Malaysia bantah projek pulau buatan Vietnam di Laut China Selatan, laporan media

Kuala Lumpur dilaporkan telah menghantar aduan rasmi berkaitan projek pembinaan di kawasan terumbu karang yang menjadi pertikaian, oleh Hanoi.
Staf Radio Free Asia
2024.11.05
Malaysia bantah projek pulau buatan Vietnam di Laut China Selatan, laporan media Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kanan) mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang di Shanghai, 4 Nov 2024.
[X/Anwar Ibrahim]

Malaysia telah mengemukakan bantahan terhadap program pembangunan pulau oleh Vietnam di Laut China Selatan, perkara negatif yang jarang berlaku antara kedua-dua negara jiran di Asia Tenggara itu, lapor agensi berita Reuters yang memetik kenyataan para pegawai Malaysia.

Pada akhir bulan lepas, Radio Free Asia melaporkan mengenai pembangunan sebuah lapangan terbang kecil oleh Vietnam di terumbu karang Barque Canada iaitu sebuah pulau buatan di kawasan perairan Kepulauan Spratly yang turut dituntut oleh Malaysia. BenarNews adalah sekutu RFA.

Kawasan tebus guna di sekitar terumbu karang itu dianggarkan telah meningkat kepada hampir 2.5 kilometer persegi (617.7 ekar) setakat Oktober 2024, lebih sekali ganda dalam tempoh setahun.

Dua pegawai yang enggan dikenali memaklumkan Reuters bahawa Kerajaan Malaysia telah menghantar surat aduan mengenai perkara itu kepada Kementerian Luar Vietnam pada awal bulan Oktober, sebelum laporan RFA “namun belum menerima sebarang maklum balas setakat ini.”

Kandungan surat itu, jika benar, mampu menjadi punca ketegangan kedua-dua negara kerana setakat ini, Malaysia hanya mengemukakan aduan mengenai ‘aktiviti-aktiviti haram’ nelayan Vietnam di perairan negara itu.

Seorang pegawai kanan di Kementerian Luar Malaysia, yang tidak diberikan kuasa untuk mengeluarkan kenyataan kepada media, menolak apabila diminta mengesahkan maklumat mengenai surat itu ketika dihubungi BenarNews pada Selasa.

Malaysia dan Vietnam adalah antara enam pihak yang mengemukakan tuntutan bertindih ke atas Laut China Selatan serta pelbagai pulau dan terumbu karang di sekitarnya bersama-sama China, Brunei, Filipina dan Taiwan.

Sementara itu, Filipina pula menyatakan bahawa ia sedang memantau aktiviti pembinaan pulau oleh Vietnam namun belum mengemukakan bantahan berhubung tindakan tersebut secara rasmi.

Barque-Canada-Reef-runway_10.02.2024-WM.jpg

Foto satelit ini menunjukkan imej yang kelihatan seperti lapangan terbang kecil yang dibina oleh Vietnam di terumbu karang Barque Canada di Laut China Selatan, 2 Okt 2024. [CSIS/AMTI/MAXAR Technologies]

Kuala Lumpur menuntut sekurang-kurangnya 12 perkara di Kepulauan Spratlys termasuk Pulau Amboyna Kecil dan Terumbu Karang Barque Canada yang dikuasai Vietnam serta Terumbu Karang Commodore dan Rizal yang dikuasai Filipina. Malaysia pula memiliki kehadiran fizikal ke atas lima lagi iaitu Terumbu Karang Swallow, Ardasier, Erica, Mariveles dan Investigator yang turut dituntut oleh negara lain.

Susulan kerumitan tuntutan bertindih itu, negara-negara serantau biasanya mengambil pendirian berdiam diri terhadap aktiviti pembinaan pulau buatan oleh jiran mereka.

Sebaliknya mereka memberikan perhatian kepada China, yang telah menebus guna kebanyakan kawasan di Laut China Selatan dan menyiapkan kelengkapan ketenteraan di tiga pulau buatan yang besar di kawasan itu.

Lawatan Anwar ke China

Malaysia telah berulang kali menolak tuntutan China ke atas Laut China Selatan dengan yang terbaharu pada 2023 iaitu edisi terkini peta standard China yang dikeluarkan oleh Beijing yang merangkumi kawasan di perairan Malaysia di Kepulauan Borneo.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah beberapa kali menegaskan bahawa Malaysia akan terus melakukan aktiviti eksplorasi minyak dan gas di zon ekonomi eksklusif Malaysia di Laut China Selatan meskipun berdepan bantahan daripada China.

Pada 2025, Malaysia akan mengambil alih jawatan pengerusi bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN, dan sokongan blok itu akan menaikkan keyakinan China di kawasan perairan yang menjadi pertikaian, kata Vietnam.

Bagi pihaknya, “kerajaan Anwar nampaknya melihat China sebagai peluang ekonomi yang signifikan dan bersedia mengetepikan isu-isu lain untuk mengejar peluang ini,” kata Ian Chong, profesor madya dalam sains politik di Universiti Nasional Singapura.

Bagaimanapun, jika Kuala Lumpur berjaya melaksanakan beberapa projek cari gali minyak, ia terutamanya adalah disebabkan oleh hakikat bahawa “mereka mempunyai sejarah yang lebih lama dalam mengendalikan projek sedemikian dan secara fizikal berada jauh dari China,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.