Penduduk bandar sempadan berasa lebih selamat selepas Malaysia tegas banteras pemerdagangan manusia

Wang Kelian, yang terletak berhampiran Thailand, menjadi tumpuan ramai susulan penemuan ratusan kubur migran Rohingya dan Bangladesh pada 2015.
Ili Shazwani Ihsan
2023.03.04
Wang Kelian, Malaysia
Penduduk bandar sempadan berasa lebih selamat selepas Malaysia tegas banteras pemerdagangan manusia Penduduk kampung memasuki Felcra Lubuk Sireh, iaitu kawasan komuniti Malaysia, yang terletak 8 km (lima batu) dari sempadan Thailand, 1 Mac 2023.
[Ili Shazwani Ihsan/BenarNews]

Penduduk Wang Kelian dan komuniti lain di sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand, di mana ratusan kubur cetek ditemui lapan tahun lalu, menyatakan bahawa keadaan menjadi lebih tenang sejak kerajaan menyekat rentas sempadan dan membanteras penyeludupan, dan berharap keadaan kekal sebegitu.

Sedekad lalu, warga asing yang tertekan berjalan kaki mengetuk pintu rumah, meminta air pada tengah malam manakala penduduk kota pula tiba dengan kereta dari ratusan (batu) kilometer jauhnya untuk membeli barangan Thai dengan harga murah di gerai-gerai berhampiran sempadan di Wang Kelian.

Tetapi semua itu berubah pada 2015, selepas pihak berkuasa Malaysia menemui lebih 100 mayat pendatang tanpa izin dan mangsa sindiket pemerdagangan manusia, yang dikenal pasti sebagai etnik Rohingya dan Bangladesh di dua lokasi dalam hutan di negeri utara Perlis yang berhampiran sempadan Thailand dan berdekatan dengan sebuah kem yang mempunyai tempat kurungan berkunci untuk menempatkan para pendatang tanpa izin.

Selepas itu, pihak berkuasa telah melancarkan tindakan tegas dan menutup zon aliran bebas di sempadan itu.

Para penduduk di Felcra Lubuk Sireh iaitu kawasan penempatan di sempadan Wang Kelian dan terletak kira-kira 8 kilometer (lima batu) dari sempadan Thailand, dapat menyaksikan kesan pemerdagangan manusia secara dekat.

Seorang daripada mereka ialah Yan Hashim, 65, yang berkongsi pengalamannya melihat aliran keluar masuk pendatang tanpa izin ke kawasan itu.

"Saya diberitahu mereka ini keluar dari hutan berhampiran kampung kami. Mereka masuk ke negara ini menerusi sempadan Thailand melalui laluan yang diratakan di dalam hutan dan seseorang akan mengambil mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda di pintu keluar laluan itu yang berhampiran tempat kami," kata Yan, sambil memberitahu bahawa ramai yang memasuki Malaysia secara haram dan mereka turut membawa anak-anak.

"Mereka kelihatan kusut masai, berpakaian lusuh, ada yang berkaki ayam dan majoriti daripada mereka nampak kelaparan manakala beberapa orang lagi hampir pengsan kerana keletihan," katanya.

"Beberapa orang daripada mereka fasih bercakap bahasa Melayu namun bahasa isyarat yang paling banyak digunakan untuk meminta air, makanan, selipar atau pakaian. Amat menyedihkan melihat mereka dalam keadaan sedemikian dan selepas penemuan itu, kami merasakan bahawa mereka yang kami temui itu mungkin sama seperti orang yang dizalimi di kem yang ditemui di Bukit Wang Burma. "

04 wang-kelian2.jpeg

Kenderaan perlu melalui pemeriksaan keselamatan di pusat pemeriksaan polis, satu-satunya pintu masuk yang menghubungkan Malaysia ke pusat pemeriksaan Wang Prachan di Thailand, 25 Feb. 2023. Dengan dikelilingi hutan belantara, pusat ini terletak kira-kira 4 km dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Wang Kelian, Perlis. [Ili Shazwani Ihsan/BenarNews]

Yan berkata tidak ramai pendatang asing melalui kampung itu pada hari ini.

"Tiada siapa lagi yang mengetuk pintu rumah saya untuk meminta makanan," katanya kepada Benarnews. "Ini lebih baik dan saya berharap zon aliran bebas kekal ditutup."

Zon ini membolehkan penduduk Thailand pergi ke Wang Kelian dan rakyat Malaysia pergi ke Wang Prachan dengan merentasi sempadan tanpa menggunakan pasport, dengan jaraknya hanyalah kira-kira 1 kilometer. Ramai penduduk Thailand yang tinggal di seberang sempadan itu mengambil kesempatan daripada akses ini untuk ke stesen petrol supaya mereka dapat membeli bahan bakar itu sebelum kembali ke rumah mereka, kata penduduk tempatan.

"Sebelum zon aliran bebas ditutup pada 2015, bandar ini sibuk dengan pelancong tempatan yang datang dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur hanya untuk membeli pelbagai barangan seperti tilam, peralatan dapur dan pakaian dengan harga yang lebih murah. Ramai di antara mereka bersedia untuk melakukan perjalanan jauh seperti itu untuk menjejakkan kaki ke Thailand tanpa menggunakan pasport," kata seorang peniaga berusia 46 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal kerana bimbangkan keselamatan dirinya.

Hari ini, para penduduk berkata mereka berasa selamat kerana kegiatan penyeludupan rentas sempadan dan kemasukan pelancong termasuk yang sanggup mengikuti perjalanan sejauh 525 km (326 batu) dari Kuala Lumpur, telah berkurangan dengan ketara.

"Sebelum ini, keadaan sangat meriah, tetapi adalah pula akibatnya," kata Kamal.

