Follow us

Anak Muda 18 Tahun Boleh Mengundi, PH Mahu Pinda Had Layak Umur

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-07-09
E-mel
Komen
Share
Golongan muda beratur di luar pusat mengundi untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
Golongan muda beratur di luar pusat mengundi untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 di Kuala Lumpur, 9 Mei 2018.
[AFP]

Gabungan parti politk yang membentuk kerajaan Malaysia, Pakatan Harapan telah bersetuju untuk membenarkan anak muda berumur 18 tahun mengundi di mana ianya mendapat reaksi positif daripada golongan usia tersebut yang memuji tindakan itu sebagai satu langkah ke arah menentukan masa depan negara.

Keputusan menurunkan had umur mengundi dari 21 ke 18 tahun itu dipersetujui secara bersama semasa mesyuarat Majlis Presiden PH pada lewat Isnin.

Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat itu berkata, “kita bersetuju supaya anak muda berumur 18 tahun berhak mengundi dan mereka akan didaftar secara automatik,”

Mengurangkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun adalah salah satu manifesto yang diperkenalkan oleh PH sebelum memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei tahun lepas.

UNDI18, satu badan yang diwujudkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan berkata inisiatif  kerajaan untuk bekerjasama dengan pembangkang dalam menambah pendaftaran pengundi secara automatik serta menurunkan had umur anggota Dewan Rakyat dalam bil pindaan Perlembagaan adalah sesuatu yang terpuji.

“Kami menyokong usaha bersama yang diambil oleh kerajaan dan pembangkang dalam hal ini. Setiap orang dewasa berhak mengundi dan bertanding dalam pilihanraya. Kami di UNDI18 sedia terus membantu pihak kerajaan dalam menjadikan misi menurunkan had umur mengundi satu kenyataan," kata jurucakap UNDI18.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media yang sama turut memberitahu bahawa Majlis Presiden PH juga  bersetuju untuk melakukan pindaan lain terhadap perlembagaan mengenai Undi18.

"Kami juga mencapai persetujuan di mana ketiga-tiga pindaan perlembagaan dibuat mengenai Undi18, iaitu menurunkan hak umur mengundi pada 18 tahun, pendaftaran pengundi secara automatik bagi mereka yang mencapai umur 18, dan menjadi calon semasa pilihanraya pada usia 18.

"Saya juga telah memaklumkan kesemua perkara ini kepada pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya agar tindakan lanjut dapat diambil," tambah Syed Saddiq lagi.

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah membentangkan usul bagi meminda perlembagaan persekutuan bertujuan untuk menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Syed Sadiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang dipimpin oleh Mahathir berkata satu mesyuarat untuk memperhalusi isu tersebut termasuk memperkasakan belia akan diadakan bersama pemimpin politik pada Rabu.

Dalam pada itu, perbahasan mengenai usul itu akan dibuat selama dua hari pada sidang parlimen minggu depan sebelum tamatnya sidang bagi sesi kedua tahun ini.

Menurut rekod, Malaysia mempunyai kira-kira 1.56 juta belia berusia di antara 18 hingga 20 tahun yang boleh mengundi dan mewakili 10 peratus daripada pengundi berdaftar sedia ada.

Empat kriteria

Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) Azhar Azizan Harun memberitahu BeritaBenar bahawa terdapat empat kriteria bagi membolehkan seseorang itu didaftarkan secara automatik ke dalam sistem pengundian selepas pindaan diluluskan.

"Pertama mereka haruslah warganegara Malaysia dan kedua mereka perlu berusia 18 tahun, ketiga, individu tersebut perlu memiliki fikiran yang waras dan kriteria keempat, mereka bukan di dalam tempoh hukuman penjara atau yang sedang menunggu tarikh hukuman gantung," jelas Azhar.

Menurut beliau SPR akan berkerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Jabatan Penjara dalam memastikan kriteria itu dipenuhi.

Ditanya mengenai sistem yang akan digunapakai, Azhar berkata bahawa pihaknya akan meneliti sistem-sistem yang ada dan digunapakai oleh beberapa buah negara luar.

"Saya akan meneliti sistem yang ada dan memilih yang bersesuaian untuk digunapakai di negara kita. Tidak semua sistem yang digunapakai sesuai kerana setiap negara mempunyai ciri yang berbeza-beza," kata beliau.

Suara golongan muda


Keputusan Majlis Presiden PH itu disambut baik oleh golongan muda di mana bagi Hasnol Hadi, keputusan parti-parti pemerintah itu dilihat mahu memperkukuhkan sistem demokrasi negara.

Pegawai sebuah syarikat swasta yang pertama kali mengundi pada pilihanraya yang lalu berkata, "sudah tiba masa bagi Malaysia berubah menjadi satu negara maju dengan memperkuatkan sistem demokrasi.”

“Membenarkan mereka yang berusia 18 untuk mengundi dan mendaftarkan mereka secara automatik akan mematangkan negara,” tambah beliau.

Normala Salim, 25 seorang penjual insurans turut bersetuju dengan keputusan itu sambil berkata mereka yang berusia 18 juga perlu diberi pilihan untuk memilih kerajaan yang mereka suka.

Tiga syarat pembangkang


Sementara itu, pembangkang dalam kenyataan kepada media menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan tetapi meletakkan tiga syarat kepada kerajaan di mana parti itu mahu pindaan menurunkan had umur disertakan sekali dengan pindaan daftar pengundi automatik bagi yang berumur 18 tahun dan penurunan umur bagi calon layak bertanding juga dari 21 ke 18 tahun.

Setiasuaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sewaktu ditemui di lobi parlimen pada Selasa berkata sebelum memberikan sokongan penuh parti itu mahu Pakatan Harapan bersetuju terlebih dahulu dengan syarat yang diberikan.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Kota Bharu, Kelantan berkata, parti itu akan menunggu pertemuan pada Rabu untuk mendengar penerangan dari perdana menteri.

"Kita akan tunggu dan lihat macam mana esok (10 Julai). Jika mereka setuju dengan syarat kami, tentulah kami akan sokong. Apapun, tunggu usul dibentang pada Julai 16 ini," kata Takiyuddin.

Senada dengan PAS, adalah Parti Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO] yang berkata bahawa ketiga-tiga syarat itu perlu dipersetujui bagi membolehkan usul itu disokong oleh blok pembangkang.

"Kami hanya akan menyokong jika syarat dipersetujui. Penambahan syarat ini boleh dibuat pada bacaan kedua kelak," kata Setiausaha Agung Umno Annuar Musa di lobi parlimen.

Pindaan perlembagaan itu memerlukan majoriti dua pertiga atau 148 undi bagi membolehkan ianya dipinda.

Terdapat 222 kerusi di Dewan Rakyat dan Pakatan Harapan mempunyai 139 ahli Parlimen, manakala pembangkang memiliki 77 ahli Parlimen.

Jumlah pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah seramai 12,229,514 orang daripada 14,940,624 pengundi yang berdaftar.

Lihat Laman Penuh