Amerika Syarikat Isytihar 2 Rakyat Asia Tenggara Sebagai Pengganas Global Operasi IS

Staf BeritaBenar
2017.03.30
Washington DC
170330-ID-MY-designation-1000.jpg Kerajaan Amerika Syarikat telah menamakan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, yang bersama-sama isterinya Nor Mahmudah Ahmad dan seorang kanak-kanak tidak dikenali dalam gambar tidak bertarikh ini yang diambil di Syria, sebagai Pengganas Global Tentuan Khas.
[Ihsan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi]

Amerika Syarikat pada Khamis mengisytiharkan rakyat Indonesia Bahrun Naim dan rakyat Malaysia Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, yang disyaki pejuang Negara Islam (IS) berpangkalan di Timur Tengah yang dikehendaki polis negara masing-masing bagi serangan keganasan berkaitan IS, sebagai Pengganas Global Tentuan Khas.

Kedua-dua lelaki itu menyediakan sokongan kewangan dan operasi bagi perekrutan IS dan rancangan serangan di Indonesia, Malaysia dan di tempat-tempat lain di Asia Tenggara,  kata Jabatan Perbendaharaan AS. Jabatan itu menyasarkan perekrutan dan sokongan kewangan IS bagi serangan pengganas di Asia Tenggara dan memperkukuhkan usaha jabatan itu membanteras operasi IS di seluruh dunia, kata pegawai Perbendaharaan.

Ketika mengumumkan mengenai penetapan itu, jabatan berkenaan berkata "semua harta dan kepentingan harta individu-individu ini yang tertakluk kepada bidang kuasa AS adalah disekat."

Ia juga mengisytiharkan bahawa rakyat Amerika Syarikat secara umumnya dilarang daripada menjalankan urus niaga kewangan dengan dua lelaki berkenaan.

"Penetapan yang dibuat terhadap Muhammad Bahrun Naim Anggih Tamtomo dan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi menghantar isyarat kuat kepada individu yang memberikan sokongan kepada ISIS dan menunjukkan keazaman kerajaan AS untuk memerangi keganasan dan pembiayaan keganasan di rantau itu," kata John E. Smith, Pengarah Pejabat Kawalan Aset Asing jabatan itu,  dalam satu kenyataan di mana beliau menggunakan satu lagi singkatan bagi IS.

'Pengajaran untuk semua orang'

Bahrun mengumumkan kesetiaannya kepada IS pada Ogos 2014 dan telah merekrut lebih daripada 100 orang dari negaranya pada Januari 2016, menurut perisytiharan itu.

AS mendakwa beliau merancang dan membiayai serangan pengganas yang membunuh empat orang awam dan empat ekstremis di pusat Jakarta pada 14 Januari 2016, memindahkan hampir AS$72,000 kepada rakan sekutunya di Indonesia. Serangan itu adalah perbuatan pengganas pertama yang didakwa dilakukan IS di Indonesia.

Baru-baru ini, Bahrun didakwa memulakan usaha untuk merekrut wanita sebagai pengebom berani mati, "kerana mereka kurang cenderung untuk menarik perasaan syak," menurut laporan Institut Analisis Dasar Konflik di Jakarta. Antara yang direkrut ialah Dian Geografi Novi, yang gagal meletupkan bom periuk nasi semasa upacara pertukaran pengawal di luar istana presiden di Jakarta pada  Disember.

Wanndy, rakyat Malaysia yang melaksanakan operasi IS dengan berpangkalan di  Syria dan Iraq, menyelaraskan rancangan bagi  serangan dan memudahkan perjalanan untuk para rekrut ke Syria bagi menyertai IS, kata pegawai perbendaharaan.

Dalam catatan laman Facebook, Wanndy mengisytiharkan sebagai bertanggungjawab bagi  serangan bom yang mencederakan lapan orang di sebuah kelab malam di kawasan Kuala Lumpur pada Jun 2016 - serangan pertama yang didakwa dilakukan IS di bumi Malaysia.

Polis Malaysia menuduh Wanndy mendalangi serangan itu.

Pada Rabu, dua lelaki, Wahyudin Karjono dan Jonius Indie  (alias Jahali), masing-masing dihukum penjara 25 tahun kerana melemparkan bom tangan ke arah orang ramai di kelab malam Movida di Puchong.

Wanndy, yang melakukan temu bual Facebook dengan BeritaBenar pada September 2015, ketika itu menyatakan bahawa beliau tidak menyesal meninggalkan Malaysia untuk menyertai Negara Islam.

"Saya ingin menyatakan bahawa saya memang berharap dapat kembali ke Malaysia, tetapi ia bukan keutamaan saya kerana fokus saya sekarang adalah untuk tinggal di sini dan berjuang, untuk mencapai impian saya mempertahankan IS," katanya kepada BeritaBenar.

Beliau didakwa telah mengambil bahagian dalam pemenggalan kepala seorang lelaki Syria di mana ia telah dirakam video dan dimuat naik dalam Facebook pada Februari 2015.

"Versi video bagi hukuman ini adalah untuk mereka yang mengkhianati Islam. Ia satu pengajaran untuk semua orang," beliau didakwa sebagai berkata dalam video itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.