Follow us

Bekas Ketua Polis Negara Tidak Pasti Kubur Berada Dalam Wilayah Malaysia

Radzi Razak
Putrajaya, Malaysia
2019-06-17
E-mel
Komen
Share
Bekas Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar beredar keluar dari sebuah dewan di Putrajaya selepas memberi keterangan pada pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penemuan penempatan kem dan kubur beramai-ramai etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh pada 2015 di sempadan Malaysia dan Thailand, 17 Jun 2019.
Bekas Ketua Polis Malaysia Khalid Abu Bakar beredar keluar dari sebuah dewan di Putrajaya selepas memberi keterangan pada pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai penemuan penempatan kem dan kubur beramai-ramai etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh pada 2015 di sempadan Malaysia dan Thailand, 17 Jun 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Bekas ketua polis Malaysia mempertahankan jabatannya yang tidak bertindak lebih pantas dalam menyiasat kem pemerdagangan manusia di sempadan utara negara itu pada 2015, ketika beliau memberi keterangan buat pertama kalinya pada Isnin pada pendengaran awam suruhanjaya siasatan mengenai penemuan mengerikan itu.

Para penyiasat perlu terlebih dahulu menentukan sama ada lokasi jenayah yang menempatkan kubur beramai-ramai etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh berada di dalam wilayah Malaysia atau di kawasan Thailand, Khalid Abu Bakar memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) itu.

Bagaimanapun, seorang bekas ketua polis negeri itu yang telah memberi keterangan sebelum ini memberitahu bahawa beliau diarahkan supaya tidak mendekati kawasan penempatan itu yang terletak dalam hutan berhampiran Wang Kelian - sebuah bandar sempadan di negeri Perlis - selepas menghantar laporan mengenai penemuan itu pada Januari 2015.

"Kami tidak dapat memastikan sama ada lokasinya di Malaysia atau Thailand. Jadi, saya mengarahkan Zul Aznam supaya memastikan dahulu tempatnya kerana kami tidak mahu bertindak di luar sempadan kami, atau ia boleh melanggar undang-undang, "kata Khalid, bekas Ketua Polis Negara, yang merujuk Ketua Polis Perlis ketika itu, Zul Aznam Haron .

"Arahan saya adalah supaya dapatkan lebih banyak maklumat mengenai penemuan itu dan siapa yang terlibat. Itulah sebabnya saya memberitahu beliau supaya ‘hold on’’(tunggu dahulu),"katanya kepada suruhanjaya itu pada pendengaran awam itu yang diadakan di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

Khalid memberi keterangan selepas laporan setebal 121 muka surat dikeluarkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Fortify Rights pada Mac lalu, yang mendakwa terdapatnya jarak masa dalam siasatan itu dan kemungkinan adanya halangan keadilan setelah pihak berkuasa menemui kubur beramai-ramai itu di mana 139 mayat telah dikeluarkan.

Sebelum Khalid memberi keterangan pada Isnin, tidak jelas mengapa polis Malaysia hanya memaklumkan tentang penemuan sejumlah kem-kem penempatan terbiar dalam hutan di bandar sempadan itu lebih tiga bulan kemudian, beberapa hari selepas laporan berita bahawa polis Thailand mengumumkan bahawa mereka telah menemui 36 mayat dari kubur cetek di kawasan sempadannya.

Bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria yang mengetuai suruhanjaya siasatan diraja itu mendesak Khalid supaya menjelaskan lebih lanjut mengapa polis mengambil masa yang lama untuk mengesahkan sama ada kawasan itu berada di dalam wilayah Malaysia.

"Proses untuk mengenal pasti kawasan itu boleh mengambil masa hanya satu jam atau sehari. Apabila kita menemui sesuatu, kita mesti mengepung kawasan tersebut dan pergi ke tempat kejadian untuk mengumpul bukti, "kata Arifin kepada Khalid.