"Jangan salah faham, bukannya saya menentang kehadiran penduduk Thailand kerana ramai daripada kami sudah seperti keluarga sebab tinggal berjiran, tetapi adalah membimbangkan apabila kegiatan penyeludupan berlaku di kiri dan kanan kita dan lebih teruk lagi apabila ada 'Tonto' (pemerhati untuk penyeludup) berada di sekeliling kita. "

Kamal berkata beliau menyaksikan seorang lelaki Thailand memuatkan minyak masak bersubsidi, yang dibeli di zon aliran bebas, dan menyembunyikannya di bawah kerusi keretanya sebelum menyeberangi sempadan yang tidak dikawal di mana dia boleh menjual pula minyak masak paket itu pada harga lebih tinggi.

Kamal berkata beliau tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa kerana bimbangkan dirinya sendiri dan keluarganya, dan memberitahu bahawa sindiket penyeludupan mampu bertindak balas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata zon aliran bebas, yang diperkenalkan pada 1993 dan dibubarkan selepas penemuan kubur-kubur cetek itu, tidak lagi sesuai dibuka kerana adanya potensi ancaman.

"Pada masa ini, kementerian memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan itu sebelum beralih kepada perbincangan untuk membuka semula zon aliran bebas," kata Saifuddin.

"Bukannya saya kata Wang Kelian berada di bawah ancaman, tetapi saya merujuk kepada adanya potensi bahaya untuk negara secara umum," kata beliau.

04 wang kelian3.JPG

Seorang penduduk kampung berjalan di hadapan sebuah kedai runcit di Felcra Lubuk Sireh, Wang Kelian, Perlis, 1 Mac 2023. [Ili Shazwani Ihsan/BenarNews]

'Depan mata'

Panel yang ditugaskan kerajaan pada 2022 melaporkan bahawa pegawai-pegawai Malaysia mampu menghalang berlakunya penyeksaan dan kematian etnik Rohingya dan Bangladesh yang mayat mereka ditemui di kubur-kubur cetek itu tujuh tahun lebih awal.

Versi bahasa Inggeris laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang dipaparkan seketika dalam laman webnya sebelum ia ditarik balik selepas pengerusi Suruhanjaya memberitahu pemberita ia telah siap pada 2019, namun ia merupakan laporan rahsia dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi negara.

Seorang pegawai polis yang telah bersara memfailkan laporan pada Januari 2015 bahawa seorang penduduk kampung telah memaklumkan beliau mengenai sindiket pemerdagangan manusia yang telah menghubunginya dan orang lain untuk membantu membawa orang dari wilayah itu.

Pada hari pertama pendengaran awam mengenai tragedi itu, anggota RCI diberitahu bahawa anggota-anggota keselamatan mengesan jejak manusia dan laluan licin sebelum menemukan tapak perkhemahan dengan pembinaan kayu yang menyerupai menara pengawal dan sebuah kedai. Seorang pegawai pula memberi keterangan bahawa beliau terdengar bunyi generator di kem berkenaan di mana kubur-kubur itu ditemui.

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa kem tersebut mengandungi tempat kurungan yang mungkin digunakan untuk menempatkan mangsa pemerdagangan itu.

04 wang-kelian4.JPG

Kenderaan melalui jalan di Felcra Lubuk Sireh, Malaysia, iaitu kawasan yang bersempadan dengan hutan tebal di mana para penyeludup sering membawa pendatang tanpa izin dari Thailand, 1 Mac 2023. [Ili Shazwani Ihsan/BenarNews]

Setelah penemuan yang menarik perhatian dunia, kerajaan mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan di kawasan tersebut termasuk menutup banyak laluan yang digunakan oleh para penyeludup.

Sumber polis, yang meminta BenarNews tidak menyiarkan namanya atas faktor keselamatan, mendakwa tragedi 2015 itu berlaku akibat wujudnya isu integriti kalangan anggota keselamatan sempadan agensi kerajaan, kawasan sempadan yang tidak dipagar dan kurangnya penguatkuasaan keselamatan.

"Kekejaman ini berlaku betul-betul depan mata kita. Bagaimana anggota yang menjaga kawasan berhampiran tapak perkhemahan di Rizab Hutan Negeri gagal mendengar bunyi generator yang kuat yang digunakan di tapak perkhemahan itu pada waktu malam," soal beliau.

"Bagaimana majoriti penyeludup tahu laluan mana yang boleh dimasuki secara haram ke negara ini, dan apakah 3 pagi hingga 4 pagi adalah masa terbaik untuk menyusup masuk tanpa disedari?

"Siapa yang memaklumkan pemerdagang atau penyeludup apabila pihak berkuasa menjalankan operasi atau serbuan?," katanya.

Sementara itu, profesor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata penyeludupan dan pemerdagangan boleh kembali berlaku pada skala yang lebih kecil. Beliau merujuk kepada kelemahan pagar-pagar sempadan yang membolehkan penyeludup memotongnya atau memanjatnya.

"Selagi sistem tidak disemak semula atau dipertingkatkan, potensi keselamatan sempadan akan dimanipulasi dan disalahgunakan secara berterusan terutama dengan wujudnya masalah selepas pandemic dan permintaan pekerja asing di sektor tertentu," katanya kepada Benarnews.

"Banyak yang dipertaruhkan jika kegiatan penyeludupan terus berlaku, bukan sahaja dari aspek keselamatan malah dari sudut ekonomi juga apabila berbilion-bilio ringgit dibelanjakan untuk memberi subsidi petrol, minyak masak dan gula bagi memudahkan beban rakyat Malaysia. Namun, barang -barang itu boleh diseludup keluar dari negara kita dan dijual di seberang sempadan. "

04 wang-kelian-map.png

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.