaikan,” tambah beliau.

Tuna dan hidupan marin

Sementara itu, BeritaBenar telah dimaklumkan oleh sumber dari pasukan khas yang ditubuhkan itu bahawa bot nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia sebenarnya mahu memburu dan menangkap ikan tuna yang sangat berharga dan juga hidupan marin yang lain.

Katanya, jika bot nelayan asing ditemui di perairan negara oleh pihak berkuasa Malaysia, maka setiap bot perlu melalui proses pengeledahan.

“Jika mereka didapati melakukan aktiviti perikanan secara haram, pengendali bot dan anak kapal akan ditangkap serta merta,” kata sumber itu yang tidak mahu dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap dengan media.

Di bawah undang-undang Malaysia, bot dan kapal asing yang mencerobohi perairan negara boleh didakwa dibawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi 1 juta ringgit (AS$242,130) bagi setiap pemilik bot dan denda 100,000 ringgit(AS$24,214) bagi setiap anak kapal, jika disabitkan kesalahan.

Jika tidak mampu membayar denda, pemilik bot boleh dipenjarakan selama setahun manakala anak kapal berhadapan dengan enam bulan penjara.

Walaubagaimanapun, penganalisa Oh Ei Sun berkata tindakan Malaysia hanyalah satu penyusunan semula bagi pertahanan negara di kawasan perairan dengan keberkesanan penyusunan semula itu belum dapat diketahui kerana masih belum diuji.

“Masih belum pasti jika ianya efektif. Jika ia, maknanya negara-negara lain yang mahu menuntut sebahagian dari Laut China Selatan juga perlu meningkatkan undang-undang maritim mereka,” tambah beliau.

Beliau turut berkata inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia tidak akan mendatangkan efek terhadap hubungan dua hala dengan negara-negara jiran.

Lihat Laman Penuh