"Bagaimanapun, apabila anda memberitahu mereka supaya tunggu dahulu, mereka langsung tidak pergi ke tempat itu."

Khalid menjawab bahawa polis perlu berhati-hati dalam menjalankan siasatan itu kerana isu tersebut boleh memberi kesan diplomatik dengan jiran, Thailand.

Semasa memberi keterangannya, Khalid juga mengakui bahawa penemuan kubur beramai-ramai itu mendedahkan kelemahan kawalan keselamatan sempadan Malaysia, yang menurutnya boleh diperbaiki dengan menempatkan lebih ramai anggota serta meningkatkan lagi perkongsian perisikan dengan Thailand.

Pada April lalu, bekas Timbalan Penguasa Sivanganam (juga dikenali sebagai Thirumugan Sathisivam) memberitahu Suruhanjaya Diraja bahawa beliau telah diarahkan oleh pegawainya supaya tidak mendekati kem tersebut. Sivanganam adalah ketua bagi Pasukan Operasi Am Polis Malaysia di wilayah itu ketika kem-kem hutan itu ditemui.

"Saya dilarang kembali ke kawasan itu dan apabila unit itu digerakkan semula, saya telah diperintahkan supaya tidak menyertainya," kata beliau pada pendengaran awam suruhanjaya siasatan diraja itu, yang ditubuhkan oleh kerajaan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada awal Mac lalu dan diberi enam bulan untuk memfailkan laporan sama ada kerajaan terdahulu menjalankan siasatan menyeluruh mengenainya. Kerajaan Mahathir mengambil alih pemerintahan selepas memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018.

Khalid, yang bersara pada tahun yang sama sebagai ketua polis negara, adalah saksi ke-47 yang dipanggil memberi keterangan pada pendengaran awam itu.

190617-wangkelian-620INSIDE.jpg

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am Malaysia mengawasi sebuah kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di luar Wang Kelian di Malaysia, 26 Mei 2015. [AP]

Penemuan kubur beramai-ramai serta 28 kem hutan itu, di mana para penyeludup manusia menempatkan tebusan mereka semasa dilaporkan cuba memeras wang bayaran daripada keluarga mereka, telah mengejutkan rakyat Malaysia. Di Thailand, kerajaan telah membicarakan 102 orang dan mensabitkan kesalahan terhadap 62 orang daripada mereka termasuk bekas jeneral tentera berpangkat tiga bintang.

Di Malaysia, pihak berkuasa di bawah kerajaan terdahulu telah menahan 12 pegawai polis dan beberapa warga asing. Bagaimanapun, pada 2017, Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita bahawa para pegawai tersebut telah dibebaskan daripada tahanan kerana kekurangan bukti.

Empat rakyat asing - dua rakyat Myanmar, Bangladesh dan Thailand - disabitkan dengan tuduhan melakukan pemerdagangan manusia dan  dipenjarakan. Pihak berkuasa berkata kebanyakan mangsa yang mati adalah anggota etnik minoriti Rohingya yang tidak mempunyai kewarganegaraan Myanmar dan ada juga yang berasal dari Bangladesh.

Semasa penemuan kem-kem tersebut, pihak berkuasa menahan 38 orang yang dipercayai sebagai "pendatang asing tanpa dokumen." Pihak berkuasa kemudian mendapati mereka tidak mempunyai kaitan dengan pemerdagangan manusia.

Dalam keterangannya pada Isnin, Khalid berkata walaupun perkara itu tidak pernah dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara pada masa itu namun beliau telah memberitahu Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid. Najib dan Ahmad Zahid mengarahkan polis supaya mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai sindiket tersebut, kata Khalid.

"Perdana Menteri khususnya bimbang jika pihak berkuasa kita terlibat, kerana beberapa anggota pihak berkuasa Thailand telah ditahan di negara mereka," kata Khalid. "Tetapi sehingga hari ini, kami masih tidak dapat membuktikan penglibatan anggota-anggota kami."

Lihat Laman Penuh